JANGAN TERLALU GHAIRAH DEDAH ATLET MUDA KE PENTAS SUKAN SEA

0
1220

SALAM sejahtera dan selamat berjumpa lagi menerusi Kolum Lipat Maut.

Sebelum itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang kembali beroperasi selepas berapa bulan penerbitannya diberhentikan.

Marilah kita berdoa agar dua akhbar tersebut berjaya mendapat tempat di hati para pembaca meskipun terpaksa berdepan saingan dengan pelbagai bentuk media baharu ketika ini.

Okay…minggu lalu pelbagai berita sukan menarik telah dipaparkan di semua saluran media tempatan terutamanya saingan Cub Prix yang kembali membuka gelanggang selepas mendapat kelulusan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan kalendar kejuaraan tahunannya meskipun negara kita masih belum bersih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Selain itu, perancangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memberi peluang kepada lebih ramai atlet muda beraksi di Sukan SEA 2021 Vietnam nanti, turut menjadi tajuk utama – yang MOM anggap sebagai langkah untuk memberi pendedahan.

Sejujurnya, ia memang dilihat satu keputusan yang tepat jika kita berhasrat melahirkan lebih ramai atlet berwibawa suatu hari nanti.

Masalahnya, adakah kita mempunyai masa yang cukup untuk menilai prestasi atlet muda negara yang difikirkan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bersaing di temasya sukan yang besar seperti Sukan SEA?

Saya bukan tidak bersetuju dengan langkah tersebut, tetapi saya mempunyai pandangan tersendiri yang mungkin berbeza dengan penelitian MOM mahupun para penggiat sukan yang lainnya.

Kebimbangan saya paling utama adalah bajet serta masa untuk menyediakan barisan atlet muda kita ini.

Seperti yang kita tahu, agenda sukan negara sudah lama menyepi gara-gara penularan virus Covid-19.

Sepanjang tempoh kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada sebarang kejohanan kompetitif dilangsungkan, sekali gus menyukarkan tugas pihak terbabit untuk menilai prestasi atlet muda negara.

Sukan SEA bukan temasya sukan kampung. Ia acara sukan besar yang boleh mengharumkan atau memburukkan imej sesebuah negara.

Justeru, kita wajar membuat penilaian yang lebih teliti agar hasilnya nanti tidak menghampakan.

Jika mahu menjadikan Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan sebagai medan bagi memilih atlet muda untuk diserapkan dalam kontinjen Sukan SEA, terus terang saya katakan bahawa ia adalah langkah yang kurang bijak.

Sukma Johor hanya akan bermula pada Mac tahun depan, dan Sukan SEA 2021 pula akan berlangsung pada bulan Disember.

Adakah kita memiliki masa yang cukup untuk menyediakan barisan atlet muda ini yang masih cetek pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

Ia bukan masalah buat sebahagian daripada mereka yang sudah mempunyai pengalaman tetapi bagi acara-acara yang lainnya, mungkin mereka masih belum bersedia.

Perlu diingat bahawa juara setiap acara di Sukma, belum tentu sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara jika pengalamannya sekadar ‘anak baharu lahir kelmarin’.

Pengalaman lalu membuktikan bahawa sudah terlalu ramai juara Sukma kita menghilangkan diri daripada meneruskan karier sukan mereka atas alasan yang kurang jelas, dan ini yang kita patut elakkan.

Lainlah kalau juara Sukma kita memiliki semangat waja seperti Datuk Lee Chong Wei yang terus gagah melakar nama sebagai jaguh terbilang di pentas dunia untuk sekian lama.

Jadi, persoalan pertama sudah pastinya – cukupkah tempoh kurang tujuh bulan untuk membuat persediaan dan bila pula masanya kita mahu memberi pendedahan kepada mereka untuk merasai suasana pertandingan di pentas antarabangsa.

Adakah mereka mampu mempertahankan prestasi kemuncak mereka sehingga ke hujung tahun?

Sekadar pengalaman beraksi di Sukma, ia belum mencukupi untuk mematangkan atlet-atlet muda bersaing di pentas Sukan SEA kerana temasya sukan dwi-tahunan itu memiliki standard yang agak tinggi.

Masalah lain adalah bajet. Adakah kita mempunyai bajet yang cukup untuk menghantar lebih ramai atlet muda?

Jika dilihat situasi ketika ini, saya yakin banyak peruntukan akan dikurangkan kerana keutamaan telah disalurkan terhadap usaha-usaha membanteras Covid-19. Ekonomi negara pula belum pasti pulih dalam masa yang agak singkat dan masalah ini sudah pasti menjejaskan agihan peruntukan.

Masalah lain yang akan timbul nanti sudah pasti mental seseorang atlet muda itu. Jika mereka belum bersedia, dan tetap diberi peluang – mereka akan berdepan seribu satu macam kritikan jika gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.

Akibatnya, karier mereka mungkin terjejas, sekali gus mematikan minat untuk terus aktif.

Ia mungkin tidak akan berlaku kepada atlet yang memiliki jiwa kental.

Masalah seperti ini sering berlaku pada masa lalu dan mana mungkin kita mahu mengulanginya.

Memang tidak dinafikan, langkah-langkah untuk memberi peluang kepada atlet muda beraksi di pentas antarabangsa merupakan satu keputusan yang baik. Tetapi, biarlah mereka didedahkan dalam pertandingan yang bersesuaian terlebih dahulu sebelum melangkah ke pentas Sukan SEA.

Kalau masih mahu berbuat demikian, jangan pula terlalu berasa yakin. Mungkin dalam satu acara boleh senaraikan lima orang atlet muda berpotensi untuk bergandingan dengan atlet senior.

Itu mungkin lebih relevan daripada menyenaraikan terlalu ramai.

Pemilihan hendaklah dibuat dengan teliti dan jangan pula nanti berlaku pertukaran pada saat-saat akhir.

Amalan seperti ini sering berlaku pada masa lalu dan akhirnya mencetuskan salah faham antara atlet dan pengurusan.

Apa pun, saya berharap agar kontinjen negara ke Sukan SEA nanti memiliki keseimbangan dari segi pemilihan atlet. Lupakan hasrat untuk muncul juara keseluruhan kerana ia perkara mustahil untuk dicapai jika beraksi di gelanggang lawan.

Paling utama adalah agar atlet kita meneruskan penguasaan dalam setiap acara sukan yang telah menjadi kekuatan kita selama ini di pentas Sukan SEA. Itu yang lebih penting.

Sekian, Maju Sukan Untuk Negara.

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here