PINK RACING: “YANG PENTING DAPAT MENAMATKAN PERLUMBAAN DAN PODIUM ITU BONUS”

0
2147

SEPANG, 17 Dis – Hari ini gelanggang Pusingan 9 dan 10 kejuaraan Cub Prix Malaysia kembali bergema.

Selepas berehat hampir dua minggu sebaik berakhirnya saingan Pusingan 7 dan 8 di Litar Lumba Tangkak, Johor bulan lalu, ia kembali ke Litar Sepang Selatan minggu ini yang akan menjadi venue penutup musim untuk kejuaraan berprestij itu.

Tempoh rehat yang agak lama itu pastinya sudah cukup buat semua pasukan untuk kembali berada pada tahap terbaik khususnya kepada para pelumba bagi menghadapi saingan yang dijangka berlangsung sengit nanti.

Sandaran TBPR dalam CP125, Saiful (kiri) dan Harith Farhan.

Dua pusingan terakhir ini sangat penting buat mereka kerana ia akan menjadi medan penentuan untuk memburu gelaran juara keseluruhan bagi musim 2021 ini – baik kategori pelumba mahupun pasukan.

Semuanya akan diketahui pada hari Ahad ini apabila berlangsungnya pusingan 10.

Semua pelumba sudah tidak sabar untuk mengharungi saingan hujung minggu ini dan tidak terkecuali dengan pasukan Tune Boss Pink Racing (TBPR) – pasukan yang baharu membuat kemunculan di Cub Prix tahun ini.

Barisan pelumbanya juga semakin bersemangat untuk membuktikan kehadiran mereka di Litar Sepang Selatan minggu ini dirasai.

TBPR, pasukan yang dimiliki Nur Atikah Azwar itu bukan memburu penyudah podium, tetapi akan tampil untuk memberi cabaran bagi menilai seiauh mana kemampuan mahupun prestasi para pelumba serta jentera mereka dalam kejuaraan terhebat itu.

Malah Atikah atau lebih dikenali sebagai Ika sering mengingatkan para pelumbanya – “yang penting dapat menamatkan perlumbaan dan podium itu bonus’.

Nur Dini – pelumba anggun yang bakal gegar Litar Sepang Selatan.

Apa yang mereka hasilkan dalam penampilan pertama di Cub Prix itu akan dijadikan input bagi memantapkan persiapan pasukan menghadapi saingan musim 2022 nanti.

Sasaran mereka tahun ini hanyalah untuk menamatkan perlumbaan, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila pelumbanya Md Harith Frhan berjaya menjejak kaki ke podium selepas menduduki tempat ketiga sebanyak dua kali dalam kelas CP125 iaitu di Sepang (Pusingan 3) dan Terengganu (Pusingan 6).

Ia satu keputusan yang di luar jangka jika dibandingkan dengan segala kekurangan yang dimiliki oleh pasukan.

Hari ini, sesi kelayakan bagi saingan Pusingan 9 bermula di Litar Sepang Selatan dan para pelumba TBPR sekali lagi menghadirkan kejutan.

Harith mencatat nama sebagai pelumba terpantas dengan catatan masa 1:30.715 saat (s) sepusingan.

Apa yang dibuktikan oleh pelumba asal Terengganu itu seolah-olah satu amaran bahawa dia mahukan sesuatu yang lebih bermakna sebelum saingan musim ini melabuhkan tirainya.

Jika prestasi yang dipamerkannya hari ini dapat dikekalkan, peluang dia untuk berada di podium esok nampak sangat cerah.

Begitupun, keputusan itu bagaikan satu hadiah atas kerja keras TBPR kerana seluruh krew mereka terpaksa bekerja sehingga pukul 5 pagi tadi untuk menyiapkan jentera yang akan digunakan untuk mengharungi sesi kelayakan itu.

Semuanya gara-gara ada yang tidak kena dengan jentera mereka selepas melalui proses pemeriksaan semalam.

Segala permasalah tersebut berjaya mereka atasi walaupun tidak sempurna seratus peratus – yang penting ia mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Menariknya, segala bentuk cabaran yang mereka hadapi itu tidak menjejaskan fokus para pelumbanya, malah telah mencetuskan semangat baharu bahawa kekurangan yang mereka miliki bukan bermakna mereka tidak mampu memberi saingan.

Hari ini, mereka sekali lagi membuktikannya – justeru TBPR tetap menaruh harapan agar prestasi cemerlang itu dapat diteruskan dalam perlumbaan sebenar esok.

Seperti biasa, Harith dan Saiful Azhary Muhamad akan menjadi sandaran TBPR untuk melontarkan cabaran dalam kelas CP125 itu – kategori yang sering menghidangkan aksi-aksi sengit dalam kalangan pelumba hampir di setiap pusingan.

Pada aksi pusingan 9 dan 10 ini, TBPR sekali lagi membuat perubahan apabila memperkenalkan tiga pelumba baharu yang akan menggalas cabaran dalam kategori Wira.

Tiga anggota baharu yang diperkenalkan TBPR pada saingan kali ini.

Mereka terdiri daripada Danny Mikhail Khairul Fauzi, Md Irfan Danish Md Arfan dan seorang pelumba wanita anggun yang memiliki daya tarikan tersendiri, Nur Dini Uzma Abdullah.

Hari ini, mereka telah memperlihatkan kebolehan masing-masing dan Danny muncul pelumba ke-14 terpantas dalam sesi kelayakan kelas Wira itu dengan catatan masa 1:35.558s.

Irfan pula yang tidak pernah beraksi di Cub Prix serta belum pernah menjejak kaki di Litar Sepang berada di kedudukan ke-17 dengan catatan masa 1:39.323s.

Nur Dini pula menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-22 dengan merekodkan masa 1:32.480s.

Ternyata disebalik keanggunan serta perwatakan mempesona Nur Dini itu, wataknya sangat berbeza apabila berada di gelanggang perlumbaan. Dia kelihatan gagah dan garang mengharungi perlumbaan meskipun berdepan dengan barisan pelumba lelaki.

Prestasi yang mereka pamerkan hari ini boleh dianggap baik memandangkan ia penampilan pertama mereka bersama TBPR.

Inilah yang menariknya dengan TPBR kerana mereka terus berjuang untuk menampilkan lebih ramai pelumba Wanita tampil untuk menunjukkan bakat masing-masing dalam kejuaraan motosikal terbesar negara itu.

Selepas mengharungi lapan pusingan setakat ini, Harith Farhan kini berada di kedudukan kelapan keseluruhan dengan mengumpul 67 mata.

Kedudukan pendahulu masih diterajui pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley dengan 150 mata.

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here