SALAM sejahtera dan salam perkenalan daripada kolum ‘Lipat Maut’.
Kolum ini akan membicarakan isu-isu berkaitan sukan dan insyaAllah akan diterbitkan setiap hari Rabu di hubmedia.my.
Topik bicara yang dipaparkan mungkin berbentuk kritikan mahupun pandangan ikhlas dan ia tiada niat untuk mengaibkan mana-mana pihak.
Matlamatnya hanyalah untuk melihat aktiviti sukan negara diurus sebaik mungkin bagi memastikan masa depannya berada pada tahap terbaik dan terjamin.
Sebagai permulaan, saya ingin berkongsi pandangan berkenaan senario terkini sukan negara yang terpaksa dihentikan sejak Mac lalu gara-gara penularan wabak Covid-19.
Situasi ini bukan sahaja berlaku di negara kita, tetapi juga di seluruh dunia – akibatnya segala jentera lumpuh terutamanya pertandingan sukan.
Selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal bulan ini, banyak kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan, dan atlet mahupun pasukan bolasepak pula sudah dibenarkan menjalani latihan, tetapi tetap tertakluk dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Setakat ini, ia dipatuhi dengan baik oleh semua pihak terbabit, sekali gus memberi petanda positif bagi membolehkan sebarang pertandingan bakal bersambung semula.
Berdasarkan perkembangan terkini, saya agak yakin situasi Covid-19 di negara kita adalah terkawal kerana tiada sebarang peningkatan untuk kes baharu, malah terus kekal dengan angka satu digit setiap hari.
Jadi, pihak yang bertanggungjawab seharusnya sudah bersedia untuk memberi kebenaran kepada beberapa pertandingan atau kejohanan tempatan diteruskan semula.
Begitupun, sebagai permulaan, kebenaran harus diberikan kepada acara-acara sukan seperti bolasepak, badminton serta sukan permotoran atau sukan lain yang kurang melibatkan banyak ‘body contact’.
Acara-acara ini dilihat agak selamat kerana kehadiran penonton sangat mudah untuk dikawal.
Apa pun, langkah terbaik adalah untuk menganjurkannya secara tertutup.
Di beberapa negara Eropah, acara bolasepak sudah bermula dan begitu juga dengan sukan permotoran yang diadakan tanpa kehadiran penonton.
Justeru, Malaysia sepatutnya tidak perlu menunggu lebih lama bagi memberi kebenaran kepada tiga acara ini untuk meneruskan kalendar kejohanan masing-masing.
Sejak beberapa hari lalu, ramai yang membicarakan sama ada Liga Malaysia mahupun kejuaraan sukan permotoran akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan di beberapa negara yang masih terjejas teruk dengan Covid-19, acara-acara ini sudah pun bermula.
Berdasarkan perkembangan tersebut, maka tiada sebab kenapa agenda sukan tempatan yang dilihat selamat (umpamanya Liga Malaysia mahupun sukan permotoran) tidak boleh dianjurkan segera.
Sukan permotoran misalnya, ia seharusnya sudah boleh diteruskan kerana ia bukan acara “contact’, lagipun ia antara sukan yang mengutamakan ciri-ciri keselamatan, baik pelumba mahupun krew pasukan.
Malah, ia lebih mudah dikendalikan jika diadakan secara tertutup seperti mana perlumbaan kereta Formula Satu (F1) di Austria minggu lalu.
Di Malaysia, pelumba kita meraih pendapatan menerusi kejuaraan tempatan dan jika ia terus tidak diberi kebenaran, sumber pendapatan pelumba kita akan semakin terjejas.
Mereka tidak ada gaji tetap seperti mana yang ditawarkan dalam sukan bola sepak. Punca pendapatan pelumba adalah menerusi perlumbaan yang mereka sertai.
Andai pihak kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memahami situasi ini, maka tiada alasan buat pihak kementerian untuk terus ‘membekukan’ penganjuran kejuaraan sukan permotoran tempatan.
Kita juga tidak sanggup untuk melihat pelumba kita berterusan merana meskipun masalah ini dihadapi oleh semua masyarakat sepanjang penularan Covid-19 ini.
Begitupun, bagi yang memiliki pendapatan bulanan tetap, ia tidaklah membebankan sangat, tetapi bagi pelumba mahupun atlet yang bergantung harapan dengan kejuaraan-kejuaraan tertentu sebagai punca pendapatan, ia adalah satu penyeksaan.
Walaupun begitu, saya sangat menghormati sikap para pelumba, khususnya yang beraksi di Kejuaraan Cub Prix kerana mereka tetap tenang menghadapi situasi sukar ini tanpa ‘membuat bising’ soal gaji dan sebagainya berbanding atlet/pemain bagi sukan yang lainnya (walaupun tidak semua).
Jika masih ragu-ragu untuk memberi kebenaran terhadap penganjuran semua pertandingan sukan tempatan, namun saya sangat berharap agar Liga Malaysia, kejohanan badminton dan sukan permotoran diberi pelepasan segera.
Daripada situ, pihak-pihak berwajib boleh membuat pemantauan terhadap gaya penganjurannya – sama ada ia mematuhi SOP atau sebaliknya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut memberi bayangan bahawa ada petanda baik bagi memberi kebenaran untuk penganjuran pertandingan tempatan dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan, perkembangan terkini Covid-19 semakin terkawal dan Malaysia terus konsisten mencatat angka satu digit untuk kes baharu setiap hari.
Reezal yakin, jika keadaan tersebut berterusan, ada kemungkinan pihak berkuasa akan memberi ‘lampu hijau’ untuk penganjuran beberapa acara sukan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bagi meninjau persiapan Sukan Malaysia 2020 di Johor Bahru semalam.
Begitupun, individu yang harus memperjuangkannya adalah Reezal sendiri dan dia sepatutnya sudah tahu sukan mana yang difikirkan lebih selamat untuk diberi kelulusan segera bagi meneruskan agenda pertandingan mereka.
Saya yakin, Reezal juga sudah mendapat ‘input’ yang agak lengkap ketika ini – sukan mana yang difikiran sesuai untuk diberi ‘lampu hijau’.
Sebelum ini, dia juga sudah melihat sendiri bagaimana penyediaan SOP pertandingan dalam sukan permotoran ketika berlangsungnya sesi ujian Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
Jika dirasakan selamat, saya rasa tidak perlu takut memberi keputusan demi kebaikan semua pihak khususnya penganjur, penaja dan juga atlet, pelumba serta pemain.
Kita berharap agar Reezal berjuang sebaik mungkin bagi membolehkan beberapa pertandingan mahupun kejuaraan tempatan dapat dilangsungkan segera.
Esok (Khamis), beliau akan membentangkan cadangan kepada pihak MKN berhubung kebenaran untuk membolehkan ‘contact sports’ mengadakan latihan seperti biasa dan juga kebenaran terhadap penganjuran untuk sukan permotoran.
Kita doakan agar misi Menteri Belia dan Sukan yang baharu ini berjaya dan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak MKN.
Sekian, Maju Sukan Untuk Negara.