KONGSI ILMU TANI DAN KHIDMAT PENGEMBANGAN DI KARNIVAL KOMUNITI SEDEKAD UCTC UPM

0
962
Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Osman, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM

SERDANG, 25 Okt – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia akan mengadakan Karnival Komuniti Sedekad UCTC pada 1 November ini di Perkarangan Bangunan Jaringan Industri dan Masyarakat, UPM kampus Serdang.

Program ini bertujuan untuk mendekatkan warga kampus dengan komuniti luar melalui pelbagai aktiviti perkongsian ilmu berkaitan pertanian. Melalui karnival ini juga, UPM membuka ruang dan menggalakkan komuniti luar untuk datang ke kampus UPM bagi merasai pengalaman, mendapatkan pelbagai ilmu dan khidmat kepakaran yang sedia ada di universiti serta mendekatkan universiti dengan komuniti.

Pegawai UPM melaksanakan aktiviti pengembangan dengan berkongsi ilmu pertanian kepada komuniti

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Osman, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, “Universiti bukan sekadar pusat pendidikan semata-mata, tetapi universiti juga adalah milik masyarakat yang boleh mendapatkan khidmat dan kepakaran untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh komuniti”.

“Malah, pelbagai bidang kepakaran yang ada di UPM selain daripada pertanian, antaranya adalah kejuruteraan, pendidikan, perubatan, perhutanan, alam sekitar, sains, bahasa, perubatan veterinar dan banyak lagi”, ulas beliau.

Karnival ini diadakan bagi meraikan sambutan ulangtahun UCTC ke-10 yang ditubuhkan bagi memperkasakan aktiviti pengembangan universiti. Program pengembangan UPM telah dilaksanakan sejak zaman Kolej Pertanian Malaya dan UPM juga merupakan universiti pertama yang melaksanakan khidmat pengembangan di bawah Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL), Universiti Pertanian Malaysia sekitar tahun 1976 hingga 1996.

“Walaupun berlaku evolusi perubahan nama kepada Universiti Putra Malaysia, namun, aktiviti pengembangan tetap diteruskan dan menjadi salah satu elemen penting selain daripada pengajaran dan penyelidikan. Ini juga selari dengan motto UPM iaitu ‘Berilmu, Berbakti’”, tambahnya lagi.

Antara peranan UCTC UPM adalah memperkasakan penglibatan bersama komuniti dan memperkasakan jaringan strategik dengan pihak berkepentingan melalui aktiviti pengembangan. Malah, sepanjang sedekad ini, pelbagai pencapaian telah diperolehi. Antaranya adalah penglibatan UCTC dalam menyumbang aktiviti keusahawanan hingga memenangi Anugerah MOHE Entrepreneurial Awards (MEA) di bawah kategori Impak Keusahawanan dan Anugerah Universiti Awam (UA) Paling Berkeusahawanan pada tahun 2016 bersama beberapa pusat tanggungjawab di UPM.

Komuniti pelajar seronok melihat pameran di Bas Pengembangan PUTRA UPM

Tambahnya lagi, “UCTC telah melaksanakan lebih 500 aktiviti pengembangan komuniti dan telah menawarkan lebih 400 geran komuniti untuk pegawai UPM menyumbang bakti kepada masyarakat. Khidmat Bas Pengembangan Putra UPM juga telah bergerak ke 107 buah lokasi di seluruh Malaysia untuk pameran dan khidmat pengembangan sepanjang tempoh 10 tahun”.

“Aktiviti pengembangan UPM dimantapkan lagi melalui Program Pertanian Putra dan Klinik Pertanian (Hari Pakar) UPM yang memfokuskan lokaliti setempat dan telah melaksanakan sebanyak 28 program yang melibatkan seluruh entiti dan bidang kepakaran di UPM”, kata Nizam.

“Khidmat pengembangan yang dilaksanakan bukan sekadar komuniti tempatan, ia turut melangkaui ke peringkat antarabangsa melalui siri kursus dan latihan yang ditawarkan. Sepanjang tempoh sedekad, sebanyak 84 program antarabangsa telah ditawarkan dengan penglibatan lebih 2,000 orang komuniti antarabangsa”, tambahnya lagi.

Tambah Dr Nizam, “Impak daripada aktiviti pengembangan yang telah dijalankan telah berupaya meningkatkan pengetahuan, sikap yang lebih positif, peningkatan aspirasi dan komuniti berupaya menguasai kemahiran baharu hasil perkongsian ilmu oleh warga UPM”.

“Malah, program pertanian bandar dan kebun komuniti juga telah berjaya meningkatkan ekonomi komuniti, membantu menjimatkan perbelanjaan harian dan meningkatkan taraf hidup sosial komuniti ke arah yang lebih baik selepas mengikuti program pengembangan UPM”, ulasnya lagi.

Program Klinik Pertanian Putra UPM sebagai platform khidmat nasihat pakar UPM dengan komuniti

Sempena Karnival Komuniti Sedekad UCTC UPM ini, pelbagai aktiviti pemindahan ilmu yang akan dikongsikan secara percuma kepada komuniti. Antaranya adalah demonstrasi kokedama, hiasan seni macrame, Teknik decoupage, demo masakan, pengumpulan minyak masak terpakai, sukaneka rakyat, pemeriksaan kesihatan, pertandingan pertanian bandaran dan pertandingan mewarna batik serta banyak lagi aktiviti.

Selain itu, sebanyak 50 unit kotak rezeki ummat sumbangan MyFundAction turut akan disumbangkan kepada komuniti pelajar dan asnaf UPM yang memerlukan serta sumbangan ‘free market’ untuk dikongsi bersama komuniti.

Karnival Komuniti Sedekad UCTC UPM ini merupakan program julung-julung kali diadakan dan menjemput seluruh komuniti dan masyarakat untuk hadir ke karnival ini. Maklumat lanjut berkaitan karnival boleh hubungi kami di talian 03-97691805 atau layari facebook UCTC UPM.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here