MARECZKO KEMBALI PAHAT NAMA PEMENANG LTdL

0
412

IPOH, 14 Okt – Pelumba Alpecin-Deceuninck, Jakub Mareczko memahat namanya dalam senarai pemenang perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 apabila menjuarai Peringkat 4 dari Sabak Bernam, Selangor ke Meru Raya, Ipoh, Perak pada Jumaat.

Pada perlumbaan sejauh 137.9 kilometer (km) itu, Mareczko merakamkan catatan masa 3 jam 15 minit dan 37 (s) bagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya – Rudiger Selig daripada pasukan Lotto Soudal dan Eduard Michael Grosu (Drone Hopper-Androni Giocatolli).

Ini merupakan kejayaan keempat buat Mareczko menjuarai perlumbaan peringkat LTdL selepas edisi 2017 yang menyaksikan dia meraih satu kemenangan di Rembau, Negeri Sembilan dan dua kali pada 2018 – masing-masing di Rembau dan Pantai Remis, Perak.

“Pertama sekali, saya harus ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu kemenangan saya pada perlumbaan hari ini. Kami bekerja sebagai satu pasukan sejak awal perlumbaan di Sabak Bernam.

“Tanpa bantuan mereka, sudah tentu saya agak sukar untuk meraih kemenangan Peringkat 4 di sini (Ipoh). Jadi mereka juga berhak untuk berkongsi kejayaan ini bersama-sama saya atas usaha keras sejak perlumbaan Peringkat 1.

“Saya gembira kerana akhirnya dapat sekali lagi menjuarai perlumbaan (peringkat) LTdL. saya harap dapat meneruskan momentum kemenangan ini pada baki empat perlumbaan akan datang,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan.

Dalam pada itu, pelumba Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa Cuervo kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan sekalipun menamatkan perlumbaan Peringkat 4 di tangga ke-69 dengan catatan masa 3:15.37s.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula terus disarung pelumba Astana Qazaqstan Team, Andrey Zeits buat hari kedua berturut-turut, manakala pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa kekal menyarung Jersi Hijau selaku Raja Pecut.

Status pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Mohd Zariff selaku Raja Bukit turut kekal memandangkan Peringkat 4 itu tidak melibatkan zon pendakian, sekali gus menyaksikan dia masih menyarung Jersi Merah.

“Seperti mana yang Aiman katakan semalam (Khamis), Aiman hanya mahu mengekalkan tempo kayuhan sebab tiada zon pendakian hari ini (Jumaat). Untuk esok (Sabtu) Aiman akan cuba mengutip mata lagi bagi menjarakkan kedudukan dengan pelumba lain,” ujar Nur Aiman.

Pada perlumbaan Peringkat 5 dari Kuala Kangsar, Perak ke Kulim, Kedah yang berlangsung pada Sabtu dengan jarak laluan sepanjang 172km, para pelumba bakal mengharungi tiga zon pecutan, masing-masing di Lenggong, Selama dqn Karangan serta satu zon pendakian di Sumpitan.

Keputusan Peringkat 4 LTdL 2022 (Sabak Bernam ke Meru Raya)

Pendahulu keseluruhan (Jersi Kuning)
1. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) 14:34.01s
2. Hugh John Carthy (EF Education Easypost) 14:34.24s
3. Einer Augusto Rubio Reyes (Movistar Team) 14:36.03s

Pelumba terbaik Asia (Jersi Putih)
1. Andrey Zeits (Astana Qazaqstan Team) 14:36.34s
2. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 14:36.35s
3. Ariya Phounsavath (Thailand Continental Cycling Team) 14:42.24s

Raja Pecut (Jersi Hijau)
1. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 27 mata
2. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 25 mata
3. Jakub Mareczko (Alpecin-Deceuninck) 24 mata

Raja Bukit (Jersi Merah)
1. Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Terengganu Polygon Cycling Team) – 29 mata
2. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) – 25 mata
3. Hugh John Carthy (EF Education Easypost) 24 mata

Pasukan pendahulu keseluruhan
1. Movistar Team – 43:48.50s
2. EF Education – Easypost – 43:50.53s
3. Uno-X Pro Cycling Team – 43:52.51s

Pasukan terbaik Asia
1. Terengganu Polygon Cycling Team – 43:59.53s
2. Thailand Continental Cycling Team – 44:21.10s
3. Team Ukyo – 44:28.59s

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here