PKBM ANJUR MNCF VITRUAL RIDE 2020

0
1024

MELAKA, 18 Julai – Selepas hampir lima bulan menyepi gara-gara penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kembali beraksi dengan menganjurkan MNCF Virtual Ride 2020 bermula 7 Ogos hingga 29 Ogos ini.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan pihaknya terpaksa bersikap pro-aktif memandangkan Kejohanan Lumba Basikal Asia 2020 (ACC 2020) berkemungkinan diadakan pada tahun ini atau awal 2021.

“Kami perlu gerakkan jentera pentadbiran daripada sekarang. Sudah terlalu lama mereka berehat. Mereka perlu kekalkan prestasi dari segi menguruskan penganjuran kejohanan. Kami sedang menunggu jawapan penganjuran ACC 2020 daripada ACC (Konfederasi Berbasikal Asia).

“Jadi MNCF Virtual Ride 2020 boleh dianggap sebagai satu kejohanan pemanas badan menjelang ACC 2020 nanti. Sebenarnya, Malaysia juga bakal menyertai dua kejohanan besar pada Oktober dan November nanti,” kata Abu Samah dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menegaskan penganjuran MNCF Virtual Ride 2020 telah menjadi kenyataan apabila sekumpulan anak muda tampil berunding dengan persatuan untuk menyahut seruan kerajaan iaitu berkayuh secara normal baharu.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menjelaskan, MNCF Virtual Ride 2020 menawarkan hadiah bernilai lebih RM30,000 dengan beberapa hadiah menarik seperti set basikal bernilai RM8,000 dan pakej menunaikan umrah.

“Seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur turut menghadiahkan sebuah motosikal kapcai bernilai lebih RM5,000 untuk cabutan bertuah. Jam tangan Apple Series 5 turut jadi hadiah utama,” katanya.

MNCF Virtual Ride 2020 bermula 7 Ogos ini dengan peserta perlu menamatkan kayuhan sejauh 40 kilometer .

Jarak dan masa kayuhan ditentukan dengan menggunakan aplikasi Strava atau aplikasi lain yang bersesuaian. Mereka boleh berkayuh pada laluan kesukaan secara individu.

Abu Samah menegaskan peserta perlu menghubungi PKBM di talian 06-2830150 untuk pendaftaran dengan yuran RM119. Setiap peserta akan menerima baju, medal, e-bip serta e-sijil.

“500 peserta terawal akan terima rantai basikal 11-kelajuan daripada RK Malaysia. Saya berharap perlumbaan normal baharu ini akan mendapat sambutan kerana ramai di luar sana berkayuh pada setiap hujung minggu.

“Ambil kesempatan ini untuk mendapatkan pengiktirafan daripada PKBM. Saya percaya MNCF Virtual Ride 2020 akan disambung lagi jika mendapat sambutan hangat daripada peminat berbasikal tempatan,” katanya.

Buat masa ini, Abu Samah menegaskan MNCF Virtual Ride 2020 hanya boleh disertai peminat berbasikal tempatan dan berkemungkinan diluaskan ke negara jiran termasuk Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia pada masa hadapan.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here