POPIC 2023 TAWAR HADIAH KEMENANGAN RM117,000

0
112

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 bakal kembali menghangatkan bumi Pahang apabila dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 November ini.

Memasuki edisi kedua tahun ini, POPIC 2023 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM117,000 bakal melibatkan tiga peringkat dengan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 48.5 kilometer (km).

Penasihat Acara POPIC 2023 Emir Abdul Jalal berkata, tiga pantai popular di Pahang menjadi lokasi perlumbaan bagi edisi kali ini dengan Rompin bakal membuka tirai sebelum POPIC 2023 berakhir di Kuantan.

“Peringkat Pertama POPIC 2023 akan diadakan di Pantai Rantau Panjang, Rompin dengan jarak melibatkan kategori antarabangsa dan kebangsaan sejauh 14km, manakala inter varsity sejauh 6km.

“Peringkat 2 pula dijadualkan bakal berlangsung di Pantai Lagenda, Pekan, juga dengan jarak sama bagi ketiga-tiga kategori berkenaan. Pantai Lagenda pernah menjadi lokasi POPIC pada edisi sulung tahun lalu.

“Peringkat terakhir iaitu Peringkat 3 bakal diadakan di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan. Namun, jarak perlumbaan kategori antarabangsa dan kebangsaan lebih panjang iaitu sejauh 20.53km, manakala inter vasity kekal 6km,” jelas Emir.

Dengan tema Whack The Wave, POPIC 2023 mempertandingkan enam kategori – Terbuka Antarabangsa SS1 (lelaki dan wanita); Terbuka Malaysia TK2 (lelaki dan wanita) dan Inter Varsity (lelaki dan wanita).

“Untuk makluman, peserta tempatan yang menyertai kategori Terbuka Antaraban  gsa SS1 juga layak menerima hadiah kemenangan SS1 kebangsaan lelaki dan wanita.

“Hadiah diberikan kepada setiap pemenang peringkat perlumbaan, juara, naib juara dan tempat ketiga. Pemenang keseluruhan turut menerima hadiah dengan dikelaskan mengikut masa.

“Seperkara lagi, penyertaan dalam kategori Inter Varsity hanya terbuka kepada peserta yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Jadi pelajar universiti dan kolej layak bertanding,” jelasnya.

POPIC 2023 dianjurkan kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama Tourism Pahang dan disokong pelbagai agensi kerajaan selain mendapat sokongan penuh Persatuan Kanu Malaysia dan Persatuan Kanu Negeri Pahang.

Dianggap signatur baharu, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu secara tidak langsung mampu merancakkan aktiviti pelancongan sukan di Pahang, sekali gus mempromosikan negeri itu kepada dunia.

Setakat ini, lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara telah mengesahkan penyertaan masing-masing.

Jadual:

3hb : Pantai Rantau Panjang, Rompin

4hb : Pantai Lagenda, Pekan

5hb : Teluk Chempedak, Kuantan

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here