USAMMAH TETAP BURU PODIUM DI TANGKAK

0
1040

TANGKAK, Johor, 22 Ogos – Md Usammah Md Narzam boleh dianggap antara pelumba paling berpengalaman dalam kelas Pro Am pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini.

Dia pernah beraksi dalam kategori Yamaha One Make Race pada musim 2017 sebelum melangkah ke kelas Wira dan CP115, namun dia gagal mengekalkan tempatnya untuk terus bersaing dalam kelas utama itu.

Selepas itu, pelumba berusia 19 tahun asal Selangor ini beralih ke kategori Pro Am bagi memastikan kariernya dalam sukan permotoran terus bersinar.

Keputusannya untuk meneruskan karier dalam kategori Pro Am kini telah mula membuahkan hasil yang membanggakan apabila muncul juara pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang bulan lalu.

Kemenangan tersebut ternyata telah melonjakkan semangatnya dengan harapan untuk terus menguasai saingan bagi kategori Pro Am tahun ini.

Usammah sedar bahawa misi tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai, tetapi dia tetap menanam tekad untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap pusingan yang bakal diharunginya sepanjang musim ini.

Bagi Usammah, meskipun seseorang pelumba itu memiliki pengalaman, ia bukan jaminan untuk melakar kemenangan mudah kerana penentunya tetap bergantung dengan prestasi serta kestabilan jentera.

Hari ini, Usammah meneruskan misinya pada Pusingan 2 di Litar Lumba Tangkak, Johor dengan tekad untuk berada di atas podium kemenangan.

Walaupun berjaya menempatkan dirinya pada kedudukan ketiga terpantas pada sesi kelayakan dengan merekodkan masa 48.552 saat (s), namun dia belum puas kerana yakin mampu melakukan catatan yang lebih baik.

Sesi kelayakan tersebut dikuasai pelumba Johor, Md Adib Asri dengan masa terpantas 48.291s.

“Saya akan terus bekerja keras pada perlumbaan esok. Sasaran saya adalah untuk cuba menyaingi rentak Adib. Saya tahu, Adib mempunyai kelebihan di Litar Tangkak kerana dia sering menjalani latihan di situ.

“Saya harap jentera saya mendapat setting yang lebih baik esok berbanding hari ini yang agak bermasalah.

“Saya akan cuba yang terbaik dan bekerja keras untuk memberi tentangan,” jelas pelumba yang mengidolakan Alex Rins dan Valentino Rossi itu.

Usammah kini mendahului carta keseluruhan kategori Pro Am selepas mengumpul 25 mata hasil kejayaannya menjuarai saingan Pusingan 1 di Litar Sepang bulan lalu.

Dia berharap kehadirannya di Tangkak minggu ini tidak sia-sia, sekali gus terus mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan.

Mengimbas pembabitannya dalam sukan permotoran, segalanya bermula kerana  inat yang sangat mendalam dalam sukan tersebut.

Menurutnya, ahli keluarganya juga memang meminati sukan permotoran dan mereka merupakan pendokong kuat terhadap kariernya terutama bapa saudaranya.

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here