NUR AIMAN BAWA PULANG JERSI MERAH

0
876

RAUB, 12 Oktober – Pelumba Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff kini pemilik baharu Jersi Merah selaku Raja Bukit selepas tamat Peringkat 2 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 di Raub, Pahang pada Rabu.

Selepas terlepas menyarung jersi itu pada perlumbaan Peringkat 1 yang berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada Rabu, Nur Aiman berjaya menebus kegagalannya itu dengan merampas Jersi Merah daripada rakan sepasukannya, Jambaijamts Sainbayar.

“Syukur alhamdulillah memang pada perlumbaan hari ini (Rabu), Aiman target nak menang jersi King of Mountain (Jersi Merah). Sejak semalam (Selasa) lagi, Aiman target nak jersi ini, tetapi tak dapat disebabkan beberapa kesilapan dan ia jadi milik Sainbayar.

“Aiman gembira strategi yang dirancang pada perlumbaan kali ini menjadi. Insya- ALLAH Aiman akan cuba kekalkan Jersi Merah sehingga habis perlumbaan LTdL kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlumbaan.

Nur Aiman nyata unggul apabila menawan dua zon pendakian (Petaseh dan Bukit Damar) pada perlumbaan sejauh 178.8 kilometer yang bermula dari Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan itu, sekali gus membolehkannya menyambar enam mata maksimum.

Hasil pungutan enam mata tersebut, Nur Aiman kini berkongsi 17 mata dengan Sainbayar yang hanya dapat mempertahankan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia selepas berakhirnya perlumbaan yang membabitkan laluan terpanjang pada edisi ke-26 kali ini.

“Untuk persiapan esok, Aiman cuba dengan strategi sama… buat breakaway awal. Aiman cuba dapatkan mata awal bagi menjarakkan mata untuk memastikan kedudukan Aiman lebih selesa,” ujar Aiman yang memenangi pingat emas acara lebuh raya pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei lalu.

Pada perlumbaan Peringkat 2 itu, pelumba UAE Team Emirates, Juan Sebastian Molano Benavides sudah pasti individu paling kecewa pada perlumbaan hari ini meskipun dia muncul juara selepas merakamkan catatan 4 jam 09 minit dan 20 saat (s).

Kemenangannya tidak diiktiraf selepas pihak komisar dan pengarah perlumbaan mendapati pelumba pasukan UAE Team Emirates itu melakukan pecutan yang tak ‘teratur’ dalam perlumbaan tersebut.

Kemenangannya telah dibatalkan, sekali gus menyaksikan pencabar terdekatnya – Craig Wiggins (Ara Pro Racing Sunshine Coast) dinobatkan sebagai juara manakala Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) mengisi kedudukan selaku naib juara.

Bagaimanapun, Syritsa yang menjuarai Peringkat 1 dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) sejauh 157.3 km pada Selasa, kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan apabila mengumpul masa keseluruhan 07:52.49s.

Kem skuad kebangsaan Malaysia pula tetap pulang ceria apabila Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil muncul pelumba terbaik Asia Peringkat 2 apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dengan catatan masa 4:09.20s.

Peringkat 3 pada Khamis bakal menyajikan cabaran lebih getir buat semua pelumba apabila bayangan awal ‘sang juara’ LTdL 2022 bakal menjelma dengan perlumbaan sejauh 123.7km dari Putrajaya ke puncak Genting Highlands.

Para pelumba perlu menempuh dua pendakian Kategori 3 di Tekali dan Look Out Point, Ampang sebelum pendakian Kategori 1 di Goh Tong Jaya dan memasuki Awana, mereka perlu memerah keringat menuju ke puncak pusat peranginan tanah tinggi itu untuk menuju ke garisan penamat yang terletak pada ketinggian 1,640m dari aras laut.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here