TBPR BUKAN PASUKAN ‘HINGUSAN’

0
714

SEPANG, 19 Sept – Pasukan Tune Boss Pink Racing (TBPR) mungkin gagal untuk menutup kempen pada kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan satu lagi kejutan hari ini, namun disebalik kegagalan itu, mereka tetap melangkah bergaya meninggalkan Litar Sepang Utara yang telah mengukir momen terindah buat TBPR minggu ini.

Dua skrip berbeza telah mereka lalui minggu ini ketika mengharungi saingan Pusingan 3 dan 4 kejuaraan Cub Prix Malaysia – pertamanya, TBPR berhasil mencipta kejutan selepas meraih kedudukan podium sulung semalam (Pusingan 3) dan keduanya mengalami detik duka apabila dua pelumbanya terjatuh ketika mengharungi perlumbaan akhir kelas CP125 pada Pusingan 4.

Begitupun, sebagai pendatang baharu dalam kejuaraan tersebut, TBPR wajar dijulang sebagai wira atas kemampuan mereka meraih kemenangan podium, sekali gus mengatasi cabaran daripada barisan pencabar mereka yang lebih berpengalaman.

Hari ini, nasib mungkin tidak menyebelahi mereka selepas dua pelumbanya, Mohd Harith Farhan Baharin dan Siti Norafizah Mohamad atau Fifi terjatuh ketika perlumbaan akhir kelas CP125 itu baharu memasuki lap kedua.

Dalam perlumbaan, insiden seperti itu memang sering berlaku kepada mana-mana pelumba terutamanya ketika keadaan litar basah dan licin.

Insiden tersebut sudah pasti mengecewakan dua pelumba tersebut terutamanya Harith Farhan yang menanam tekad untuk mengulangi penyudah podium yang dilakarnya semalam ketika mengharungi saingan Pusingan 3.

Begitupun, ia sedikit terubat selepas seorang lagi pelumba TBPR, Saiful Azhari Muhamad berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dengan masa 12:52.534 saat (s).

Pencapaian tersebut merupakan permulaan terbaik buat Saiful yang merupakan anggota baharu TBPR pada pusingan 3 dan 4 ini –  sekurang-kurangnya dia berjaya memungut mata buat pasukannya.

Ketika perlumbaan akhir itu berlangsung, tiga pelumba TBPR itu tampil dengan rentak yang meyakinkan, malah kekal konsisten berada dalam kelompok hadapan.

Namun, malang tidak berbau apabila Fifi dan Harith tiba-tiba terjatuh, sekali gus terkeluar daripada persaingan.

Insiden-insiden duka seperti itu tidak harus disesali, sebaliknya dijadikan input oleh TBPR ke arah mematangkan lagi prestasi, kemampuan, keupayaan serta keyakinan diri seluruh warga kerja dalam pasukan.

Jika dilihat secara menyeluruh, minggu ini boleh dianggap sebagai minggu cemerlang buat pasukan TBPR ketika ramai yang tidak memandang mereka sebagai pencabar terkuat.

Namun, pasukan yang usianya masih ‘remaja’ ini ternyata sudah mempunyai kemampuan untuk mencabar pasukan-pasukan besar yang sudah sejak sekian lama bersaing di Cub Prix.

Penyudahnya, TBPR meninggalkan Litar Sepang Utara dengan menggengam sebuah trofi menerusi kemenangan Harith Farhan yang menduduki tempat ketiga pada saingan Pusingan 3 semalam dan ia dilihat sebagai pembuka langkah buat mereka untuk terus melakar kejutan dalam pusingan seterusnya.

Pencapaian Saiful pada penampilan pertamanya dengan TBPR hari ini juga memberi mesej positif buat pasukan yang dimiliki Nur Atikah Azwar itu bahawa mereka kini sedang melalui satu proses untuk menjadi pencabar terkuat di Cub Prix.

Perlumbaan akhir kelas CP125 itu dimenangi Md Fareez Afeez Abd Rahman (Ipone YY Pang Racing Team) dengan merekodkan masa 12:43.707s manakala pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Aliff Danial Md Asri di tempat kedua dengan catatan masa 12:51.018s.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Md Hafiza Rofa yang mencatatkan masa 12:52.83s.

Dalam kategori Wira, pelumba pasukan TBPR, Siti Norsyafiyah Alia Saarizan nampaknya sudah mula mengorak langkah dan hari ini dia berjaya memungut satu mata pada perlumbaan akhir.

Ia satu perkembangan yang baik buat pelumba muda berasal dari Perak itu yang masih ‘menyimpan’ sikap percaya dirinya dalam beberapa pusingan sebelum ini.

Selepas berakhirnya saingan Pusingan 3 dan 4 hari ini, TBPR kini turun ke kedudukan kelima keseluruhan bagi kategori berpasukan dengan 49 mata manakala bagi kategori pelumba, Hartih Farhan berada di kedudukan ketujuh dengan mengumpul 30 mata.

Fifi pula berada di kedudukan ke-10 dengan 19 mata manakala Saiful menghuni tangga ke-16 selepas mengutip 9 mata hari ini.

Pusingan 5 dan 6 kejuaraan ini dijadualkan berlangsung di Terengganu pada 1 hingga 3 Oktober nanti.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here