KUALA TERENGGANU, 2 Okt – Tiga belas mata yang diraih pada saingan Pusingan 5 kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Terengganu hari ini sekurang-kurangnya telah mengubat kekecewaan pelumba Tune Boss Pink Racing (TBPR), Mohd Harith Farhan Baharin selepas misinya memburu penyudah podium di negeri kelahirannya menemui kegagalan.
Harith yang memulakan perlumbaan akhir kelas CP125 itu di petak kedua sekadar menamatkan saingan tersebut di kedudukan keempat dengan catatan masa 13:11.290 saat (s).
Pelumba berpengalaman pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley muncul juara dengan catatan masa 13:06.025s.
Berdasarkan kedudukan petak para pelumba pada perlumbaan akhir itu, Harith dilihat berpeluang untuk melakukan satu lagi kejutan buat TBPR, tetapi kesilapannya pada permulaan perlumbaan telah mengakibatkannya ketinggalan jauh di belakang.
Situasi tersebut menyebabkannya ketinggalan di kedudukan ketujuh, sekali gus terpaksa bekerja keras untuk mengejar kumpulan pelumba yang berada di kelompok depan.
Ia bukan tugas yang mudah kerana litar di Terengganu itu mempunyai ruang yang sangat terhad untuk melakukan asakan. Litar ini banyak menuntut kemahiran daripada setiap pelumba selain kestabilan jentera.
Begitupun, Harith telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya memintas beberapa pelumba yang berada di hadapannya bagi menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan keempat.
Ia dianggap satu pencapain yang baik buat Harith dan pasukan baharu seperti TBPR yang hanya dipandang sebelah mata oleh pencabar mereka ketika mula membuat kemunculan di Cub Prix musim ini.
Malah, mereka berjaya meraih kemenangan podium pada aksi Pusingan 3 di Litar Sepang Utara dua minggu lalu menerusi Harith yang menduduki tempat ketiga pada perlumbaan akhir kelas CP125.
Dua lagi pelumba TBPR yang beraksi dalam kelas tersebut iaitu Saiful Azhary Muhamad dan Siti Norafizah Mohamad turut tampil hebat dengan Saiful menamatkan saingan di kedudukan ke-13 manakala Norafizah atau Fifi berada di kedudukan ke-20.
Ia penampilan yang agak bermakna buat Saiful yang berjaya mengutip tiga mata daripada perlumbaan akhir itu.
Saiful yang meraih 9 mata pada penampilan pertamanya di Sepang dua minggu lepas kini berada di kedudukan ke-15 keseluruhan bagi kategori pelumba dengan mengumpul 12 mata. Fifi pula berada di kedudukan ke-13 dengan 19 mata.
Harith terus mengukuhkan cengkamannya di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan mengumpul 43 mata.
Peneraju kedudukan kini diambil alih oleh Adib yang sudah mengumpul 89 mata keseluruhan.
Bagi kategori berpasukan pula, TBPR kekal menghuni kedudukan kelima dengan mengumpul 62 mata. Status selaku pendahulu keseluruhan masih berada dalam genggaman pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team yang sudah meraih 172 mata.
“Mungkin saingan hari ini bukan rezeki kami walaupun pelumba kami berada di kedudukan terbaik untuk mencipta satu lagi kejutan. Sedikit kesilapan telah menjejaskan peluang untuk berada di podium.
“Ini adalah satu proses dan kami akan terus belajar daripada kesilapan. Kami akan terus berusaha dan fokus bagi menghadapi perlumbaan seterusnya,”jelas pengurus serta pemilik TBPR, Nur Atikah Azwar.
Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik buat TBPR dan barisan pelumba yang mereka pertaruhkan semakin membuktikan peningkatan.
Jentera Yamaha Legenda yang menjadi taruhan mereka juga semakin stabil dan meyakinkan.
Esok, Ahad, TBPR akan kembali ke gelanggang bagi meneruskan cabaran mereka pada saingan Pusingan 6.