PERSIAPAN UNTUK SUKMA 2020 BERJALAN LANCAR

0
931

 

JOHOR BAHRU (7 JULAI 2020): Penganjur Sukan Malaysia (Sukma) 2020 terus memperhebatkan persiapan bagi memastikan kesemua venue siap siap sepenuhnya menjelang tarikh kejohanan yang dijangka bermula pada Mac tahun depan.

Di sebalik penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, pihak sekretariat Sukma 2020 terus komited untuk memastikan kesemua persiapan venue diteruskan dan memenuhi tahap piawaian yang ditetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bererdasarkan tinjauan yang dilakukannya di beberapa venue pada hari ini, persiapan untuk Sukma 2020 Johor telah mencapai antara 95 hingga 97 peratus.

“Hampir kesemua venue telah siap. Contohnya di Pusat Akuatik Arena, hanya kolam untuk atlet memanaskan badan sahaja yang boleh disiapkan dalam tempoh kurang sebulan.

“Kita sedia maklum bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berakhir pada 31 Ogos, dan kita akan bermesyuarat bagi menyediakan SOP berpandukan SOP sedia ada untuk dijadikan panduan terhadap penganjuran temasya sukan dwitahunan itu nanti,” jelas Reezal.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke beberapa venue untuk Sukma 2020.

Antara gelanggang yang dilawatinya adalah Pusat Akuatik Larkin, Stadium Tertutup Arena Larkin dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Beliau ternyata telah berpuas hati dengan segala persiapan yang dijalankan oleh pihak tuan rumah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata: “Meskipun temasya Sukma 2020 terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, persiapan bagi sukan dwi-tahunan ini tetap diteruskan. Kami kekal fokus untuk menjadikan Sukma 2020 Johor (kali pertama menjadi tuan rumah pada 1992) sebagai edisi yang penuh gilang-gemilang dengan memastikan kesemua aspek penganjuran berada pada tahap terbaik.”

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ), sebuah syarikat pemaju utama dalam projek infrastruktur di negeri Johor telah dipertanggungjawabkan membina fasiliti sukan yang baharu serta menaiktaraf gelanggang sukan sedia ada bagi memastikan ia mencapai piawaian kelas dunia.

“Dengan kesemua fasiliti sudah mencapai piawaian antarabangsa, Johor kini bersedia untuk menganjurkan era baharu pertandingan sukan berkelas dunia serta boleh menganjurkan bukan sahaja acara sukan peringkat kebangsaan malah juga peringkat antarabangsa,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, pihak penganjur tetap menanam tekad untuk memastikan setiap venue mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menepati piawaian ditetapkan.

“Semuanya bergantung kepada situasi menjelang Mac 2021 (tarikh baharu temasya itu). Tetapi kami juga telah menyediakan beberapa SOP untuk penganjuran edisi kali ini. Sememangnya aspek keselamatan tidak akan diabaikan dan bagi kami, matlamat utama adalah untuk menjadikan Sukma di Johor ini sebagai antara edisi yang penuh gilang gemilang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn. Bhd (anak syarikat KPRJ), On Jabbar.

Menurut laporan kemajuan kesiapsiagaan gelanggang Sukma 2020 yang dibentangkan pada 16 Jun lalu, hampir keseluruhan daripada 39 venue yang bakal digunakan sudah hampir siap sepenuhnya.

Tumpuan utama adalah Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Johor dengan Sijil Perakuan Siap (CCC) telah dikeluarkan pada 17 Februari lalu.

Bagi Pusat Akuatik Larkin pula, ia kini 99.72 peratus siap yang akan mempertandingkan acara renang dan terjun.

Pusat ini dalam proses menunggu kelulusan untuk dibuka selepas berjaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Mercu tanda baharu sukan Johor, Velodrom Johor yang terletak di Iskandar Puteri, kini sudah siap 97.59 peratus selepas pembinaannya bermula pada 28 Februari 2019 lalu.

Satu lagi venue baharu yang dibina untuk memenuhi keperluan Sukma 2020, Arena Emas bertempat di Taman Impian Emas bagi sukan memanah, skuasy, petanque dan boling padang juga sudah 97.59 peratus siap selepas memulakan pembinaan pada 15 Februari 2019.

Bagi sukan badminton yang akan dipertandingkan di Stadium Tertutup Arena Larkin, venue tersebut kini sudah 98.89 peratus siap selepas upacara pecah tanah pada 19 September 2017.

Sejumlah 32 acara sukan akan dipertandingkan pada Sukma 2020 nanti dengan 16 daripadanya adalah sukan wajib, 15 sukan pilihan dan satu sukan demonstrasi iaitu  silambam.

Sukma 2020 akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi. Johor Bahru akan menganjurkan 28 jenis sukan manakala Muar pula akan menjadi tuan rumah buat tiga sukan (kenu, angkat berat  dan silambam) dan baki dua lagi sukan akan dilangsungkan di Kota Tinggi (pelayaran dan berbasikal lebuh raya).

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here