KEJUARAAN SILAT PREMIER ANTARABANGSA SARAWAK BUKA GELANGGANG

0
925

KUCHING, 28 Feb – Para pesilat yang mewarnai kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang membuka gelanggang di Stadium Perpaduan di Petra Jaya hari ini masih belum memperlihatkan taring mereka yang sebenarnya.

Sebahagian besar memilih untuk tampil dengan aksi yang berhati-hati dan selamat bagi memastikan perjuangan mereka tidak terhenti di peringkat kelayakan.

Pada saingan sesi pagi, gelanggang dibuka dengan perlawanan pembukaan bagi kategori Putra E senior membabitkan pesilat dari Singapura, Raja Zulfadli Raja Mahmood yang menentang pesilat Thailand, Pornteb Pholkaew.

Seperti dijangka, Pornteb yang mengintai peluang untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti, meraih kemenangan mudah 41-35 ke atas lawannya itu.

Begitupun, Pornteb mengakui ia bukan perlawanan mudah kerana Raja Zulfadli tampil dengan permulaan yang agresif menerusi serangan-serangan yang sukar dijangka.

“Saya cuba menenangkan situasi dan terus fokus untuk menguasai pertarungan,” jelas Pornteb yang enggan meramalkan peluangnya dalam perlawanan berikutnya.

Turut beraksi pada hari pembukaan hari ini adalah pesilat tuan rumah, Muhd Nur Hasri Maxzakir yang turun menentang Muhammad Amirul Iman Zamzulailey dari Melaka, juga dalam kategori Putra E senior.

Malangnya, anak kepada bekas pesilat kebangsaan itu tewas 18-50 kepada Nur Hasri, sekali gus menamatkan perjuangannya dalam kejuaraan yang berstatus lima bintang ini.

Lima lagi aksi bagi kategori Putra E senior yang berlangsung pada sebelah pagi hari ini adalah Muhamad Iskandar Lubis Mahmudin dari Selangor yang mencatat kemenangan 27-16 ke atas pesilat Perlis, Muhamad Aidil Aiman Mohd Zamri manakala pesilat Brunei Darussalam, Muhammad Amirul Aizat Mohammad Faisal pula memusnahkan impian jaguh dari Terengganu, Muhammad Afiq Mohd Zuki 40-35.

Wakil Filipina, Ian Christopher C. Calo pula mendapati lawannya Muhammad Luqman Arrif Mohd Rozi (ATM) terlalu unggul untuk ditewaskan meskipun dia cuba tampil agresif sebaik pertarungan dimulakan.

Ternyata, nasib tidak menyebelahi Christopher yang tewas 7-23 kepada Luqman Arrif yang dilihat lebih tenang dan yakin mengharungi pertarungan tersebut.

Selepas itu, giliran atlet Malaysia, Muhammad Raden Sabry Mohd Insan pula mencatat nama selaku pemenang apabila melakar kemenangan mudah 20-9 ke atas wakil Polis Diraja Malaysia, Zainal Rasid.

Pesilat Sabah, Awangku Tarmizal Awg Tamin pula menghampakan pesilat Kyrgyzstan, Darkhan Turgumbekov.
Rakan sepasukan Awangku Tarmizal, Muhamad Helmi turut berada di sudut pemenang selepas menewaskan pencabarnya, Muhammad Syabiel Tajul Mulok (Pahang) 5-19.

Bagi kategori Putra D senior pula, atlet Singapura, Alyff Raihan Mohamed menepati ramalan selepas meraih kemenangan 31-19 ke atas Zulkarnain Zubir dari Perlis.

Turut menarik perhatian pada aksi pembuka tirai kategori Putra D senior hari ini adalah persembahan yang dipamerkan oleh pesilat Amerika Syarikat, Ammar Aftab yang turun menenentang pesilat tuan rumah, Mohd Naseem Razali (Sarawak).
Meskipun Ammar Aftab tewas 19-49 tetapi rentak yang diperagakannya agak memukau penonton kerana asas-asas dalam dunia persilatan mampu ditonjolkannya dengan baik.

Silat bukan sukan yang popular di negaranya, tetapi penampilan mereka pada kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak membuktikan sukan ini mula menunjukkan perkembangan positif di pentas dunia.

Seorang lagi pesilat tuan rumah, Mohd. Ashraf Amirul Razaman turut memulakan rentak bergaya apabila menang 38-16 ke atas Muhammad Hakim Mohd Ariff dari Melaka.

Kejuaraan ini yang pertama seumpamanya dihoskan oleh Sarawak berjaya menarik penyertaan lebih 500 pesilat termasuk dari Amerika Syarikat, Thailand, Filipina, Singapura, Kygryzstan dan juga Uzbekistan.

Upacara perasmian kejuaraan berstatus lima bintang ini disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here