SRIKANDI SARAWAK SEMAKIN GAGAH, PESILAT NEGARA MULA MENGORAK LANGKAH

0
752
Sarawak's Zureen Zulyka Zaidel

KUCHING, 2 Mac – Kehebatan srikandi tuan rumah semakin terserlah pada kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 yang memasuki hari ketiga di Stadium Perpaduan Petra Jaya hari ini.

Pada sesi pagi tadi, tiga atlet Sarawak berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi kejayaan Azizy Arbi dalam kategori Solo Kreatif Putra senior, Zureen Zulyka Zaidel (Tunggal Baku Putri senior) dan juga menerusi Nur Inatha Khairuniyah Wira yang beraksi dalam kategori Solo Kreatif Putri.

Azizy menewaskan rakan sepasukannya, Mohammad Shamiezal Shapian di suku akhir dengan meraih 9.840 mata. Walaupun berdepan dengan rakan sepasukannya, Azizy tetap mempamerkan persembahan yang mengagumkan untuk mara ke pusingan separuh akhir.

Rentak kemenangan kem silat Sarawak diteruskan menerusi Zureen Zulyka Zaidel dalam kategori Tunggal Baku Putri senior. Zureen menghampakan pencabarnya, Hananzohira Harif dari Angkatan Tentera Malaysia dengan pungutan mata 9.9 berbalas 9.39 sekali gus sekali gus menempatkan diri ke pusingan separuh akhir.

“Dengan persediaan yang rapi, saya memasang impian untuk beraksi di peringkat akhir namun saya tetap gembira dengan persembahan yang telah saya tunjukkan pada pagi ini,”

Turut menceriakan kem silat Sarawak di Arena 2, pesilat Sarawak, Nur Inatha Kharuniyah juga berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas menundukkan Nur Sofea Nadillah dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pesilat negara, Muhammad Khairul Shaddad Ardi menepati ramalan apabila mengesahkan tempatnya ke separuh akhir acara Tunggal Baku Putra senior.

Begitupun, Khairul yang pernah meraih pingat gangsa acara seni ketika Sarawak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2016 lalu, tetap diberi tentangan sengit oleh lawannya dari Brunei Darussalam, Muhammad Ali Saifullah Muhad Suhaimi yang turut memperagakan gerakan-gerakan yang kemas dan tangkas.

Dalam pertarungan tersebut, pesilat negara asal Johor itu menang tipis selepas meraih 9.950 mata manakala lawannya mengumpul 9.9920 mata dan kedua-duanya menepati tempoh persembahan yang ditetapkan.

Saiful tidak keseorangan melangkah ke pusingan separuh akhir kerana dia akan ditemani tiga lagi rakan sepasukannya yang turut melepasi halangan pada saingan peringkat suku akhir pagi tadi.

Nur Syafiqah Hamzah yang menggalas cabaran skuad kebangsaan dalam kategori Tunggal Baku Putri senior menghampakan pencabarnya, Mary Francine C. Padios dari Filipina.

Tampil dengan gaya persembahan yang mengagumkan, Nur Syafiqah berjaya meraih 9.440 mata manakala lawannya sekadar mengumpul 9.905 mata.

Nur Syafiqah yang muncul pesilat pertama negara meraih pingat emas pada kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara di Singapura tahun lalu, sudah pastinya memegang reputasi selaku atlet pilihan untuk menggengam emas acara ini pada SPISC 2023.
Turut meneruskan kemaraan adalah pasangan adik-beradik Muhammad Danial Azray Noorazizan dan Muhammad Danial Azroy Noorazizan dalam kategori Ganda Putra senior.

Pasangan tersebut yang tampil kemas serta mempamerkan keseragaman dalam setiap Gerakan yang mereka lakukan berjaya meraih 9.925 mata dan ia sudah cukup untuk mengecewakan harapan gandingan dari Brunei Darussalam iaitu Juzaili Abdullah dan Mohd Arif Ismail yang sekadar mengutip 9.9885 mata.

Turut mencuri tumpuan pada saingan sesi pagi hari ini adalah persembahan daripada regu Perlis yang diwakili Maisarah Zainal, Nurul Huda Usaini dan Siti Nuraida Rohanizi dalam kategori Regu Putri senior.

Mereka tampil dengan gaya persembahan yang sangat memukau dan setiap langkah bergerak kemas dengan tahap keseragaman yang tinggi dan aksi luar bias aitu berjaya memikat hati para juri, sekali gus membolehkan mereka mengumpul 9.920 mata bagi menghampakan trio ATM yang diwakili Hananzohira Harif, Melissa Madiah dan Siti Zubaidah Abdullah.

Selepas tiga hari kejuaraan ini berlangsung, para pesilat semakin mempamerkan gaya persembahan yang berkualiti dan ini menjanjikan masa depan yang cemerlang buat sukan silat di negara ini.

Edisi sulung kejuaraan ini akan berlangsung dari 27 Februari sehingga 5 Mac di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, yang menjanjikan hadiah lumayan sebanyak USD20,000 serta tali pinggang kejuaraan yang pertama kali diperkenalkan untuk edisi kali ini. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ubagi memberikan sorakan padu kepada pesilat kita, masuk adalah percuma.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here