PERDANA MENTERI BAKAL MERASMIKAN SUKIPT 2022

0
397
Dr. Pekan (berdiri tengah) bersama sebahagian daripada para sukarelawan yang bertugas sepanjang Sukipt 2022 di UPSI Tanjong Malim minggu ini.

 

Oleh NOR SYAZRINA MUHAMAD TAHIR

TANJONG Malim, 11 Ogos – Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi tetamu istimewa pada majlis perasmian Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt) 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Ahad ini.

Khabar gembira itu disahkan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Pekan Ramli hari ini.

Sesi taklimat untuk para sukarelawan media Sukipt 2022.

Menurut beliau, kehadiran YAB Perdana Menteri merupakan satu penghormatan besar terhadap penganjuran Sukipt tahun ini khsusnya kepada semua pihak yang terlibat menjayakannya. Sukipt 2022 akan bermula pada 12 hingga 20 Ogos.

“Ini merupakan sejarah baharu dalam penganjuran temasya Sukipt kerana buat pertama kalinya YAB Perdana Menteri sendiri yang datang untuk merasmikannya dan ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat bermakna dalam usaha untuk menjadikan Sukipt sebagai platform untuk melahirkan lebih ramai atlet berwibawa pada masa akan datang,” jelas Dr.Pekan.

Kehadiran Perdana Menteri itu sudah pastinya bakal mencetuskan semangat baharu kepada semua warga Institutsi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agar tampil dengan aksi terbaik ketika bersaing dalam setiap acara sukan yang mereka sertai, sekali gus melonjakkan reputasi Sukipt sebagai acara gemilang.

“Saya yakin, kehadiran Perdana Menteri akan meningkatkan lagi keterujaan terutamanya kepada tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), para pegawai, atlet dan juga sukarelawan yang terlibat menjayakan temasya tahun ini,” ujar Dr. Pekan lagi.

Penganjuran temasya Sukipt terpaksa ditangguhkan selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19 dan tahun ini ia kembali dengan mempertandingkan 21 acara sukan melibatkan penyertaan daripada 66 IPT dan IPTS di seluruh negara.

Bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukipt tahun ini, pihak penganjur turut mendapat khidmat daripada 700 tenaga pelajar daripada pelbagai universiti tempatan yang bertindak sebagai sukarelawan sepanjang temasya ini berlangsung kelak.

(Penulis merupakan pelajar tahun pertama jurusan kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam)

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here