MAHO kecewa inisiatif Penjana

0
1399

Oleh Khalid Noorshah

Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) berasa kecewa dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu kerana ia tidak membantu merancakkan industri dan aliran wang tunai hotel.

Pengarah Eksekutifnya, Shaharuddin M. Saaid berkata, secara keseluruhannya, ia sangat mengecewakan di mana beberapa perkara yang disyorkan kepada kerajaan untuk membantu memulihkan industri perhotelan negara tidak diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya.

Menurut beliau, dalam pembentangan Penjana, permintaan mengurangkan tarif elektrik bagi industri perhotelan tidak dipertimbangkan sedangkan ia kos kedua tertinggi dalam operasi hotel.

“Walaupun dalam pakej ransangan ekonomi yang lalu industri perhotelan menikmati diskaun 15% bagi bil elektrik tetapi ia tidak cukup untuk membantu industri, malah kami menerima laporan  Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak memberi diskaun tersebut kepada hotel-hotel,” katanya.

Selain itu, katanya, pengusaha hotel masih tidak tersenarai dalam moratorium pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dinikmati oleh Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

“Kami juga mengalami masalah dengan institusi perbankan yang tidak mesra hotel samada dalam melunaskan hutang lama atau dalam menyediakan dana bantuan khas. Kerajaan nampaknya tidak berminat menyokong kami dalam hal ini,” kata Shaharuddin sambil menambah pengusaha hotel menunggu dan mengharapkan dana khusus daripada kerajaan untuk merancakkan semula industri hotel.

Di bawah Penjana, bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang kena bayar oleh perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan dilanjutkan tempoh penangguhannya selama 3 bulan lagi mulai 1 Oktober hingga 31 Disember 2020.

Selain itu pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.

Di bawah Penjana juga  kerajaan memutuskan untuk mengecualikan cukai pelancongan sepenuhnya mulai 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021 dan pelepasan cukai RM1,000 kepada individu ke atas perbelanjaannya melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Shaharuddin berkata, MAHO menyambut baik saringan kesihatan percuma kepada pekerja dan inisiatif-inisiatif lain yang dilanjutkan tempoh penangguhannya seperti cukai pelancongan, cukai perkhidmatan penginapan tetapi cukai-cukai ini bukanlah pendapatan untuk hotel.

Menurutnya, MAHO mengharapkan peningkatan jumlah subsidi gaji melebihi RM600 seorang pekerja tetapi ini tidak berlaku dan  subsidi itu masih lagi terhad kepada 200 orang pekerja sahaja, maka ia tidak membantu hotel-hotel yang mempunyai 300 orang pekerja di mana pengusaha hotel masih perlu membayar gaji penuh.

“Sekiranya pengusaha hotel tersenarai sebagai pihak yang turut menikmati moratorium penangguhan pencaruman KSWP dan juga Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) sekurang-kurangnya wang lebihan itu boleh disalurkan kepada pembayaran gaji pekerja.

“Secara keseluruhannya, Penjana memberi tumpuan bantuan dana kepada PKS dan tidak ada dana bagi membantu untuk memulihkan industri perhotelan negara, semuanya kekal status quo dan tidak menyumbang kepada aliran tunai hotel,” tambahnya.

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here