PENGUSAHA HOTEL GUSAR MENUNGGU SEPTEMBER

0
962
Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein

Oleh KHALID NOORSHAH

KUALA LUMPUR – Pengusaha-pengusaha hotel bajet tempatan gusar dengan nasib mereka kerana tiga bulan mendatang akan menentukan kelangsungan mereka dalam industri pelancongan negara.
Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (MYBHA), Emmy Suraya Hussein berkata, menurut kajian Pelancongan Malaysia, rakyat tempatan rata-rata akan hanya bersedia untuk keluar melancong antara September hingga Disember ini.
MYBHA kini dianggotai oleh 1,656 hotel bertaraf dua dan tiga bintang dan hotel bertaraf orkid yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) dengan tenaga pekerja seramai 84,000 di seluruh negara.
“Sementara menunggu September kami masih perlu menanggung kos operasi di mana kos terbesar ialah upah pekerja. Kami seboleh-bolehnya tidak mahu memberhentikan pekerja, oleh itu bantuan kerajaan amat dialu-alukan bagi membolehkan kami bertahan,” katanya.
Menurut beliau, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana), syarikat perusahan kecil sederhana (PKS) seperti hotel budget tidak lagi menikmati subsidi gaji pekerja RM1,200 seorang seperti dahulu tetapi subsidi itu kini dikurangkan kepada RM600 sahaja seorang pekerja.
“Sudahlah kami tidak mempunyai sebarang pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bantuan yang kami terima pun dikurangkan dan kami kini kena mencari wang tambahan untuk bayar kekurangan baki gaji pekerja, maka kami sememangnya mengharapkan kerajaan prihatin akan kedudukan kami.
“Kami kini menanti dengan penuh debaran apakah jenis bantuan yang akan ditawarkan kepada kami pada bulan Julai ini di bawah Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion bagi sektor pelancongan,” kata beliau.
Peruntukan RM1 bilion di bawah Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana itu ialah untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu. Perincian dana itu akan diumumkan oleh Bank Negara pada Julai ini.
Skim itu ialah satu daripada 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu di bawah Penjana termasuk RM10 bilion suntikan fiskal langsung daripada kerajaan untuk memulih dan merangsangkan semula ekonomi negara.
Emmy Suraya berkata, Mybha mengharapkan peruntukan RM1 bilion itu akan mengambil kira dana bantuan khas yang akan membantu aliran tunai hotel di samping memudahkan bank memberi pinjaman kepada para pengusaha hotel.
“Pada masa ini, bank tidak mesra hotel. Apabila kita mohon pinjaman, bank menolak atas alasan perniagaan hotel berisiko tinggi. Jadi dengan adanya dana bantuan khas itu, adalah peluang untuk para pengusaha hotel bertahan sehingga industri pelancongan pulih semula,” tambah beliau.
Mybha juga, katanya, ingin mencadangkan kepada kerajaan-kerajaan negeri membantu industri pelancongan dengan mengikut langkah Kerajaan Persekutuan yang telah memansuhkan sementara cukai pelancongan dengan memansuhkan sementara cukai warisan umpamanya seperti yang dikenakan oleh Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.
“Walaupun cukai-cukai ini tidak seberapa jumlahnya tetapi bagi pelancong tempatan, pengecualian cukai itu akan memberikan kelegaan dan galakan untuk mereka keluar melancong,” katanya sambil menambah Mybha juga memohon cukai tanah dan cukai pintu turut dikecualikan untuk setengah tahun kedua ini.
Menurut Emmy Suraya, kos kedua tertinggi ialah bil elektrik dan walaupun diskaun 15% diberi, banyak hotel budget tidak menikmatinya kerana ia dikira berdasarkan penggunaan watt oleh itu Mybha memohon diberi diskaun 50% bagi tempoh setahun supaya lebihan wang itu boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja.
Katanya, sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 March lalu, keahlian Mybha ialah 2,300 hotel dengan tenaga kerja seramai 120,000 orang.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here