Oleh FAWWAZ THAQIF
TANJONG MALIM, 17 Ogos – Kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan kecemerlangan mereka apabila memenangi enam lagi pingat emas daripada 10 yang dipertandingkan dalam acara olahraga Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 semalam.
Pemenang pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, Kamal Farhan A. Rahim membantu UPM menambah koleksi pingat emas dari acara olahraga apabila memenangi acara lontar peluru pada sebelah pagi dan kemudian beraksi cemerlang untuk muncul juara lempar cakera pada sesi petang.
Dia memenangi acara lontar peluru dengan lontaran 15.32 meter, meninggalkan Muhammad Aidil Taufek (13.81 meter) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di tempat kedua dan Mirach Han (12.95 meter) yang mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Mengulas mengenai prestasinya hari ini Kamal Farhan berkata, dia tidak berpuas hati dengan lontarannya namun tetap bersyukur kerana masih mampu menyumbangkan emas buat kontinjen UPM.
“Selepas ini saya akan mengalihkan tumpuan terhadap persiapan untuk membantu Perlis memenangi pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur September depan,” katanya.
Kamal Farhan kemudian menambahkan koleksi pingat emas peribadinya selepas cemerlang dalam acara melempar cakera dengan merekodkan catatan 44.79m.
Pesaing terdekatnya yang juga dari UPM, Abdul Rahman Lee sekadar mencatatkan 42.96m untuk merangkul pingat perak manakala Mirach (41.70m) sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menjadi lombong emas buat jaguh-jaguh olahraga UPM apabila mereka turut memenangi acara 10,000 meter jalan kaki menerusi Muhammad Aliff Mubarak Ahmad dengan masa 57 minit 20.86 saat.
Dia menewaskan Muhammad Akmal Azlan dari UPSI yang mencatat masa 58:35.11s, manakala pingat gangsa dikongsi oleh Chong Xuan Wei (Sunway University), Yap Ewin (Asia Pacific University of Technology and Innovation) dan Goh Yu Chin (Sunway University) setelah masing-masing menamatkan langkah dengan masa satu jam, satu minit 39.47 saat.
Sementara itu, harapan untuk melihat rekod kebangsaan diperbaharui tidak kesampaian apabila Andre Anura Anuar sekadar mencatat 7.04 meter namun cukup untuk membantu UPM meraih pingat emas acara lompat jauh.
Atlet dari Sabah itu, yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 8.02 meter menewaskan Muhammad Aniq Aqil Md. Ramli (6.88 meter) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mendapat perak serta pemenang pingat gangsa Muhammad Sunik Muslimin (6.82 meter) dari kontinjen tuan rumah.
UPM terus gagah di Stadium UPSI apabila Mohd. Rizzua Haizad Muhamad dan Benedict Ian Gawok masing-masing mencatatkan 14.30 saat dan 14.83 saat untuk memenangi pingat emas dan perak acara 110m berpagar, meninggalkan wakil tuan rumah, Muhamad Adha Ajwad Ahmad Rizal di tempat ketiga dengan catatan 15.50 saat.
Pingat emas keenam UPM diperoleh menerusi 800m lelaki selepas Anas Ariffin merekodkan masa satu minit, 54.60 saat, menewaskan pencabar terdekat dari Universiti Malaya (UM), Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (1:55.24s) dan Mohamad Amirul Arif Mohd. Azri (1:56.36 saat) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Tuan rumah UPSI juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila mengutip dua emas. Emas pertama UPSI diperoleh menerusi acara 3,000m lari berhalangan lelaki menerusi Ahmad Izzat Irfan Shahrul Aznan dengan catatan masa 10 minit 9.82 saat menewaskan Ahmad Muhammad Hamizan (UPM) yang sekadar merangkul perak dengan catatan 11:10.77s.
Pingat gangsa pula dikongsi oleh Pang Keat Tung dan Asher Mak Wei Han dari Sunway University (SUN-U) dan Arun Nadarajah dari Management and Science University (MSU) dengan masa 11:21.43s.
Sementara itu, dalam acara 100m lari berpagar wanita, Juriani Mat Rodzi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengungguli saingan untuk merangkul pingat emas dengan catatan 14.52 saat.
Juriani menewaskan wakil (UPM), Eng May Xin Winnie (14.95s) yang mendapat pingat perak dan wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Aisyah Irdina Zainudin (15.74 saat) meraih gangsa.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula mengutip satu emas menerusi Teoh Kim Chyi yang mencatat masa dua minit, 30.62 saat dalam acara 800m wanita. Dia mengalahkan pemenang pingat perak iaitu atlet SUN-U, Lee Xin Wei (2:37.94s) dan atlet Universiti Sains Malaysia (USM) Janice Loh Yin Jin (2:44.67s).
Sementara itu, NOR SYAZRINA MUHAMAD TAHIR melaporkan skuad Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula garang dalam acara taekwondo kategori poomsae selepas masing-masing memenangi dua emas dalam acara yang berlangsung di Dewan SITC UPSI, semalam.
Nur Humaira Abdul Karim menghadiahkan emas pertama UM selepas mengungguli kategori individu wanita dengan kutipan mata, 8.582 sebelum dia bersama-sama dua lagi rakannya, Nurul Hidayah Abdul Karim dan Monica Lo Mei Yuan memenangi kategori berpasukan wanita setelah mencatat 8.516 mata meninggalkan trio UPSI di tempat kedua.
Cheong Qi Yap pula menceriakan kem UPM selepas mengungguli acara poomsae individu lelaki sebelum dia merangkul emas kedua peribadi dengan memenangi acara berpasukan lelaki bersama-sama Ong Keen Bin dan Steffano Atom.
Turut ceria di hari pertama taekwondo, Asia Pacific University of Techonology & Innovation (APU) selepas gandingan Eyu Ji Yuen dan Kendra Moss Ting mengungguli kategori campuran dengan catatan 8.232 mata.
Bagi pengurus UM, Illiya Dalila, tidak menyangka perubahan taktik pada saat akhir disebabkan kecederaan pemain menghadiahkan kemenangan berganda sekaligus melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh pihaknya.
“Saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka dan akan mempersiapkan para atlet untuk Sukan SEA yang bakal berlangsung di Kemboja tahun hadapan,” tambahnya.