JOY AND DISAPPOINTMENT FOR LUQMAN IN BELGIUM
Ill-PREPARED PAHANG READY TO FACE JDT
WRONG TIME TO PLAY PJ CITY SAYS SATHIA
SAFAWI’S FOOTBALL CAREER HEADED FOR AN UPSWING
ROARING START FOR EAST COAST NEIGHBOURS
ASYRAF JUARA PRO AM DI TANGKAK, IKA PULA DAPAT HADIAH HARIJADI
TANGKAK, Johor, 23 Ogos – Dua mata yang diraih pada perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 dalam kategori Pro Am di Litar Lumba Tangkak hari ini, sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada pendatang baharu, Nur Atikah Azwar.
Pemilik channel You Tube, Rider Helmet Pink itu atau lebih dikenali sebagai Ika, menamatkan perlumbaan 10 lap itu di kedudukan ke-14, namun ketinggalan satu lap di belakang pendahulu.
Begitupun, pencapaiannya di Tangkak mula menampakkan peningkatan selepas sekadar menghuni tempat ke-15 pada aksi Pusingan 1 di Litar Sepang bulan lalu.
Dia satu-satunya pelumba wanita yang berjaya menamatkan saingan di Litar Tangkak hari ini selepas seorang lagi rakannya, Nuraina Halisya Hamirudin gagal menamatkan perlumbaan kerana menghadapi masalah mekanikal.
Dua mata tersebut juga merupakan hadiah istimewa buat Ika yang menyambut harijadinya hari ini.
Selepas mengharungi dua pusingan setakat ini, dia sudah berjaya mengumpul tiga mata untuk menghuni tempat ke-18 dalam carta keseluruhan.
Perlumbaan akhir kategori Pro Am itu dikuasai pelumba Selangor, Md Asyraf Daniel Md Zamri dengan catatan masa 8:55.946 saat (s) manakala tempat kedua berada dalam genggaman seorang lagi pelumba Selangor, Md Norshahidan Mokhtar dengan masa 8:56.225s.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba Johor, Md Adib Asri yang merekodkan catatan masa 8:56.875s.
Pada sesi kelayakan semalam, Adib muncul pelumba terpantas, tetapi rentaknya pada perlumbaan akhir hari ini serba tidak menjadi.
Juara Pusingan 1, Md Usammah Md Narzam pula gagal mengulangi kecemerlangannya di Litar Sepang bulan lalu selepas sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 9:05.645s.
Keputusan tersebut menyaksikan kedudukan Usammah selaku pendahulu keseluruhan kini dipintas oleh Asyraf yang berjaya mengumpul 41 mata manakala Usammah turun ke kedudukan kedua dengan 38 mata.
Sementara itu, dalam kategori Cabaran Honda Dash 125 pula, pelumba Selangor, Aisy Izz Hafiy Hairul Hafiz tampil dengan rentak bergaya untuk muncul juara perlumbaan akhir itu dengan merekodkan masa terpantas 9:46.032s.
Pelumba Negeri Sembilan, Md Afif Daniel Faizal menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 9:58.874s.
Afif yang turut muncul naib juara pada saingan Pusingan 1 sebelum ini mengambil alih kedudukan pendahulu keseluruhan dengan meraih 40 mata diikuti tempat kedua, Md Faiz Nazmi Md Raduan (Negeri Sembilan) dengan 36 mata.
Aisy Izz pula di kedudukan ketiga dengan 32 mata.
Bagi kategori Yamaha PETRONAS Super Series, gelaran juara menjadi milik pelumba Selangor, Putera Alif Irfan Abdullah yang menamatkan perlumbaan 10 lap itu dengan masa 8:54.374s diikuti tempat kedua, Md Afeez Aiman Effenday (Melaka) yang merekodkan masa 8:55.048s.
Putera Alif yang gagal menamatkan perlumbaan di Sepang bulan lalu, kini melonjak ke tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 25 mata.
Kedudukan selaku pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba Terengganu, Md Danish Aiman Zamrul yang sudah meraih 35 mata.
Hari ini, Danish sekadar menamatkan perlumbaan tersebut di tempat keenam bagi membolehkannya memungut 10 mata.
Selepas ini, mereka akan kembali ke Sepang untuk mengharungi aksi Pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung pada 2-3 September nanti.
KEKECEWAAN AKID TERUBAT DI TANGKAK
TANGKAK, Johor, 23 Ogos – Kali terakhir Md Akid Aziz bergelar juara pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS ialah di Pusingan 9 di Jempol, Negeri Sembilan musim lalu.
Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu sudah lama dahagakan kejayaan seperti itu kerana dia sering berdepan masalah jentera atau terjatuh ketika perlumbaan sedang berlangsung.
Pada aksi di Sepang bulan lalu, Akid turut gagal menamatkan perlumbaan.
Hari ini, kekecewaan pelumba asal Kuala Lumpur itu terubat selepas impiannya itu berjaya direalisasikan apabila bergelar juara kelas perdana, CP150 pada aksi Pusingan 2 yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak.
Mendahului perlumbaan sejak lap pertama lagi, Akid sudah tidak menoleh ke belakang dan dia terus konsisten memimpin saingan dengan selesa di hadapan.
Perlumbaan sejauh 20 lap itu berlangsung dalam keadaan hujan renyai, tetapi ia tetap tidak menjejaskan fokusnya untuk menguasai saingan.
Gaya tunggangannya konsisten, tidak terburu-buru serta bijak mengawal selekoh dalam keadaan litar yang agak licin.

Dia memilih untuk mengharunginya dalam situasi selamat meskipun pada dua lap terakhir dia mula diasak pencabarnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.
Suatu ketika, Azroy berjaya memintasnya, namun Akid kembali mengasak di lap terakhir untuk merampas semula kedudukan pendahulu, sekali gus menamatkan perlumbaan tersebut dengan gelaran juara.
Dia tiba di garis penamat dengan catatan masa 15:46.337 saat (s) untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya musim ini
Azroy yang muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam, sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan masa 15:46.651s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Md Muzakkir Mohamed dengan masa 15:50.266s.
Juara saingan Pusingan 1, Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) serba tidak menjadi hari ini apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18, sekali gus gagal meraih sebarang mata.
“Semuanya berjalan dengan baik hari ini. Begitupun, perlumbaan agak mencabar kerana litar yang licin, namun saya mengambil pendekatan yang lebih selamat.
“Saya hanya fokus untuk mengekalkan rentak tungganggan dan tidak perlu terburu-buru kerana ada beberapa selekoh di litar ini sangat mencabar. Saya hanya perlu sesuaikan gaya tunggangan dengan keadaan litar licin bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang telah menyediakan jentera terbaik untuk mengharungi perlumbaan hari ini,” jelas Akid.
Ekoran kemenangannya hari ini, Akid kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 25 mata. Kedudukan pendahulu berada dalam genggaman Azroy yang sudah mengumpul 36 mata. Helmi pula di tempat ketiga dengan 25 mata.
Sementara itu, pasukan ONEXOX TKKR SAG Team meneruskan penguasaan mereka dalam kelas CP125 menerusi kemenangan yang dilakar oleh pelumbanya, Md Shafiq Rasol.
Shafiq yang bermula agak perlahan, telah melancarkan asakan pada pertengahan saingan sehingga berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok hadapan ketika perlumbaan berbaki tiga lap lagi untuk tamat.
Satu persatu pelumba dipintasnya dan situasi tersebut telah memberikan kayakinan kepadanya untuk cuba memberi tentangan kepada pendahulu, Md Aliff Danial Md Asri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.
Misinya berhasil apabila berjaya memintas Aliff pada lap terakhir bagi membolehkannya memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 12:00.737 saat (s).
Malah, Aliff yang sukar dicabar sejak di awal perlumbaan, turut dipintas oleh rakan sepasukannya, Md Syafiq Rosli yang menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan kedua dengan catatan masa 12:01.866s.
Aliff yang merupakan juara keseluruhan kelas Wira musim lalu sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga dengan masa 12:02.369s.
Ia bukan hari yang bertuah buat Aliff meskipun pada mulanya dia dilihat selesa memimpin perlumbaan, namun kesilapan pada lap terakhir telah memusnahkan impiannya untuk bergelar juara di halaman sendiri.
Shafiq Rasol yang muncul naib juara pada aksi Pusingan 1 di Litar Sepang bulan lalu, kini selesa memimpin kedudukan keseluruhan kelas CP125 dengan mengumpul 45 mata diikuti Syafiq Rosli yang sudah mengumpul 31 mata.
Juara Pusingan 1, Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX TKKR SAG Team) gagal meraih sebarang mata pada aksi di Tangkak, namun dia masih selesa di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 25 mata.
Dalam kelas Wira pula, pasukan ONEXOX SAG Team turut tampil dalam kelas tersendiri apabila pelumbanya, Md Norhakim Norhafizullah memenangi perlumbaan yang dikurangkan ke lapan lap itu gara-gara hujan lebat sebelum ia dimulakan.
Kemenangan tersebut telah mengubati kekecewaan Norhakim yang gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembuka tirai di Litar Sepang bulan lalu.
Pelumba asal Kelantan itu kini berjaya mengubah kedudukannya dalam carta keseluruhan untuk berada di tempat ketiga dengan 25 mata.
Kedudukan pendahulu kini kekal milik pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Rahimi Nabil Razu dengan 33 mata.
Selepas ini, saingan akan kembali ke Litar Sepang Selatan yang akan menjadi tuan rumah Pusingan 3 pada 2-3 September nanti.
KURSUS PENGURUSAN JENAZAH DI MASJID SRI SENDAYAN, NEGERI SEMBILAN
SENDAYAN, 22 Ogos – Masjid Sri Sendayan (MSS) melalui Badan Khairat Kematian, Kariah Masjid Sri Sendayan (BKKKMSS) buat julung kalinya telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah-Muslimin hari ini.

Program sehari itu bermula berlangsung di Dewan Seminar, Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan.
Ia disertai 30 peserta yang terdiri daripada ahli kariah di bawah Kariah Masjid Sri Sendayan.
Program ini dikendalikan oleh Timbalan Pegawai Agama Daerah Jempol, Ustaz Nor Hisham A. Hassan yang berpengalaman lebih 10 tahun menyampaikan ceramah dan praktikal kepada para peserta.

Sepanjang kursus itu, Ustaz Nor Hisham berkongsi ilmu dan pengalaman secara teori dan praktikal mengenai cara pengurusan jenazah meliputi aspek mandi, mengkafankan, solat dan pengkebumian.
Eksekutif MSS merangkap Penasihat BKKKMSS, Ahmad Naim Azlan berkata, pengurusan jenazah adalah sesuatu yang sangat mudah dan bukanlah sesuatu yang rumit seperti sesetengah masyarakat fikirkan.
“Kita mahu terapkan masyarakat supaya mengikuti syariat agama dalam hal pengurusan jenazah dan jangan mengamalkan sesuatu yang boleh memesongkan akidah umat islam,” katanya.

“Kursus ini diadakan bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada umat Islam tentang cara pengurusan jenazah yang betul jika berlaku kematian. Selain itu para peserta yang menyertai kursus ini berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah, kematian dan lain-lain hal yang berkaitan.” katanya lagi.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Surah Al-Anbiya’ ayat 35.

Allah SWT telah menjelaskan dalam kitabnya bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Hal dan urusan kematian bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh oleh setiap orang Muslim kerana ia merupakan sebahagian sunnatullah yakni fitrah kehidupan
Urusan berkaitan kematian khususnya pengurusan jenazah yang bermula dari proses memandikan, mengkafankan sehingga pengkebumian perlulah diuruskan dengan ilmu yang cukup supaya ianya dapat dijalankan mengikut syariat Islam dan tatacara penuh adab sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. Pengurusan Jenazah dalam Islam merupakan tuntutan Fardhu Kifayah.
Dalam erti kata lain, sesuatu kelompok masyarakat itu perlu melunaskan tanggungjawab menguruskan jenazah jika berlaku kematian di dalam kelompok tersebut. Jika tidak seluruh kelompok masyarakat itu akan menanggung dosa.

Pengerusi, BKKKMSS, Jamaludin Jaapar ketika ditemui berkata, berasa bangga kerana BKKKMSS berjaya melaksanakannya program ini walaupun baru ditubuhkan kerana kursus ini sangat penting dan merupakan fardhu kifayah yang perlu dipelajari oleh setiap umat Islam”. katanya.
“Insyallah kita mensasarkan pengurusan jenazah untuk muslimah dan belia-belia diadakan selepas ini bagi mengetahui proses mengendalikan jenazah sekiranya berlaku kematian dalam kalangan keluarga ataupun jiran yang terdekat,” katanya lagi.
Penduduk Bandar Sri Sendayan yang ingin menyertai sebagai ahli khairat di bawah Masjid Sri Sendayan boleh melayari http://kksendayan.ekhairat.com/ atau facebook https://www.facebook.com/Badan-Khairat-Kematian-Kariah-Masjid-Sri-Sendayan
Rata-rata peserta yang ditemui berkata pengisian secara teori dan amali seperti proses memandikan, mengkafankan sehingga solat jenazah telah difahami dengan jelas.
Majlis penutupan dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh Pengerusi BKKKMSS, Jamaludin Jaapar.
USAMMAH TETAP BURU PODIUM DI TANGKAK
TANGKAK, Johor, 22 Ogos – Md Usammah Md Narzam boleh dianggap antara pelumba paling berpengalaman dalam kelas Pro Am pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini.
Dia pernah beraksi dalam kategori Yamaha One Make Race pada musim 2017 sebelum melangkah ke kelas Wira dan CP115, namun dia gagal mengekalkan tempatnya untuk terus bersaing dalam kelas utama itu.
Selepas itu, pelumba berusia 19 tahun asal Selangor ini beralih ke kategori Pro Am bagi memastikan kariernya dalam sukan permotoran terus bersinar.
Keputusannya untuk meneruskan karier dalam kategori Pro Am kini telah mula membuahkan hasil yang membanggakan apabila muncul juara pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang bulan lalu.
Kemenangan tersebut ternyata telah melonjakkan semangatnya dengan harapan untuk terus menguasai saingan bagi kategori Pro Am tahun ini.
Usammah sedar bahawa misi tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai, tetapi dia tetap menanam tekad untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap pusingan yang bakal diharunginya sepanjang musim ini.
Bagi Usammah, meskipun seseorang pelumba itu memiliki pengalaman, ia bukan jaminan untuk melakar kemenangan mudah kerana penentunya tetap bergantung dengan prestasi serta kestabilan jentera.
Hari ini, Usammah meneruskan misinya pada Pusingan 2 di Litar Lumba Tangkak, Johor dengan tekad untuk berada di atas podium kemenangan.
Walaupun berjaya menempatkan dirinya pada kedudukan ketiga terpantas pada sesi kelayakan dengan merekodkan masa 48.552 saat (s), namun dia belum puas kerana yakin mampu melakukan catatan yang lebih baik.
Sesi kelayakan tersebut dikuasai pelumba Johor, Md Adib Asri dengan masa terpantas 48.291s.

“Saya akan terus bekerja keras pada perlumbaan esok. Sasaran saya adalah untuk cuba menyaingi rentak Adib. Saya tahu, Adib mempunyai kelebihan di Litar Tangkak kerana dia sering menjalani latihan di situ.
“Saya harap jentera saya mendapat setting yang lebih baik esok berbanding hari ini yang agak bermasalah.
“Saya akan cuba yang terbaik dan bekerja keras untuk memberi tentangan,” jelas pelumba yang mengidolakan Alex Rins dan Valentino Rossi itu.
Usammah kini mendahului carta keseluruhan kategori Pro Am selepas mengumpul 25 mata hasil kejayaannya menjuarai saingan Pusingan 1 di Litar Sepang bulan lalu.
Dia berharap kehadirannya di Tangkak minggu ini tidak sia-sia, sekali gus terus mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan.
Mengimbas pembabitannya dalam sukan permotoran, segalanya bermula kerana inat yang sangat mendalam dalam sukan tersebut.
Menurutnya, ahli keluarganya juga memang meminati sukan permotoran dan mereka merupakan pendokong kuat terhadap kariernya terutama bapa saudaranya.
RENTAK AZROY MAKIN MANTAP DI TANGKAK
TANGKAK, Johor, 22 Ogos – Jentera Honda memulakan langkah bergaya pada saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2002 yang membuka gelanggang di Litar Lumba Tangkak hari ini.
Ia dibuktikan menerusi pencapaian pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing apabila pelumbanya, Azroy Hakeem Anuar muncul perlumba terpantas pada sesi kelayakan bagi kelas utama iaitu CP150.
Azroy yang sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga pada perumbaan Pusingan 1 di Sepang bulan lalu, telah memperlihatkan aksi lebih mantap kali ini, dan ia membuktikan kesungguhannya untuk menguasai saingan di Tangak nanti.
Pelumba asal Selangor itu tampil dengan catatan masa terpantas pada sesi kelayakan dengan merekodkan 44.031 saat (s).
Jentera yang ditunggangnya nampak semakin stabil, sekali gus memudahkan tugasnya untuk menawan litar sepanjang 1.025 kilometer itu.
Sebelum itu pada sesi latihan bebas pertama, dia sekadar mencatat masa ke-13 terpantas iaitu 45.000s sepusingan sebelum bangkit pada sesi latihan kedua untuk berada dalam kelompok lima teratas dengan masa 44.479s.
Dua sesi tersebut dipergunakanya untuk menguji kestabilan jenteranya sebelum melangkah semula ke gelanggang untuk memulakan sesi kelayakan.
Seperti yang dijangka, dia tampil maksimum pada sesi kelayakan itu untuk muncul pelumba terpantas.
“Setakat ini, semuanya berjalan seperti dirancang. Keadaan jentera sangat stabil dan ini memberi keyakinan kepada saya untuk melakukan yang lebih baik pada aksi sebenar esok,” jelas Azroy.
Juara Pusingan 1, Md Helmi Azman masih belum memperlihatkan taringnya hari ini, dan pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing itu sekadar menamatkan sesi kelayakan itu di kedudukan ketujuh dengan merekodkan masa 44.320s.
Md Akid Aziz ( PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) pula dilihat mula mengorak langkah selepas mencatatkan masa kedua terpantas pada sesi kelayakan itu dengan masa 44.050s.
Md Iqbal Amri Abd Malik yang menggalas cabaran pasukan AHM Motorsports berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga terpantas dengan masa 44.098s.
Sementara itu, bagi kelas CP125 pula, Md Shafiq Rasol yang mewakili pasukan ONEXOX TKK SAG Team tampil dalam kelas tersendiri untuk mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan.
Pelumba asal Melaka itu menamatkan sesi tersebut dengan masa 46.026s sepusingan.
Tempat kedua terpantas pula menjadi milik rakan sepasukannya, Md Hafiza Rofa dengan merekodkan masa 46.318s.
Pelumba pasukan IPONE Yamaha YYPang Racing Team, Md Fareez Afeez Abd Rahman berada di kedudukan ketiga dengan masa 46.343s.
Seperti mana yang berlaku pada aksi Pusingan 1 di Sepang bulan lalu, barisan pelumba ONEXOX TKKR SAG Team diramal bakal sekali lagi menguasai saingan di Tangkak hujung minggu ini.
Sesi kelayakan bagi kelas Wira hari ini turut menyaksikan persaingan sengit dan seperti dijangka, pelumba pasukan ONEXOX SAG Team menepati ramalan apabila menguasai dua kedudukan teratas bagi kelayakan A.
Md Norhakim Norhafizullah muncul terpantas bagi saingan kelayakan A dengan catatan masa 46.944s manakala rakan sepasukannya, Md Aeiman Hafidz Shahril di tempat kedua terpantas dengan masa 47.038s.
Kelayakan B pula dikuasai pelumba pasukan Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing, Md Idlan Haqimi Raduan dengan merekodkan masa terpantas 47.165s.
Md Izzat Md Raduan (ONEXOX SAG Team) di kedudukan kedua dengan masa 47.217s.
Begitupun ketika berlangsungnya sesi Shoot-Out bagi kelas Wira membabitkan 10 pelumba terbaik, Idlan telah mencuri tumpuan apabila tampil terpantas dengan masa 46.922s, sekali gus bakal bermula di petak pertama pada perlumbaan sebenar esok.
Norhakim yang mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan B bakal bermula di petak kedua selepas muncul kedua terpantas pada sesi Shoot-Out hari ini dengan masa 46.932s.
Aeiman pula bakal menghuni petak ketiga apabila menghuni kedudukan ketiga pada sesi Shoot-Out dengan masa 47.019s.
Juara kelas Wira Pusingan 1, Rahimi Nabil (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing kurang tampil maksimum hari ini apabila terkelaur daripada sesi Shoot-Out selepas sekadar menghuni kedudukan ke-10 pada sesi kelayakan A.
Esok, saingan akan bermula dengan sesi Shoot-Out bagi kelas CP125 diikuti Superpole untuk kelas CP150.
Perlumbaan akhir dijadualkan berlangsung pada sebelah petangnya.
Para peminat Cub Prix juga boleh mengikuti perlumbaan ini secara langsung menerusi FB Live MalaysianCubPrix.


















