LTdL 2022: HENJUTAN PADU IVAN RAMIRO

0
337

GENTING HIGHLANDS, 13 Okt – Pelumba Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa Cuervo ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai Peringkat 3 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berakhir di Genting Highlands pada Khamis.

Pada perlumbaan sejauh 123.7 kilometer (km) yang bermula dari Putrajaya itu, Ivan Ramiro melakukan henjutan solo ketika perlumbaan berbaki 1km sebelum menuju garisan penamat dengan catatan 3 jam 25 minit dan 31 saat (s).

Tempat kedua dimenangi pelumba EF Education – Easypost, Hugh John Carthy dengan catatan 3:25.50s manakala rakan sepasukan Ivan Ramiro, Einer Augusto Rubio Reyes melengkapkan podium ketiga (3:27.27s).

“Saya berasa amat gembira dengan kemenangan hari ini kerana kami sememangnya meletakkan sasaran untuk menjuarai perlumbaan di sini (Genting Highlands dan ia ternyata berhasil).

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasana berpasukan yang baik antara rakan-rakan sepasukan saya sejak awal perlumbaan. Setiap perancangan kami berjalan dengan baik hari ini.

“Ketika perlumbaan berbaki 1km, saya sedar mampu bergerak solo dan itu kunci kejayaan hari ini. Saya mengharungi musim yang sukar, jadi kemenangan ini amat penting bagi saya,” kata Ivan Ramiro sejurus tamat perlumbaan.

Kejayaan memenangi Peringkat 3 menyaksikan Ivan Ramiro berjaya merampas Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa yang sebelum ini menyarung jersi tersebut selama dua hari berturut-turut.

Dalam pada itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff turut menampilkan kayuhan memukau apabila kekal menyarung Jersi Merah selaku Raja Bukit selepas berakhirnya perlumbaan di Genting Highlands.

Percaturan awal Nur Aiman untuk menawan dua zon pendakian – masing-masing di Tekali (Bukit Hantu) dan Look Out Point benar-benar menjadi sehingga membolehkan dia menyambar 12 mata maksimum.

Kejayaan di dua zon pendakian awal itu menyaksikan Nur Aiman yang juga pemenang pingat emas acara lebuh raya Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei tahun lalu, kini mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan 29 mata – empat mata di depan Ivan Ramiro.

“Syukur alhamdulillah, apa yang Aiman target berjaya. Seperti mana yang Aiman katakan semalam, Aiman memang letak sasaran dia dua zon pendakian awal hari ini dan sasaran itu berjaya dilaksanakan.

“Esok (Peringkat 4) tak ada zon pendakian, jadi Aiman cuba tambahkan mata pada Peringkat 5 nanti. Aiman akan cuba untuk terus kekalkan jersi ini (Jersi Merah) tetapi cabaran kali ini lagi sengit,” ujar Nur Aiman.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula kini bertukar tangan apabila ia dimiliki pelumba Astana Qazaqstan Team, Andrey Zeits yang merampasnya daripada rakan sepasukan Nur Aiman, Jambaijamts Sainbayar.

Selepas Genting Highlands menjadi medan ujian buat pakar pendakian, Peringkat 4 pada Jumaat dari Sabak Bernam, Selangor ke Meru Raya, Ipoh, Perak dengan jarak laluan sejauh 137.8km bakal menjadi peluang buat ‘kaki pecut’ menyambar podium apabila 3 zon pecutan menjadi taruhan – Hutan Melintang, Kampung Gajah dan Tanjung Tualang.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here