Home Blog Page 6

USIA BUKAN PENGHALANG – HARRIF

0

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh sedia menggalas cabaran Terengganu Cycling Team (TSG) jika disenaraikan pada perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Harrif berkata, dia sentiasa berada dalam keadaan siap sedia bagi membantu pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu pada mana-mana kejohanan selagi kudratnya ditagih.

Menurut Harrif, sekalipun sudah menjengah usia 35 tahun, dia tidak melihat perkara itu sebagai ‘batu penghalang’ buat dirinya untuk terus mencipta kejayaan gemilang bersama TSG.

“Bagi saya itu (umur 35 tahun) hanya sebagai satu angka… tak lebih daripada itu. Saya masih ada tenaga untuk terus berkayuh seterusnya membawa nama TSG ke puncak kejayaan.

“Saya mahu mengikut jejak seperti idola saya, Mark Cavendish. Walaupun sudah berusia 39 tahun, tetapi dia masih mampu menggalas cabaran di peringkat kompetitif. Jadi itu yang saya akan cuba lakukan dalam masa beberapa tahun ini. Selagi khidmat dan kudrat saya diperlukan, selagi itulah saya akan terus berkayuh,” katanya.

Harrif mencipta sejarah tersendiri di pentas LTdL – perlumbaan berbasikal paling berprestij di rantau Asia apabila memegang status sebagai pelumba paling banyak membuat penampilan.

Harrif yang meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL membuat penampilan ke-14 pada edisi 2023, sekali gus mengatasi rekod 13 penampilan dipegang pelumba Iran, Ghader Mizbani.

Turut berada dalam senarai sejarah penampilan terbanyak LTdL adalah dua bekas pelumba kebangsaan – Annuar Manan dan Loh Sea Keong apabila masing-masing membuat 12 penampilan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya rasa bertuah dan bangga kerana dapat mencipta sejarah sebagai pelumba paling banyak membuat penampilan dalam perlumbaan LTdL. Jika tidak silap, saya mula beraksi (pada LTdL) ketika berusia 20 tahun. Jadi jika sekali lagi mendapat kepercayaan pasukan untuk beraksi tahun ini, ia akan menjadi satu lagi detik Istimewa buat saya.

“Äpa pun, buat masa sekarang saya menjalani latihan seperti biasa. Ada satu kejohanan yang akan disertai di China nanti, jadi saya akan cuba buat yang terbaik,” jelasnya.

Untuk rekod, Harrif atau lebih dikenali dengan panggilan Mamat meraih kemenangan pada Peringat 2 LTdL 2019 dan dua kemenangan lagi masing-masing pada Peringkat 2 dan 5 LTdL 2020.

Dengan tiga kemenangan yang dicapai pada perlumbaan LTdL, Harrif yang juga pakar pecut dianggap antara pelumba terbaik Malaysia dalam sejarah arena berbasikal lebuh raya.

“Perjuangan saya masih belum selesai. Kalau boleh saya mahu meraih lebih banyak kejayaan dalam karier saya khususnya pada perlumbaan LTdL yang diadakan di negara sendiri,” katanya.

Sebanyak 22 pasukan termasuk tiga pasukan berstatus World Team – EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan) dan DSM Firminich PostNL (Belanda) bakal menghangatkan LTdL 2024.

LTdL 2024 yang memasuki edisi ke-28 tahun ini dijadualkan berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober depan membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,227.2 kilometer (km).

Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung-julung kalinya bakal dilangsungkan di dua buah bandar di Sarawak iaitu Miri dan Bintulu.

 

IKAN PATIN SEBERAT 15.435 KILOGRAM BAWA TUAH BUAT RAZMAN

0
Para pemenang Cabaran Joran KL 2024 yang berlangsung di Tasik Danau Kota.

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Razman Abu Hassan membawa pulang hadiah utama selepas muncul juara Cabaran Joran Kuala Lumpur yang berlangsung di Tasik Danau Kota di ibu negara hari ini.

Ikan patin seberat 15.435 yang berjaya ditawan Razman, membolehkannya menerima hadiah wang tunai RM5,000 pada pertandingan yang dianjurkan sempena karnival Santai Keluarga 50WP & Temu DBKL @ Wangsa Maju itu.

Beliau menewaskan lebih 600 peserta pada pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Razman ketika ditemui berkata, beliau bersyukur atas rezeki yang diterima tanpa diduga.

Katanya, kemenangan itu adalah hasil daripada tangkapan ikan patin dengan menggunakan umpan roti perisa pandan.

Naib juara yang menerima RM2,000 menjadi milik Diemas Arbianshah yang menaikkan ikan patin seberat 7.805 kilogram manakala tempat ketiga dimenangi Fakhrul Ammar yang membawa pulang RM1,000 selepas berjaya menaikkan ikan lekoh seberat 4.070kg.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Ismadi Sakirin, berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diterima apabila lebih 500 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan oleh para peserta pertandingan tersebut.

Justeru, beliau yakin bahawa matlamat membentuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia mahupun agama dapat dicapai menerusi aktiviti riadah sihat seperti ini.

“Objektif sebenarnya adalah kita mahu memberi rakyat peluang untuk bersantai, beriadah dan dapat bersama-sama mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kota.

“Saya juga melihat bahawa Tasik Danau Kota ini ada potensi dipilih lagi sebagai lokasi pertandingan akan datang berdasarkan maklum balas peserta yang inginkan hanya spesis keli sahaja dipertandingkan.

“Dengan suasana persekitaran yang indah, selain usaha DBKL menaikkan infrastruktur untuk kemudahan pengunjung, tasik ini seterusnya menjadi satu lagi destinasi riadah baharu bagi DBKL,” katanya.

CABARAN JORAN KL BAKAL MERIAHKAN KARNIVAL KELUARGA 50WP

0

KUALA LUMPUR,24 Julai – Cabaran Joran Kuala Lumpur bakal memeriahkan karnival Santai Keluarga 50WP & Temu DBKL @ Wangsa Maju di Taman Tasik Danau Kota, Setapak pada Ahad ini.

Agenda tersebut yang bakal disertai lebih 600 peserta merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang sempena sambutan 50 tahun Wilayah Persekutuan.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Zulkifli Muhamad, hadiah lumayan menanti para pemenang Cabaran Joran Kuala Lumpur ini dengan nilai keseluruhan RM20,000.

Katanya, juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 diikuti RM2,000 (naib juara) dan RM1,000 (ketiga) manakala tempat keempat hingga ke-10, masing-masingnya akan menerima RM200.

Tempat ke-11 hingga 20 pula bakal menerima RM150 dan seterusnya tempat ke-21 hingga 100 masing-masingnya akan menerima RM100.

“Selepas lebih lima tahun tiada pertandingan di sini (Tasik Danau Kota), kini ia kembali dan tidak akan menghampakan para pemancing.

“Paling menarik para peserta boleh menaikan apa juga spesis ikan selain spesies ikan keli yang disediakan khusus untuk hadiah khas.

“Juara spesis ikan keli akan membawa pulang RM500, diikuti RM300 (naib juara) dan tempat ketiga hingga 5 menerima RM100.

“Taman Tasik Danau Kota Setapak mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk patin, lampan, keli, haruan, pacu, raja, talapia, belida, rohu, koi, toman, ikan bandaraya menanti kaki pancing,” katanya ketika ditemui selepas acara melepaskan spesis ikan jelawat sungai dan baung tempatan di tasik tersebut semalam.

Zulkifli berkata, program itu merupakan salah satu daripada lebih 10 acara yang disediakan sempena Karnival Santai Keluarga Temu DBKL @ Wangsa Maju, sekali gus membentuk perpaduan dan persefahaman antara warga kota.

“Ada tiga kompenan program disediakan antaranya Santai Keluarga 50 Wilayah Persekutuan, Temu DBKL@Wangsa Maju dan Bulan Kemerdekaan.

“Antara program yang disediakan selama dua hari itu termasuk KL Hunt @ 50WP, E-sport, Streets Art, Program Kebun Komuniti Kita @WP, Kejohanan Memanah, Jualan Angro Madani dan lain-lain lagi.

“Saya berharap para peserta hadir ke karnival ini bersama ahli keluarga masing-masing, datang dengan disiplin yang tinggi terutamanya dari segi keselamatan selain sama-sama menjaga kebersihan tasik”, ujarnya lagi.

Yuran penyertaan untuk Cabaran Joran Kuala Lumpur ini adalah RM50 untuk sebatang joran dan sebanyak 500 penyertaan terawal layak menerima sehelai baju-T.

“Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini, bermula jam 3.30 tengah hari hingga jam 9 malam dan keesokannya, kaunter akan dibuka pada jam 6.30 pagi hingga jam 10 pagi.

“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-266 7011, 012-3554946 dan 012-284 6811,” katanya.

THREE WORLD TOP TEAMS SPEARHEADING PETRONAS LE TOUR de LANGKAWI 2024

0

Bukit Jalil, 22 July – The heat of the PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 race is peaking with the confirmation of three teams from the World Team category – expected to display a world class cycling showcase for the Malaysian fans.

The confirmation of the three teams – EF Education Easypost from the United States, Astana Qazaqstan from Kazakhstan and DSM Firmenich PostNL from the Netherlands – completes the list of 22 teams to compete in the 28th edition of the country’s premier cycling race.

The success of attracting three World Teams is a proud achievement for the organizers, the National Sports Council (NSC) and the Ministry of Youth and Sports (KBS) compared to the participation of only two World Teams in the previous year.  And all the three teams were making great news at the Tour de France this year.

DSM Firmenich PostNL riders Romain Bardet and Frank van den Broek won the top two spots on the first stage of this year’s Le Tour de France.

EF Education Easypost rider, Richard Carapaz managed to grab the overall leader jersey after the third stage, won his maiden Tour de France stage in Stage 17 and now leading the KOM classification while Astana Qazaqstan’s sprint legend, Mark Cavendish emerged as the winner of the fifth stage in this year’s  Le Tour de France.

Seven teams from the Pro Team category on the list of the International Cycling Union (UCI) have also been confirmed, thus enabling LTdL 2024 to meet the requirements of Pro Series races outside Europe.

Five of the Pro Teams – Polti Kometa (Spain), Tudor Pro Cycling (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF- Faizane (Italy), Equipo Kern Pharma (Spain) and Euskaltel Euskadi (Spain) – gained the status of “Grand Tour Pro Team” as they were invited to participate in the Giro de Italia and Vuelta Espana 2024.

Three Malaysian teams will also compete at LTdL 2024, namely the national team, Terengganu Cycling Team (TSG) and Malaysia Pro Cycling (MPC) with a total of 12 national riders having the opportunity to compete with the world’s best riders.

 

MOHD. ISA MENANG HADIAH UTAMA HAPPY BAG DI TELUK INTAN

0
Mohd. Isa menerima hadiahnya daripada Pengurus Bahagian Sukan Permotoran Honda, Zulhelmi Ahmad.

TELUK INTAN, 30 Jun – Hadiah utama cabutan bertuah Cub Prix Happy Bag berupa sebuah motosikal Honda RS-X menjadi milik anak tempatan, Mohd. Isa Mat Arjan.

Mohd. Isa yang datang menyaksikan perlumbaan Pusingan 4 Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia di Stadium Mini Teluk Intan selama tiga hari berturut-turut telah membeli empat Happy Bag, sekali gus membolehkannya untuk menyertai cabutan bertuah.

“Alhamdulillah…saya bersyukur kerana telah memenangi hadiah utama Happy Bag. Terima kasih kepada Petronas Cub Prix Malaysia kerana memberi peluang kepada para peminat Cub Prix untuk memenangi hadiah menerusi aktiviti Happy Bag,” jelas Mohd. Isa.

Para pengunjung tidak melepaskan peluang membeli Happy Bag di Teluk Intan.

Happy Bag merupakan salah satu produk merchandising Cub Prix Malaysia yang dijual pada harga RM65. Bag tersebut mengandungi baju-T edisi terhad, minuman bertenaga Ranger, minyak pelincir Petronas Sprinta serta produk kyoko.

Bagi setiap pembelian Happy Bag, para pengunjung akan diberikan satu kupon cabutan bertuah manakala untuk pembelian dua bag, mereka akan mendapat tiga kupon.

Selain motosikal sebagai hadiah utama, pelbagai hadiah lain turut ditawarkan untuk pemenang cabutan bertuah Happy Bag.

Cabutan bertuah Cub Prix Happy Bag diadakan di setiap venue perlumbaan Petronas Cub Prix Malaysia 2024.

Selepas ini, Happy Bag akan berada di Litar Antarabangsa Petronas Sepang Selatan sempena Pusingan 5 kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia, dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR akan menjadi hadiah utama cabutan bertuah.

JBS NEGERI SELANGOR BERKONGSI ILMU ASPEK KESELAMATAN SUKAN MENDAKI

0
Penolong Pengarah Rakan Muda, Artika Rozilan (dua kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta KLAS.

PETALING JAYA, 1 Julai – Aktiviti mendaki semakin digemari generasi muda pada masa kini, dan menyedari perkembangan tersebut, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor (JBSNS) telah mengambil langkah pro-aktif untuk berkongsi ilmu berkenaan aspek-aspek keselamatan dengan peminat tempatan.

Sebagai permulaan, JBSNS telah menganjurkan satu klinik Latihan Asas Sukan (KLAS) Mendaki peringkat Negeri Selangor di Camp5 ONE Utama dekat sini pada 29 Jun lalu.

Program yang julung kali diadakan itu telah mendapat penyertaan 30 orang peserta daripada pelbagai peringkat usia dan mereka diajar bagaimana menggunakan peralatan dengan betul dan selamat.

Malah para peserta turut diajarkan untuk memahami beberapa ikatan tali antaranya ikatan buku sila, ikatan bunga geti, simpilan tindih kasih dan simpulan angka 8.

Pengalaman tersebut ternyata memberi kepuasan kepada para peserta kerana mereka didedahkan tentang aspek-aspek keselamatan sebelum memulakan aktiviti pendakian.

“Klinik seperti ini sangat memberi manfaat kepada kami kerana kami perlu tahu perkara asas terutamanya yang berhubung dengan aspek-aspek keselamatan,” jelas salah seorang peserta ketika di temui pada klinik tersebut.

Selepas ini, JBSNS telah merangka beberapa program lagi untuk dianjurkan antaranya Eksplorasi Alam pada 20 hingga 21 Julai nanti bertempat di Taman Negara dan Program Cabaran Wanita Waja (Hiking Wanita) pada Ogos bertempat di Bukit Kutu Kuala Kubu Baharu.

Majlis penutup KLAS telah disempurnakan Penolong Pengarah Rakan Muda, Artika  Rozilan. Turut hadir adalah Serene Geik (Founder of Camp5) dan ketua instruktor Camp5, Jeremy Peet.

 

TAMPIN MTB JAMBOREE 2024 TERUS MENDAPAT PERHATIAN PESERTA ANTARABANGSA

0
Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Mohd. Fadhil Hassan (8 dari kiri) bersama para penaja pada majlis pelancaran Tampin MTB Jamboree 2024 baru-baru ini.

TAMPIN, 1 Julai – Kejohanan basikal lasak Tampin MTB Jamboree terus mendapat sambutan luar biasa.

Mana tidaknya, pada edisi tahun ini ia berjaya menarik 2,053 penyertaan dari dalam dan luar negara berbanding hanya 1,800 peserta pada tahun lalu.

Ini membuktikan agenda tahunan Majlis Daerah Tampin itu semakin mendapat perhatian peserta luar negara.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Mohd. Fadhil Hassan, Tampin MTB Jamboree 2024 akan berlangsung selama dua hari bermula 6 Julai ini di Akademi Kecemerlangan Minda & Fizikal (AKAL) Felda Bukit Rokan Gemencheh, Negeri Sembilan.

Ia dianjurkan Majlis Daerah Tampin bersama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan serta rakan strategik Gemenceh Rider Cycling Team.

Menurutnya lagi, hadiah wang tunai keseluruhan untuk perlumbaan tahun ini berjumlah RM20,000 manakala hadiah untuk cabutan bertuah untuk para peserta bernilai RM50,000.

“Ini merupakan tahun keempat acara ini dianjurkan sejak diperkenalkan pada tahun 2019,” jelas Mohd. Fadhil.

Perlumbaan tahun ini bukan sahaja melibatkan penyertaan daripada peserta tempatan, malah turut mendapat sambutan daripada peserta luar negara seperti Filipina, Singapura, indonesia, India, Belanda dan United Kingdom.

Sehingga hari ini, penyertaan telah mencecah angka 2053 (termasuk peserta dari pihak penaja) berbanding 1,800 pada tahun 2023.

“Jumlah perserta luar negara yang telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini adalah 273 orang dan ini perkembangan yang sangat menggalakkan,” kata Mohd. Fadhil lagi.

Perlumbaan tahun ini terbahagi kepada 15 kategori mengikut had umur dan berat badan yang melibatkan peserta berusia bawah 18 hingga 60 tahun ke atas.

Turut diadakan pada edisi kali ini adalah pertandingan PUSH BIKE CHALLENGE Terbuka Kebangsaan melibatkan penyertaan kanak-kanak dari seluruh negara.

“Program ini seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga dapat membantu mempromosikan tempat pelancongan menarik di Tampin seperti Gua Emas, Jambatan Perang Dunia Kedua, Muzium Keretapi Gemas, Tampin Waterpark, Tampin Extreme Park, Lomak Salai dan juga Kompleks Homestay Gemas.

Ia juga membuka peluang untuk mempromosikan makanan tradisional tempatan yang unik dan asli seperti rendang maman, itik bihun, masak lemak cili api, dodol Tampin serta tart bengkulu,” jelas Mohd. Fadhil.

 

PERTANDINGAN MEMANCING PARLIMEN SELAYANG TAWAR HADIAH KESELURUHAN RM20,000

0

RAWANG, 26 Jun – Hadiah lumayan menanti para pemenang pertandingan memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang bakal diadakan di Taman Tasik Biru Kudang, Sabtu ini.

Pertandingan yang dianjurkan Parlimen Selayang dengan kerjasama JKP Zon 19 MPS, MPS dan MBI itu menawarkan hadiah wang tunia keseluruhan berjumlah RM20,000.

Menurut jurucakap penganjur , Nor Zaily Hasjadi, pertandingan akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu merupakan salah satu usaha untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik khususnya di negeri Selangor.

“Usaha seperti ini dapat melestarikan lagi Tasik Biru Kundang, Rawang sebagai pusat eko pelancongan di Selangor selain menggiatkan aktiviti sukan memancing dalam kalangan masyarakat sekitar,” katanya.

Nor Zaily memaklumkan bahawa Tasik Biru Kundang menjadi lubuk kepada ikan-ikan spesies tempatan seperti Toman, Belida, Raja, Talapia, Patin, Rhu, Diamond dan Haruan dan sudah pasti ia akan menjadi cabaran buat para kaki pancing.

“Bagi memeriahkan pertandingan itu nanti, kita mempelawa para kaki pancing menyertai pertandingan ini memandangkan tasik berkenaan belum pernah mengadakan pertandingan memancing sebelum ini.

“Pada pertandingan ini nanti, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, diikuti tempat kedua (RM4,000), tempat ketiga (RM1,000) manakala hadiah cabutan bertuah bonanza pula menawarkan sebuah motosikal,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelepasan ikan patin di tasik berkenaan hari ini.

Penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai kepada para pemenang yang menduduki sehingga tempat ke-100 selain menyediakan 50 lagi cabutan bertuah buat para peserta yang bertuah.

Yuran penyertaan adalah RM70 setiap joran dengan 200 peserta terawal akan menerima baju-T percuma.

Nor Zaily berkata kaunter pendaftaran secara online dan walk-in akan dibuka pada Jumaat ini bermula jam 3.30 petang dan keesokannya kaunter dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi pihak urusetia ditalian 012-8780480, 019-3493692, 011-54101184 dan 010-2078668.

RM20,000 JADI MILIK MOHD. SABRI

0
Para pemenang merakamkan gambar kenangan bersama para VIP selepas majlis penyampaian hadiah.

KUANTAN, 23 Jun – Tuah ayam nampak di kaki, tuah Mohd. Sabri Mat siapa tahu. Begitulah situasi yang berlaku dengan pemancing dari Kelantan itu apabila ikan bawal emas seberat 4.88 kilogram yang berjaya ditawannya membolehkan dia muncul juara Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour 2024 di Pantai Sepat, dekat sini hari ini.

Ikan bawal tersebut membolehkan Mohd. Sabri meraih hadiah wang tunai RM20,000 selaku juara keseluruhan pada pertandingan tersebut.

Beliau menewaskan pemancing dari Terengganu, Naziani Nazir yang berjaya menaikkan ikan pari seberat 1.845 kilogram dan Sauli Abd Manaf dari Selangor yang menaikkan ikan todak 1.750. kilogram pada pertandingan yang disertai lebih 900 peserta itu.

“Berbekalkan umpan udang hidup, memang sasaran saya adalah spesis ikan bersisik, tapi alhamdulillah saya berjaya menjinakkan bawal emas ini pada jam 11.35 pagi.

“Ini kemenangan terbesar pernah saya raih sejak aktif menyertai pertandingan memancing beberapa tahun lalu,’’ kata Mohd. Sabri.

Naziani dan Sauli yang menamatkan pertandingan tersebut di kedudukan kedua dan ketiga masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan RM1,000.00.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuuk Seri Syafik Fauzan Sharif.

Turut hadir memeriahkan pertandingan tersebut adalah pegawai Tourism Malaysia Wilayah Timur, Rogayah Mohamad; Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran dan Pengerusi JPKK Pantai Sepat, Adnan Bakar.

Sementara itu, Md ali berkata bahawa pertandingan kali ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan berikutan yuran penyertaan yang murah berbanding pertandingan lain.

“Sokongan daripada pihak Tourism Malaysia menerusi program Cuti-Cuti Malaysia turut mendapat kepercayaan tinggi daripada para pemancing.

“Keyakinan bahawa acara ini bakal berlangsung tanpa masalah telah mendorong para pemancing dari seluruh negara untuk menyertai acara ini,’’ katanya.

Menurutnya lagi, satu lagi pertandingan akan daiadakan di lokasi sama pada 30 Jun ini iaitu pertandingan Shimano Surfcasting anjuran Kelab Sukan Memancing Profesional Bersatu Malaysia (Mupsac).

 

PANTAI SEPAT DESTINASI PERTANDINGAN MEMANCING CUTI-CUTI MALAYSIA 23 JUN NANTI

0
Pantai Sepat, Kuantan akan menjadi destinasi pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia minggu depan.

KUANTAN, 15 Jun – Pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour bertemakan ‘A Journey To VM2026’ kembali menemui ‘kaki pancing’ di Pantai Sepat Kuantan pada 23 Jun ini.

Pertandingan tersebut yang turut membantu mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Pahang, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM53,000.

Juara bakal membawa pulang RM20,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masingnya akan menerima RM4,000 dan RM1,000.

Peserta yang menamatkan pertandingan di kedudukan keempat akan menerima RM500 manakala pemancing yang menghuni kedudukan kelima hingga ke-10, masing-masingnya akan menerima RM300.

Turut menerima habuan adalah para peserta yang berada di kedudukan ke-11 hingga ke-150 yang akan meraih wang tunai RM180 setiap seorang.

Pertandingan anjuran Wakjali Event Management dengan sokongan Tourism Malaysia itu, akan bermula pada jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari dan kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan pada 22 Jun (Sabtu) bermula jam 3.00 petang hingga 12.00 malam.

Para peserta juga boleh membuat pendaftaran pada jam 7.00 pagi (hari Ahad, 23 Jun) hingga pertandingan dimulakan.

Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran, berkata, pertandingan tersebut antara lainnya  menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pelancongan domestik menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia.

“Pertandingan ini diharap dapat membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertai acara ini.

Ikan Gerong Belang antara spesis ikan yang terdapat di Pantai Sepat.

“Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang terhadap kerancakan ekonomi setempat khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,’’ katanya.

Beliau berkata Pantai Sepat memang kaya dengan pelbagai spesis ikan bergred A seperti pari, ebek, gerong belang, todak dan lain-lain.

Katanya, penganjur juga menyediakan 400 baju-T untuk peserta yang mendaftar awal di lokasi pertandingan.

“Bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM75.00 untuk satu joran manakala bagi pemancing kelainan upaya pula hanya perlu membayar RM50.00.

“Ini adalah yuran penyertaan paling murah pernah dikenakan dalam pertandingan memancing dengan hadiah juara RM20,000.00,’’ katanya

Sebaramg pertanyaan berhubung pendaftaran boleh menghubungi penganjur di talian 019-6203040, 012-2141401 dan 012-6823479.

 

Latest Article

56th EDITION MOE-MSSM-MILO SPORTS AWARD HONOURS MALAYSIA’S YOUNG SPORTING HEROES

0
PUTRAJAYA, April 29 - The 56th edition MOE-MSSM-MILO Sports Awards 2024 honours Malaysia’s outstanding young athletes who demonstrate not only exceptional skill in their...