PKBM: AZIZULHASNI TAHU APA YANG PERLU DILAKUKAN DI TOKYO

0
635

MELAKA, 9 Julai – Jaguh atlet berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang tahu apa yang perlu dia lakukan di Sukan Olimpik 2020, Tokyo penghujung bulan ini.

Demikian rumusan Persekutuan Kebangsaan  Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas mereka meneliti sasaran yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadap kemampuan serta peluang atlet negara yang akan bertanding pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti.

Pengurus pasukan, Datuk Ashakari Abu Noor menyatakan bahawa rumusan yang dilakukan oleh PKBM adalah berdasarkan pandangan semua pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Kementerian Beliau dan Sukan (KBS).

“Kita telah mendengar semua pihak bercakap. Menteri pun telah menyatakan pandangan beliau. Jurulatih, John Beasley juga telah memberikan senario terkini tentang prestasi Azizulhasni.

“Peminat pun harapkan pingat emas pertama Sukan Olimpik daripada Azizulhasni. Semua orang mempunyai impian yang sama. Selepas dengar semua sasaran, kami di PKBM membuat rumusan bahawa Azizulhasni pasti tahu apa yang perlu dia lakukan nanti.

“Rasanya semua orang telah santuni Azizulhasni dengan baik. Semua keperluan telah dipenuhi kerana kita memang mahukan hasil yang positif daripada Sukan Olimpik di Tokyo.

“Justeru, PKBM percaya Azizulhasni tahu apa yang perlukan di Sukan Olimpik nanti. Beliau ialah seorang pelumba yang hebat, berpengalaman dan bijaksana orangnya,” kata Ashakari dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKBM semalam.

Ashakari yang juga dilantik pengurus pasukan ke Sukan Asia 2014 ketika Azizulhasni mengondol pingat emas di Incheon, turut mendedahkan hubungan yang sangat baik dengan Persekutuan Berbasikal Jepun (JCF) akan menjadi faktor terpenting sekiranya berlaku sebarang masalah di Velodrom Izu nanti.

“PKBM sentiasa berhubung dengan pegawai hubungan luar negara JCF iaitu Naoko Kaizuka. Kami juga mempunyai hubungan baik dengan ‘orang kuat’  JCF iaitu Tatsuo Hayashi.

“Hayashi ialah orang yang berhubung rapat dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik. Ini senjata kita sekiranya berlaku sebarang masalah di Velodrom Izu nanti,” katanya.

Ashakari turut menegaskan selain Incheon 2014, beliau mempunyai pengalaman manis bekerjasama dengan Azizulhasni sejak Kejohanan Lumba Basikal Asia 2009 (ACC 2009) di Kalimantan, Indonesia dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau meminta semua peminat sukan berbasikal di negara ini berdoa agar Azizulhasni berjaya membawa pulang kilauan emas Sukan Olimpik Tokyo nanti.

“Seperti yang kita tahu, Azizulhasni mempunyai semua ramuan untuk merangkul pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik. Beliau mempunyai pengalaman bertarung pada semua pentas pertandingan trek dunia,” katanya.

Azizulhasni dan Mohd. Shah Firdaus Sahrum layak menyertai acara trek, keirin dan pecutan individu pada temasya itu secara merit.

Pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Azizulhasni melakar sejarah selepas mengondol pingat gangsa menerusi acara keirin.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here