PENEMPATAN SEMULA PEKERJA HOTEL SUKAR DITERJEMAH

0
1197

Oleh KHALID NOORSHAH

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kesatuan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia (NUHBRW) hari ini menyifatkan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Jana Semual Ekonomi Negara (Penjana) sukar untuk diterjemahkan bagi pekerja hotel yang telah diberhentikan kerja.

Setiausaha Agungnya, Rusli Affandi berkata, ramai pekerja hotel yang diberhentikan kerja berumur dalam lingkungan lewat 30-an dan awal 40-an dan mereka terpaksa bersaing dengan pencari kerja yang lebih muda.

“Walaupun kerajaan ada memberi insentif berbentuk subsidi gaji tetapi majikan samada dalam perhotelan atau sektor lain rata-ratanya akan memilih untuk mengambil pekerja yang lebih muda dan lepasan kolej dan universiti.

“Dalam pada itu kami juga telah menerima laporan bahawa ada hotel tidak membayar gaji penuh kepada pekerja, sebaliknya, hanya membayar gaji subsidi yang diberikan oleh kerajaan,” katanya sambil menambah pihaknya sedang menimbang tindakan ke atas hotel-hotel tersebut.

Di bawah Penjana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja di mana syarikat akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

Insentif pertama ialah gaji sebanyak RM800 sebulan setiap pekerja bagi syarikat yang mengambil bekerja penganggur di bawah umur 40 tahun dan insentif kedua ialah penggajian sebanyak RM1,000 sebulan kepada pengambilan bekerja penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk selama 6 bulan.

Rusli berkata, NUHBRW juga menerima aduan daripada 34 orang ahlinya bahawa mereka ada menerima surat pada April lalu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, menyatakan bahawa mereka akan diberhentikan kerja mulai 12 Jun ini tetapi sekarang hotel mengubah fikiran dan akan memberi mereka cuti tanpa gaji selama 6 bulan.

Menurut beliau, kesatuan ada menghubungi hotel tersebut dan bertanyakan mengapa hotel itu tidak memohon subsidi gaji seperti yang ditawarkan oleh kerajaan di bawah Pelan Ransangan Ekonomi yang terdahulu tetapi hotel memaklumkan bahawa pendapatan mereka pada bulan Januari dan Februari agak menggalakkan, oleh itu mungkin sukar untuk mereka meneriam subsidi tersebut.

“Atas alasan itu, kesatuan berpendirian bahawa hotel bertaraf 4 bintang itu mempunyai sumber kewangan untuk terus mengekalkan 34 pekerja itu daripada memberhentikan mereka kerana kos pemberhentian lebih besar di mana mereka hendaklah dibayar gaji dan pampasan.

“Kami bimbang hoel itu sedang cuba memanipulasikan keadaan. Selepas enam bulan pekerja bercuti tanpa gaji, perjanjian perkhidmatan antara pekerja dan majikan boleh terbatal dan majikan tidak lagi perlu membayar gaji dan pampasan sedangkan di bawah Akta Pekerja 1955, majikan wajib membayar gaji.” tambahnya.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here