PKBM TERIMA TAJAAN UNTUK ANJUR KEJOHANAN LEBUH RAYA KEBANGSAAN 2020

0
852
SULAIMAN (tengah) menyaksikan penyerahan cek replika daripada wakil penaja, Alvin Lim (kiri) kepada Presiden PKBM, Abu Samah dalam satu majlis ringkas di Melaka semalam.

MELAKA, 10 Sept –  Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menarik nafas lega selepas menerima penajaan RM50,000 untuk Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 pada 18-20 September ini, sekali gus membuktikan persatuan tersebut masih mampu menarik minat penaja sekalipun berdepan pelbagai kemelut.

Paling menarik, Kerajaan Melaka turut berjanji akan membantu menyalurkan bantuan kewangan bagi memastikan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 yang diserahkan hak penganjurannya kepada Melaka pada saat terakhir berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berjanji akan memperuntukkan bantuan kewangan sekalipun kerajaan negeri berdepan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19.

“Saya akan pastikan ada bantuan diberikan untuk penganjuran Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020. Bagaimana pun, saya mahu semua SOP (Prosedur Operasi Standard) dipatuhi kerana pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKBM semalam.

Penajaan RM50,000 diserahkan kepada PKBM semalam dan disaksikan oleh Sulaiman, Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashakari Abu Noor dan Pengarah Urusan Harp Tech Solution (M) Sdn Bhd, Alvin Lim.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab gembira kerana masih ada pihak swasta tampil memberi penajaan dan menyifatkannya umpama penyambungan talian hayat terbaharu buat persatuan.

“Kami rasa seolah-olah kembali bernafas.  Sepanjang Covid-19 kami tidak dapat menganjurkan sebarang kejohanan. Tiada kejohanan, bermakna kami tiada punca pendapatan.

“Apabila bersetuju untuk menganjurkan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020, barulah kami sedar bahawa PKBM berdepan beban kewangan. Kita pilih Melaka kerana ia menawarkan laluan yang sesuai.

“Namun oleh kerana kejohanan ini harus diadakan pada setiap tahun mengikut arahan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kita kena teruskan penganjuran. PKBM mungkin didenda jika gagal (menganjurkannya),” jelas Abu Samah.

Sebagai rekod, kejohanan edisi 2020 ini akan diadakan selama tiga hari bermula 18 September melibatkan acara lebuhraya, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Kesatuan Berbasikal Asia (ACC) turut meluahkan rasa bangga kerana PKBM mampu meneruskan tanggungjawab mengadakan kejohanan kebangsaan sesuai arahan UCI sekalipun tidak mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

“Rasanya Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 ini ialah antara kejohanan sukan paling awal diadakan dalam era PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

“Justeru saya minta sokongan semua pihak bagi memastikan ia berjalan lancar.

“Selain bola sepak, rasanya belum ada sukan lain yang dianjurkan oleh mana-mana persatuan. Inilah cabaran getir yang digalas oleh kami. Kami harap agensi kerajaan sudi meringankan beban kami,” katanya.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here