IKA PUAS TERUS KUTIP MATA, ASYRAF DANIEL PULA UNGGUL PIMPIN KEDUDUKAN KESELURUHAN PRO AM

0
1862

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Rabu) – Empat mata yang diraih pada aksi Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2020 di Litar Sepang Utara hari ini sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada pendatang baharu kategori Pro Am, Nur Atikah Azwar.

Pelumba yang lebih dikenali dengan nama Rider Helmet Pink atau Ika itu, telah membuktikan bahawa kekurangan pengalaman beraksi dalam sukan dua roda ternyata bukan halangan untuknya mencipta sesuatu yang luar biasa di gelanggang perlumbaan.

Dia bersaing dengan beberapa pelumba ‘senior’ dalam cub prix bagi kategori ini, malah ada dalam kalangan pesaingnya pernah beraksi dalam kelas yang lebih tinggi sebelum ini, namun Ika tetap mampu untuk memberi tentangan.

Dia memang tidak mengintai penyudah podium kerana menyedari kebolehannya masih belum mencapai tahap untuk bergelar juara, tetapi jiwanya memiliki semangat sang juara.

Kemunculannya dalam Cub Prix tahun ini hanyalah untuk menimba pengalaman berlumba selain membuka ruang untuk menarik lebih ramai pelumba wanita tampil ke hadapan pada masa akan datang, namun dalam masa yang agak singkat banyak ilmu sudah dipelajarinya, sekali gus mampu mengharungi perlumbaan dengan rentak yang membanggakan – bangga kerana dalam setiap perlumbaan dia tetap mampu untuk meraih mata kejuaraan.

Lebih menarik, keadaan fizikalnya masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kemalangan ketika beraksi pada Pusingan 3, juga di litar yang sama tiga bulan lalu, namun tetap bersemangat untuk kembali memperagakan kemampuannya dalam empat pusingan terakhir kejuaraan Cub Prix musim ini.

Hari ini, Ika sekali lagi mengotakan janjinya untuk terus meraih mata pada aksi Pusingan 7.

Dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dengan catatan masa 10:39.072 saat (s), sekali gus menghadiahkannya 4 mata kejuaraan.

Selepas mengharungi 7 Pusingan, Ika berjaya mengubah kedudukannya dalam carta keseluruhan kategori Pro Am apabila melonjak dua anak tangga, daripada kedudukan ke-20 sebelum ini, ke kedudukan ke-18 dengan mengumpul 15 mata.

Ia dianggap suatu kejayaan buat seorang pelumba yang tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlumbaan kompetitif seperti Cub Prix.

Tingkat kemajuannya juga nampak terserlah – bermula dengan meraih satu mata pada Pusingan 1 diikuti dua mata pada Pusingan 2 dan masing-masing tiga dan lima mata pada Pusingan 5 dan 6 minggu lalu.

Dia gagal meraih sebarang mata pada Pusingan 3 selepas terlibat dalam kemalangan selain terlepas aksi Pusingan 4 di Kuala Terengganu kerana masih menjalani proses pemulihan terhadap kecederaannya.

Peningkatannya juga turut didorong oleh krew-krew dalam pasukannya terutama sokongan daripada pihak Tune Boss dan juga syarikat pembekal rantai motosikal DID yang semuanya memiliki sikap positif dan profesional terhadap penyertaannya di Cub Prix.

Barisan krew Tune Boss yang turut memberi dorongan terhadap penampilan Ika di Cub Prix. Gambar ini adalah posting Ika di akaun Tik Tok milik Rider Helmet Pink.

Alangkah baiknya andai DID mahupun Tune Boss tampil dengan peranan yang lebih besar lagi selepas ini untuk kategori Pro Am agar perlumbaan kelas ‘bawahan’ ini menjadi semakin menarik dan mencabar, sekali gus melonjakkan semangat para pelumba lain di luar sana untuk turut serta.

Menang tidak dinafikan para pelumba dalam kelas ini juga berdepan banyak kesukaran, malah ada dalam kalangan mereka sanggup berkorban semata-mata untuk merealisasikan mimpi mengukir nama sebagai pelumba.

Malah, ada juga ahli keluarga para pelumba kelas Pro Am ini sanggup melakukan apa sahaja bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka untuk meneruskan cita-cita menjadi pelumba.

Pengorbanan mereka adalah untuk memastikan anak-anak mereka berlumba di gelanggang yang selamat, yang diktiraf dan juga ‘halal’ berbanding merempit secara ‘haram’ di jalanan.

Sebaik berakhirnya aksi Pusingan 7 hari ini, kedudukan keseluruhan bagi kelas Pro Am masih diungguli Md Asyraf Daniel Md Zamri dari Selangor dengan mengumpul 119 mata kejuaraan.

Hari ini, Asyraf menamatkan perlumbaan akhir di tempat keempat bagi membolehkannya memungut 13 mata kejuaraan, namun ia tidak menggugat kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan.

Kedudukannya kini diikuti rapat oleh Md Usammah Md Narzam yang berada di posisi kedua keseluruhan dengan 108 mata.

Usammah menamatkan saingan hari ini di tempat ketiga, sekali gus meraih 16 mata kejuaraan.

Md Usammah

Tempat ketiga keseluruhan pula menjadi milik pelumba asal Johor, Md Syafiq Asyraf Md Zam Zam yang sudah mengumpul 66 mata.

Perlumbaan akhir hari ini dimenangi Md Arash Firdaus Suhaini yang ketika ini menghuni kedudukan kelima keseluruhan dengan 63 mata.

Seorang lagi pelumba wanita dalam kelas Pro Am, Nuraina Halisya Hamirudin (gambar kiri) pula menghuni kedudukan ke-19 dengan memungut 13 mata.

Esok (Khamis) mereka akan kembali ke gelanggang untuk mengharungi Pusingan 8 yang juga merupakan aksi penutup tirai kejuaraan Cub Prix bagi musim 2020.

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here