PARA PEMINAT SUKAN NEGARA BERPENDAPAT SUKAN OLIMPIK TOKYO WAJAR DIBATALKAN GARA-GARA COVID-19

0
747

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Majoriti peminat sukan negara bersetuju agar Sukan Olimpik 2021 Tokyo dibatalkan.

Pendirian mereka disalurkan menerusi kaji selidik selama dua hari hari yang dijalankan oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) bermula semalam (Sabtu).

Kaji selidik dengan tajuk ‘Berdasarkan situasi Pandemik Covid-10 yang semakin menular, wajarkah Sukan Olimpik 2021 Tokyo Dibatalkan?’ – menyaksikan sebahagian besar peminat sukan tanah air mengutamakan soal keselamatan atlet, lebih-lebih lagi ketika tuan rumah, Jepun dan dunia amnya sedang berjuang melawan virus tersebut daripada terus merebak.

Dalam undian tersebut (setakat pukul 5 petang) hari ini (Ahad), sejumlah 87 peratus bersetuju ia dibatalkan manakala 13 peratus lagi tidak bersetuju.

Norismadi Abd Manap

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap menjelaskan, usaha yang dijalankan oleh SAM ini bertujuan untuk meninjau pendapat daripada para peminat sukan negara berkaitan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo dalam keadaan pandemik Covid-19 semakin mengganas.

“Ini adalah usaha kecil SAM yang hanya mahu melihat keprihatinan peminat sukan tanah air, namun segala keputusan untuk meneruskan atau tidak Sukan Olimpik terletak di tangan IOC dan Jepun selaku tuan rumah.

“Berdasarkan undian yang telah dilakukan, ternyata sebahagian besar peminat sukan berpendapat Sukan Olimpik kali ini wajar dibatalkan berikutan situasi pandemik Covid-19 di negara matahari terbit itu ketika ini,” jelas Norismadi.

Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai 2020 lalu, telah ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Setakat ini, meskipun Jepun berada dalam situasi bimbang dengan penularan gelombang ketiga Covid-19 di seluruh dunia, namun kata putus samada temasya sukan tersebut diteruskan atau sebaliknya, terletak di tangan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).

Sekiranya IOC kekal dengan pendirian untuk meneruskannya, negara-negara anggota tidak boleh menarik diri sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh.

Malaysia pernah menarik diri daripada Sukan Olimpik1980 Moscow sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here