LAKARAN SEJARAH NUR AIMAN

0
426

LANGKAWI, 18 Okt – Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zarif melakar sejarah tersendiri apabila memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit buat kali kedua berturut-turut pada perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Selepas menyarung Jersi Merah buat kali pertama pada edisi 2020, pelumba kelahiran Terengganu berusia 25 tahun itu sekali lagi membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan status Raja Bukit.

“Syukur alhamdulillah apabila Aiman sekali lagi dapat memenangi Jersi Merah ini. Jadi Aiman sangat gembira dapat mempertahankan Jersi Merah sejak Peringkat 2 sehingga hari terakhir ini, macam-macam halangan Aiman tempuhi.

“Sama seperti perlumbaan sebelum ini, hari ini juga perlumbaan sangat mencabar. Aiman cuba mengekalkan tempo kayuhan dan mendapatkan kedudukan yang terbaik walaupun tak dapat kutip mata (di tiga zon pendakian) hari ini.

“Tetapi disebabkan Aiman sudah dapat kumpul banyak mata dalam beberapa peringkat awal, jadi itu menyebabkan masih kekal (pendahulu Raja Bukit). Alhamdulillah Aiman dapat pertahan Jersi Merah ini kali kedua berturut-turut,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Untuk rekod, Nur Aiman merupakan satu-satunya pelumba tempatan yang berjaya merangkul gelaran Raja Bukit pada kejohanan berbasikal terulung di Asia itu yang kini telah memasuki edisi ke-26 sejak penganjuran LTdL kali pertama pada tahun 1996.

Sebelum Nur Aiman meraih Jersi Merah pada edisi 2020, Malaysia turut memukau di pentas LTdL dengan kejayaan dua bekas pelumba negara – Anuar Manan dan Adiq Hussaini Othman yang masing-masing pernah bergelar Raja Pecut (Jersi Hijau) dan pelumba terbaik Asia (Jersi Putih).

Malah, Nur Aiman yang juga pemenang pingat emas acara lebuh raya Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei lalu kini boleh berbangga apabila dapat membayangi barisan pelumba daripada enam pasukan Jelajah Dunia yang mengambil bahagian pada edisi kali ini.

“Kejayaan ini sangat bermakna bagi Aiman kerana ada enam pasukan Jelajah Dunia yang bertanding kali ini. Ia satu pengalaman yang cukup berharga kerana Aiman dapat berlumba dengan pelumba-pelumba terbaik di dunia daripada pasukan Jelajah Dunia.

“Ikutkan memang Aiman target nak menang Jersi Merah tahun ini. Tetapi Aiman sendiri tak sangka target Aiman itu berjaya dicapai. Ikutkan tekanan kali ini lebih tinggi memandangkan ada ramai pelumba pasukan Jelajah Dunia yang bertanding,” ujarnya.

Selepas lapan peringkat perlumbaan LTdL 2022 yang secara rasmi melabuhkan tirainya pada Selasa, Nur Aiman berkongsi 29 mata dengan rakan sepasukannya, Jambaijamts Sainbayar – pelumba kelahiran Mongolia berusia 26 tahun.

Biarpun berkongsi mata dengan Sainbayar, Nur Aiman dijulang sebagai Raja Bukit berdasarkan kejayaannya mengungguli beberapa zon pendakian terutamanya pada Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub).

Begitupun, Sainbayar tidak pulang dengan tangan kosong apabila kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia, manakala TSG turut dinobat selaku pasukan terbaik Asia, sekali gus gelaran hatrik buat pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here