KUALA LUMPUR, 16 Sept – Pasukan Tune Boss Pink Racing (TBPR) terus mengorak langkah apabila membawa masuk pelumba baharu, Saiful Azhary dalam misi untuk mengukuhkan lagi cengkaman pasukan pada kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini.
Saiful, 21 tahun yang berasal dari Johor akan beraksi dalam kategori CP125 bersama-sama dua lagi pelumba sedia ada, Siti Norafizah Mohamad dan juga Mohd Harith Farhan Baharin.
Dengan kehadiran Saiful dalam pasukan TBPR, mereka kini mempunyai tiga pelumba bagi menggalas cabaran dalam kelas CP125, kategori yang baharu diperkenalkan musim ini bagi menggantikan kelas CP115.
Saiful yang merupakan adik kepada Norafizah atau Fifi, mula aktif dalam sukan permotoran pada tahun 2005 dengan pembabitan awalnya menjinakkan diri dengan pocket bike.
Dia telah beraksi dalam kejuaraan minibike itu sehingga tahun 2012 sebelum meneruskan kariernya ke kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Sepanjang pembabitannya dalam sukan permotoran, Saiful pernah muncul juara keseluruhan kategori Honda Future One Make Race pada musim 2014 selain bergelar naib juara keseluruhan kategori Wira pada tahun 2015.
Ketika sesi ringkas bagi mengumumkan penyertaan Saiful dengan pasukan Tune Boss Pink Racing malam tadi, pelumba asal Johor itu menjelaskan bahawa matlamatnya adalah untuk mencari pengalaman baharu dalam kariernya.
“Semua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri tetapi keputusan untuk menyertai TBPR adalah disebabkan kemajuan yang telah dibuktikan oleh mereka. Walaupun pasukan ini masih baharu, tetapi mereka telah menunjukkan konsistensi dalam setiap pusingan. Ini antara faktor yang menarik perhatian saya.
“Selain itu, gaya pengurusan pasukan ini juga amat teliti dalam segala hal,” jelas Saiful yang sudah mempunyai pengalaman tiga tahun beraksi dalam Cub Prix.
Dia yakin, kehadirannya dalam pasukan TBPR akan memberi pengalaman baharu kepadanya dalam usaha untuk terus memantapkan kariernya.
Dalam perkembangan sama, pemilik serta pengurus pasukan TBPR, Nur Atikah Azwar menjelaskan bahawa mereka ada misi tersendiri untuk menambah anggota dalam pasukan bagi menghadapi baki saingan Cub Prix musim ini.
“Ini mungkin strategi pasukan, malah ia memang sudah lama dirancang. Pemilihan Saiful untuk menjadi anggota pasukan juga telah melepasi beberapa kriteria yang menjadi pertimbangan kami. Ia bukan soal ‘main pilih’ saja, tetapi telah melalui beberapa penilaian baik dari segi prestasi, disiplin (sama ada di dalam dan luar gelanggang), komitmen dan juga personaliti yang ada pada diri seseorang pelumba itu sendiri,” jelas Nur Atikah yang amat mementingkan semangat kekeluargaan dalam pasukan miliknya itu.
Minggu ini, TBPR akan kembali ke gelanggang bagi meneruskan saingan Pusingan 3 dan 4 kejuaraan Cub Prix Malaysia yang akan berlangsung di Litar Sepang Utara.
Kejuaraan ini ditangguhkan sejak Mei tahun ini ekoran situasi pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di seluruh negara.
Selepas mengharungi dua psuingan setakat ini, TBPR kini berada di kedudukan keempat keseluruhan bagi kategori berpasukan dengan mengumpul 33 mata, dan ia dianggap pencapaian yang membanggakan bagi pasukan yang baharu membuat kemuculan pada kejuaraan berprestij itu.
Pelumbanya pula kini berada dalam kelompok 10 terbaik bagi kategori pelumba kelas CP125 yang menyaksikan Fifi menghuni tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 19 mata manakala Harith di kedudukan kesembilan dengan meraih 14 mata.
Seorang lagi pelumbanya, Siti Norsyafiyah Alia Saarizan pula menggalas cabaran dalam kategori Wira dengan menduduki tangga ke-19 keseluruhan selepas mengharungi dua pusingan.