LTdL 2022: BAX CATAT KEMENANGAN KETIGA

0
881

LANGKAWI, 17 Okt – Tampil dengan status sebagai pasukan Pro Benua tidak sesekali menyekat misi besar Alpecin-Deceuninck untuk melakar kejayaan pada perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang membuka tirainya secara rasmi pada Selasa lalu.

Selepas tujuh peringkat, Alpecin-Deceuninck ternyata mampu menyaingi kehebatan pasukan Jelajah Dunia yang terdiri daripada UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (USA), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan) pada edisi kali ini.

Terbaharu, pakar pecut Alpecin-Deceuninck, Sjoerd Bax berjaya menjuarai perlumbaan Peringkat 7 sejauh 107.1 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Pekan Kuah, Langkawi pada Isnin.

Bax mencatatkan masa 2 jam 20 minit dan 52 saat (s) bagi meninggalkan Willem Jakobus Smit daripada China Glory Continental Team) dan Sala Adria Morena (Burgos-BH) yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan Bax itu sekali gus mengulangi pencapaian dua rakan sepasukannya – Jakub Mareczko yang menjuarai Peringkat 4 dari Sabak Bernam, Selangor ke Meru Raya, Ipoh, Perak dan Lionel Taminiaux – juara Peringkat 5 (Kuala Kangsar, Perak-Kulim, Kedah).

“Seluruh anggota pasukan saya berlumba dengan cukup baik sepanjang minggu sehingga kami mampu meraih dua kemenangan sebelum ini. Saya sedar hari ini peluang terbaik dan saya yakin mampu meraih kemenangan.

“Pada Peringkat 3, saya mengalami banyak masalah dengan keadaan cuaca tetapi hari ini saya berjaya mengatasinya. Saya amat gembira dengan kemenangan ini, ia sesuatu yang hebat apabila dapat memenangi perlumbaan di sini.

“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan saya kerana bekerja keras untuk memastikan kami sentiasa kekal di depan. Saya hanya cuba kekalkan momentum dan membuat pecutan sehingga ke garisan penamat,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Pada perlumbaan dalam keadaan cuaca panas terik itu menyaksikan Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan masih kekal milik pelumba Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa Cuervo manakala Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) masih disarung Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team).

Jersi Hijau selaku Raja Pecut pula kekal disarung Erlend Blikra daripada Uno-X Pro Cycling Team manakala pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff masih mempertahankan Jersi Merah (Raja Bukit) selepas berakhirnya Peringkat 7.

Peringkat 8 yang juga hari kemuncak LTdL 2022 pada Selasa melibatkan jarak sepanjang 115.9km turut membabitkan laluan sama di Pekan Kuah dengan para pelumba bakal mengharungi tiga zon pecutan dan dua zon pendakian.

Keputusan Peringkat 7 LTdL 2022 

Pendahulu keseluruhan (Jersi Kuning)
1. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) 23:28.05s
2. Hugh John Carthy (EF Education Easypost) 23:28.28s
3. Torstein Traeen (Uno-X Pro Cycling Team) 23:29.52s

Pelumba terbaik Asia (Jersi Putih)
1. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 23:30.37s
2. Andrey Zeits (Astana Qazaqstan Team) 23:30.38s
3. Ariya Phounsavath (Thailand Continental Cycling Team) 23:36.28s

Raja Pecut (Jersi Hijau)
1. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 42 mata
2. Max Kanter (Movistar Team) 40 mata
3. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 39 mata

Raja Bukit (Jersi Merah)
1. Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Terengganu Polygon Cycling Team) 29 mata
2. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 29 mata
3. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) – 25 mata

Pasukan pendahulu keseluruhan
1. Movistar Team – 70:28.42s
2. EF Education – Easypost – 70:32.51s
3. Uno-X Pro Cycling Team – 70:34.32s

Pasukan terbaik Asia
1. Terengganu Polygon Cycling Team – 70:42.05s
2. Thailand Continental Cycling Team – 71:03.22s
3. Team Ukyo – 71:11.24s

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here