LIGA HOKI DALAM DEWAN DIJADUALKAN BERMULA OKTOBER DEPAN

0
640

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Buat julung kalinya, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan memperkenalkan Liga Hoki Dalam Dewan tahun ini yang dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober hingga 20 Disember depan.

Venue kejohanan yang dicadangkan setakat ini adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak.

Berita gembira itu diumumkan oleh pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Shurizan Mansor selepas mesyuarat mengenai perancangan liga tersebut di pejabat KHM di ibu negara hari ini.

Menurut Shurizan, sebagai langkah awal, pihaknya akan menghantar jemputan penyertaan kepada semua persatuan hoki peringkat negeri serta kelab-kelab hoki dalam dewan di negara ini bagi menarik minat mereka menyertai liga yang julung kalinya dianjurkan itu.

“Kami merancang untuk menganjurkan liga pada 17 Oktober hingga 20 Disember depan. Dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan surat jemputan penyertaan kepada semua persatuan hoki negeri dan juga kelab-kelab hoki dalam dewan untuk menyertai saingan liga ini.

“Tarikh tutup untuk semua pasukan menghantar borang penyertaan mereka akan dimaklumkan nanti.

“Kami yakin dan percaya, liga ini akan mendapat sambutan daripada kelab-kelab hoki di seluruh negara kerana ia merupakan liga pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini.

“Kami juga merancang untuk mengadakan perlawanan secara timbal balik dan semua perlawanan akan dijalankan pada setiap Jumaat hingga Ahad.

“Pemilihan UPSI selaku venue pertandingan kerana kami mendapati UPSI memilikijkemudahan yang cukup baik termasuk dari segi penginapan bagi menempatkan pada pemain yang terlibat.

“Selain itu, dewan perlawanan yang ada di UPSI turut menepati piawaian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH),” jelas Shurizan.

Dalam perkembangan yang sama, jawatankuasa tersebut juga merancang untuk mengadakan Bangkel Pengenalan Hoki Dalam Dewan yang bakal dilaksanakan pada 24 hingga 26 Ogos depan di UPSI.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here