Home Blog Page 19

PERTANDINGAN MEMANCING PARLIMEN SELAYANG TAWAR HADIAH KESELURUHAN RM20,000

0

RAWANG, 26 Jun – Hadiah lumayan menanti para pemenang pertandingan memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang bakal diadakan di Taman Tasik Biru Kudang, Sabtu ini.

Pertandingan yang dianjurkan Parlimen Selayang dengan kerjasama JKP Zon 19 MPS, MPS dan MBI itu menawarkan hadiah wang tunia keseluruhan berjumlah RM20,000.

Menurut jurucakap penganjur , Nor Zaily Hasjadi, pertandingan akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu merupakan salah satu usaha untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik khususnya di negeri Selangor.

“Usaha seperti ini dapat melestarikan lagi Tasik Biru Kundang, Rawang sebagai pusat eko pelancongan di Selangor selain menggiatkan aktiviti sukan memancing dalam kalangan masyarakat sekitar,” katanya.

Nor Zaily memaklumkan bahawa Tasik Biru Kundang menjadi lubuk kepada ikan-ikan spesies tempatan seperti Toman, Belida, Raja, Talapia, Patin, Rhu, Diamond dan Haruan dan sudah pasti ia akan menjadi cabaran buat para kaki pancing.

“Bagi memeriahkan pertandingan itu nanti, kita mempelawa para kaki pancing menyertai pertandingan ini memandangkan tasik berkenaan belum pernah mengadakan pertandingan memancing sebelum ini.

“Pada pertandingan ini nanti, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, diikuti tempat kedua (RM4,000), tempat ketiga (RM1,000) manakala hadiah cabutan bertuah bonanza pula menawarkan sebuah motosikal,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelepasan ikan patin di tasik berkenaan hari ini.

Penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai kepada para pemenang yang menduduki sehingga tempat ke-100 selain menyediakan 50 lagi cabutan bertuah buat para peserta yang bertuah.

Yuran penyertaan adalah RM70 setiap joran dengan 200 peserta terawal akan menerima baju-T percuma.

Nor Zaily berkata kaunter pendaftaran secara online dan walk-in akan dibuka pada Jumaat ini bermula jam 3.30 petang dan keesokannya kaunter dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi pihak urusetia ditalian 012-8780480, 019-3493692, 011-54101184 dan 010-2078668.

RM20,000 JADI MILIK MOHD. SABRI

0
Para pemenang merakamkan gambar kenangan bersama para VIP selepas majlis penyampaian hadiah.

KUANTAN, 23 Jun – Tuah ayam nampak di kaki, tuah Mohd. Sabri Mat siapa tahu. Begitulah situasi yang berlaku dengan pemancing dari Kelantan itu apabila ikan bawal emas seberat 4.88 kilogram yang berjaya ditawannya membolehkan dia muncul juara Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour 2024 di Pantai Sepat, dekat sini hari ini.

Ikan bawal tersebut membolehkan Mohd. Sabri meraih hadiah wang tunai RM20,000 selaku juara keseluruhan pada pertandingan tersebut.

Beliau menewaskan pemancing dari Terengganu, Naziani Nazir yang berjaya menaikkan ikan pari seberat 1.845 kilogram dan Sauli Abd Manaf dari Selangor yang menaikkan ikan todak 1.750. kilogram pada pertandingan yang disertai lebih 900 peserta itu.

“Berbekalkan umpan udang hidup, memang sasaran saya adalah spesis ikan bersisik, tapi alhamdulillah saya berjaya menjinakkan bawal emas ini pada jam 11.35 pagi.

“Ini kemenangan terbesar pernah saya raih sejak aktif menyertai pertandingan memancing beberapa tahun lalu,’’ kata Mohd. Sabri.

Naziani dan Sauli yang menamatkan pertandingan tersebut di kedudukan kedua dan ketiga masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan RM1,000.00.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuuk Seri Syafik Fauzan Sharif.

Turut hadir memeriahkan pertandingan tersebut adalah pegawai Tourism Malaysia Wilayah Timur, Rogayah Mohamad; Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran dan Pengerusi JPKK Pantai Sepat, Adnan Bakar.

Sementara itu, Md ali berkata bahawa pertandingan kali ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan berikutan yuran penyertaan yang murah berbanding pertandingan lain.

“Sokongan daripada pihak Tourism Malaysia menerusi program Cuti-Cuti Malaysia turut mendapat kepercayaan tinggi daripada para pemancing.

“Keyakinan bahawa acara ini bakal berlangsung tanpa masalah telah mendorong para pemancing dari seluruh negara untuk menyertai acara ini,’’ katanya.

Menurutnya lagi, satu lagi pertandingan akan daiadakan di lokasi sama pada 30 Jun ini iaitu pertandingan Shimano Surfcasting anjuran Kelab Sukan Memancing Profesional Bersatu Malaysia (Mupsac).

 

PANTAI SEPAT DESTINASI PERTANDINGAN MEMANCING CUTI-CUTI MALAYSIA 23 JUN NANTI

0
Pantai Sepat, Kuantan akan menjadi destinasi pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia minggu depan.

KUANTAN, 15 Jun – Pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour bertemakan ‘A Journey To VM2026’ kembali menemui ‘kaki pancing’ di Pantai Sepat Kuantan pada 23 Jun ini.

Pertandingan tersebut yang turut membantu mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Pahang, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM53,000.

Juara bakal membawa pulang RM20,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masingnya akan menerima RM4,000 dan RM1,000.

Peserta yang menamatkan pertandingan di kedudukan keempat akan menerima RM500 manakala pemancing yang menghuni kedudukan kelima hingga ke-10, masing-masingnya akan menerima RM300.

Turut menerima habuan adalah para peserta yang berada di kedudukan ke-11 hingga ke-150 yang akan meraih wang tunai RM180 setiap seorang.

Pertandingan anjuran Wakjali Event Management dengan sokongan Tourism Malaysia itu, akan bermula pada jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari dan kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan pada 22 Jun (Sabtu) bermula jam 3.00 petang hingga 12.00 malam.

Para peserta juga boleh membuat pendaftaran pada jam 7.00 pagi (hari Ahad, 23 Jun) hingga pertandingan dimulakan.

Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran, berkata, pertandingan tersebut antara lainnya  menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pelancongan domestik menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia.

“Pertandingan ini diharap dapat membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertai acara ini.

Ikan Gerong Belang antara spesis ikan yang terdapat di Pantai Sepat.

“Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang terhadap kerancakan ekonomi setempat khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,’’ katanya.

Beliau berkata Pantai Sepat memang kaya dengan pelbagai spesis ikan bergred A seperti pari, ebek, gerong belang, todak dan lain-lain.

Katanya, penganjur juga menyediakan 400 baju-T untuk peserta yang mendaftar awal di lokasi pertandingan.

“Bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM75.00 untuk satu joran manakala bagi pemancing kelainan upaya pula hanya perlu membayar RM50.00.

“Ini adalah yuran penyertaan paling murah pernah dikenakan dalam pertandingan memancing dengan hadiah juara RM20,000.00,’’ katanya

Sebaramg pertanyaan berhubung pendaftaran boleh menghubungi penganjur di talian 019-6203040, 012-2141401 dan 012-6823479.

 

RM24,550 JADI REBUTAN PARA KAKI PANCING DI TAMAN TASIK PERMAISURI KL SABTU INI

0
MUSTAZA (kiri) bersama para exco penganjur melepaskan ikan sempena pertandingan memancing di Tasik Permasuri, Sabtu ini.

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM24,550 akan menjadi rebutan para kaki pancing di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur pada sabtu ini.

Pertandingan memancing anjuran bersama Jawatankuasa Sukan, Rekreasi Persatuan Badan Berkanun Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) itu menawarkan hadiah lumayan kepada juara iaitu berjumlah RM10,000.

Program tersebut turut mendapat sokongan Institut Sukan Negara (ISN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut jurucakap pihak penganjur, Mustaza Mohamad, acara tersebut bukan sahaja menyediakan medan buat kaki pancing bersaing sesama sendiri tetapi turut memainkan peranan mempromosikan keindahan tasik-tasik menarik yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur.

“Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masingnya menerima RM3,000 dan RM1,000,” katanya selepas upacara melepaskan hampir 400 kilogram spesis ikan patin dianggarkan seberat diantara 1 hingga 5 kilogram di Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, hadiah wang tunai juga disediakan kepada pada pemenang sehingga tempat ke-100 dan ia berkonsep sapu bersih.

“Kaunter pendaftaran akan dibuka pada Jumaat nanti (31 Mei) bermula pukul 3.30 petang hingga 9 malam,” katanya.

Khemah urus setia akan dibuka di lokasi pertandingan bagi memudahkan para peserta membuat mendaftaran dan yuran penyertaan adalah RM80 untuk setiap joran.

“Pelbagai spesis ikan termasuk pacu, belida, toman, patin, talapia, Peacock Bass, haruan, lampan, kap rumput, koi, tongsan dan keli terdapat di tasik ini, jadi semua peserta berpeluang untuk bergelar juara,” kata Mustaza.

Mengulas lanjut, Mustaza menjelaskan bahawa 500 peserta yang mendaftar awal akan menerima baju-T daripada pihak penganjur manakala cabutan bertuah juga disediakan untuk para peserta.

“Tasik Permaisuri, Cheras yang sinonim sebagai lokasi memancing diharap dapat menarik para peserta dari luar Kuala Lumpur memandangkan bukan mudah untuk memancing di tasik ini. ” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh menghubungi pihak urus setia di talian 018-2044653, 013-6359774, 017-7290307 dan
013-2001986.

 

PULAU PINANG DESTINASI AKHIR BADMINTON REMAJA NCT SEBELUM KE GRAND FINAL

0
Para pemain yang telah memeriahkan saingan di Pulau Pinang, Ahad lalu.

PULAU PINANG, 15 Mei – Siri kejohanan Badminton Remaja NCT berakhir di Pulau Pinang pada Ahad lalu yang menyaksikan lebih 600 pemain, kebanyakannya dari Wilayah Utara Semenanjung tampil menyahut cabaran.

Kejohanan yang mempunyai lima pusingan itu berlangsung selama tiga hari yang mana para pemain yang berada di kedudukan empat terbaik bagi setiap kategori akan melayakkan diri ke pusingan akhir nanti.

Pusingan akhir akan berlangsung di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini dan pemenang bagi setiap kategori akan diberikan tiket ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024.

Pada saingan di Pulau Pinang, Lim En Yu dari Kedah muncul satu-satunya juara berganda apabila berjaya menjuarai kategori perseorangan dan bergu perempuan Bawah 11 tahun.

Seramai lebih 3,000 pemain berusia antara 8 hingga 15 tahun dari seluruh negara telah bertanding dalam 14 kategori yang dipertandingkan dalam kesemua lima pusingan kejohanan ini dengan empat pemain terbaik layak ke pusingan akhir.

Bekas pemain perseorangan negara, Kwan Yoke Meng yang hadir menyaksikan kejohanan ini melahirkan rasa bangganya selepas melihat begitu ramai pemain muda di seluruh negara tampil menyertai pertandingan tersebut.

“Ada pemain yang berbakat di setiap wilayah dan setiap negeri, terutamanya di kalangan pemain yang berusia 13 hingga 15 tahun,” kata Yoke Meng.

Menurutnya, pihak penaja serta kelab perlu tampil menyediakan sumber untuk membantu menggilap bakat pemain-pemain dalam peringkat umur tersebut kerana mereka ini bakal menjadi sandaran negara dalam sukan badminton di masa hadapan.

Tutu hadir pada saingan di Pulau Pinang itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, Connie Tan.

Dalam satu temubual, Connie yang merupakan seorang pemain bola keranjang yang juga aktif bermain dan menonton bolasepak, menyatakan perlunya untuk pihak-pihak berwajib mempromosi dan menekankan badminton sebagai sukan kebangsaan.

“Kita hampir memenangi pingat emas Sukan Olimpik sebelum ini dan kita berharap pada kali ini, dengan bantuan Kementerian Belia dan Sukan yang telah melancarkan program “Road to Gold”, kita boleh memenangi pingat emas Olimpik pertama kita di Paris tahun  ini.”

Tambah Connie lagi, kejohanan Piala Thomas yang baru berakhir di Chengdu, China baru-baru ini membukrikan bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai pemain-pemain yang berpotensi besar dan kerajaan perlu menjadi tulang belakang kepada athlete-athlete ini dengan menyediakan kemudahan dan latihan tanpa kekangan bagi membolehkan mereka merealisasikan potensi mereka.

“Ini adalah tempat yang baik, masa yang baik dan dengan orang-orang yang tepat, kerajaan negeri akan lebih proaktif dalam menyediakan kemudahan bagi membantu athlete-athlete meningkatkan prestasi mereka.”

Tambahnya, Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan berbagai sektor bagi mempromosikan sukan dan berharap agar hasilnya akan diperlihatkan di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak nanti.

NCT Alliance telah bekerjasama dengan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) untuk melancarkan sebuah inisiatif berbentuk siri kejohanan badminton di seluruh negara, termasuk kejohanan berprestij iaitu Kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ yang menyasarkan untuk melahirkan juara-juara masa hadapan.

Kejohanan ini telah bermula dengan kategori remaja, menyasarkan penyertaan di kalangan pemain-pemain berusia 8 hingga 15 tahun.

Untuk menambahkan lagi minat, semangat dan menarik perhatian rakyat Malaysia, para peserta Kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ berpeluang memenangi suatu pengalaman sekali seumur hidup berupa tajaan penuh untuk ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024 pada Ogos nanti.

 

MUHAMMAD KHAIRIE KUASAI BADMINTON REMAJA NCT

0

KOTA KINABALU, 23 April – Muhammad Khairie Keplie berada dalam kelas tersendiri pada saingan pusingan keempat kejohanan Badminton Remaja NCT yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah minggu lalu.

Kejohanan edisi sulung itu telah mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 500 peserta termasuk dari Sarawak dan Labuan tampil menyahut cabaran.

Selepas menempuh persaingan sengit selama tiga hari, Muhammad Khairie muncul pemenang terbesar dengan menggondol kejuaraan bagi acara perseorangan dan beregu lelaki Bawah 15 tahun.

Pemain asal Membakut, Sabah itu muncul antara bakat yang perlu diberi perhatian setelah memenangi kedua-dua perlawanan akhir dengan mudah tanpa tewas sebarang set.

Sewaktu kejohanan, pihak penaja telah menerbangkan duta jenama mereka Man Wei Chong dan Tee Kai Wun ke Kota Kinabalu untuk mengadakan satu sesi klinik badminton dengan anak-anak yatim dari Rumah Amal Kasih.

Dalam sebuah wawancara, Man dan Tee telah menzahirkan rasa iri hati mereka terhadap pemain-pemain remaja masa kini, yang mana mereka berpeluang untuk bertanding dalam berbagai kejohanan.

“Saya sedikit iri hati, tetapi kejohanan ini dapat membantu pemain-pemain remaja menimba pengalaman ke arah mencapai impian mereka.”

Menyentuh perihal prestasi mereka sendiri, pasangan bergu itu berkata mereka akan bermain dalam kesemua kejohanan akan datang memandangkan mereka bukan sebahagian dari pasukan kebangsaan yang akan ke Sukan Olimpik dan Piala Thomas.

Man percaya bahawa kelemahan mereka yang paling ketara ialah kekuatan mental, yang mengakibatkan prestasi turun naik.

“Secara mental, kita belum cukup kuat. Ini perlu diteliti dan diperbaiki, dan corak pemikiran juga perlu dibaiki. Bukan mudah untuk pergi begini jauh, tapi perjalanan kami masih jauh dan kita perlu bekerja lebih keras.”

Pada masa yang sama, mereka tidak menafikan bahawa persaingan dalam kalangan skuad kebangsaan juga semakin sengit, namun mereka menganggap tekanan itu sebagai motivasi.

“Kita semua bersaing antara satu sama lain dan dengan persaingan seperti itu, kita akan dapat meningkatkan prestasi permainan.”

Mereka tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada penaja NCT Alliance Group atas sokongan sepanjang kempen mereka, yang banyak meringankan beban dan kerisauan, supaya mereka dapat memberikan tumpuan penuh terhadap permainan demi negara.

Man dan Tee juga berharap pasukan negara yang akan bertanding di Piala Thomas akan mempamerkan aksi terbaik mereka untuk membawa pulang piala itu untuk negara.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance Berhad, Dato Sri Yap Ngan Choy berkata: “Misi kami ialah untuk mencetuskan minat terhadap badminton di kalangan kanak-kanak di Rumah Amal Kasih dengan memberikan mereka peluang berinteraksi dan berlatih dengan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

“Kita juga berbangga menyaksikan impak yang dibawa ‘Road to NCT Championship’, sebagai elemen penting dalam memenuhi tanggungjawab ESG kami untuk terus berkembang sebagai sebuah syarikat.”

Turut hadir di kejohanan kali ini ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.

Dr Joachim Gunsalam berkata: “Kejohanan ‘Road to NCT’ Junior Badminton Championship merupakan platform yang menarik untuk belia, sekali gus menyemai minat mereka dalam sukan badminton. Kita menggalakkan agar lebih banyak syarikat untuk tampil dengan inisiatif yang mengutamakan belia, menawarkan mereka peluang untuk mempamerkan bakat. Melalui usaha seperti ini, kita boleh pastikan yang aspirasi mereka akan tercapai, sambil bersama kita menyumbang ke arah peningkatan mutu sukan negara.”

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun yang turut hadir pada kejohanan tersebut menjelaskan bahawa beliau berpuas hati menyaksikan semangat dan kemahuan yang tinggi dipamerkan oleh bintang-bintang muda di atas gelanggang.

“Saya puji NCT Alliance dan Kelab Badminton Petaling atas komitmen mereka terhadap pembangunan belia di Malaysia. Pihak Negeri bersedia untuk menyokong apa juga inisiatif yang membawa kesan positif untuk golongan belia.”

NCT Alliance telah bekerjasama dengan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) untuk melancarkan sebuah inisiatif menarik berbentuk sebuah siri kejohanan badminton di seluruh negara, termasuk kejohanan berprestij iaitu Kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ yang menyasarkan untuk melahirkan juara-juara masa hadapan.

Kejohanan ini menyasarkan penyertaan dalam kalangan pemain-pemain berusia 9 hingga 15 tahun.

Untuk menambahkan  lagi minat serta semangat, para peserta kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ berpeluang memenangi suatu pengalaman sekali seumur hidup berupa tajaan penuh untuk ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024.

MALAYSA TOLAK JADI TUAN RUMAH SUKAN KOMANWEL 2026

0

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Menurut satu kenyataan daripada KBS, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasinya.

Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua pada 5 Februari lalu.

Hasil pertemuan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat ini.

Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, CGF telah membuat tawaran tersebut kepada Malaysia selepas tuan rumah, Australia menarik diri gara-gara kos penganjurannya yang sangat membebankan.

Difahamkan, selain Malaysia, CGF turut menawarkan peluang buat negara jiran, Singapura untuk menjadi tuan rumah temasya sukan edisi ke-23 itu.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998.

 

MIRI, BINTULU TERSENARAI DALAM LALUAN LTdL 2024

0

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pulau legenda, Langkawi, kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan ‘Petronas Le Tour de Langkawi 2024’ (LTDL 2024) yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak.

 Edisi Ke-28 perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia ini dijadualkan berlangsung pada 29 September hingga 6 Oktober 2024 dengan dua bandar di Sarawak, Miri serta Bintulu, bakal menjadi hos buat kali pertama selain bandar Kulai di Johor yang turut dipilih untuk edisi kali ini.

 Keseluruhan 11 negeri akan menjadi hos pelepasan dan penamat untuk Petronas LTDL 2024 kali ini yang akan dianjurkan untuk tahun kedua berturut-turut oleh Majlis Sukan Negara (MSN) setelah kejayaan cemerlang penganjuran perlumbaan tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut mengumumkan keputusan mengekalkan tema perlumbaan ‘Beat The Heat’ yang diakui memikat perhatian selain mencetus persaingan bertaraf tinggi di antara pelumba-pelumba untuk mengungguli perlumbaan penuh mencabar itu.

Ia berikutan langkah penganjur menyenaraikan dua laluan berbukit bagi edisi perlumbaan kali ini, membabitkan pendakian berturut-turut (back to back mountain climbs) bagi peringkat ketiga di Cameron Highlands, diikuti pendakian ke Genting Highlands untuk peringkat keempat.

Pelumba- pelumba bakal diuji dengan jarak perlumbaan hampir 200km untuk peringkat ketujuh dari Miri ke Bintulu yang menyediakan peluang membuat pemecahan (breakaway) dan mampu jadi penentu juara keseluruhan Petronas LTdL kali ini.

 Tiga pasukan berbasikal negara dijangka menyertai perlumbaan kali ini iaitu Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).

Pada perlumbaan Petronas LTDL 2023 lalu, pelumba TSG, Mohd Aiman Zarif dan Nurul Amirul Fakhruddin berjaya mengungguli jersi Raja Bukit di peringkat pertama dan kedua manakala pelumba pasukan kebangsaan, NurAiman Zarif berjaya menguasai jersi Pelumba Terbaik Asia di peringkat ketiga perlumbaan.

 Kementerian Belia dan Sukan juga mengalu-alukan sokongan tambahan daripada penaja-penaja korporat dengan jaminan pulangan pelaburan (ROI) yang bersesuaian bagi memastikan kejayaan penganjuran Petronas LTDL 2024 pada kali ini.

 

KHM SERAH KEPADA SARJIT CARI FORMULA TERBAIK BUAT SKUAD NEGARA

0

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyerahkan kepada Sarjit Singh untuk mencari formula terbaik menyusun struktur ampuh bagi menyatukan skuad lelaki senior dan junior di bawah satu bumbung.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, langkah tersebut bagi membolehkan pasukan hoki negara mempunyai falsafah sama antara kedua-dua pasukan berbanding sebelum ini ‘membuat hal masing-masing’.

Beliau berkata, ia seperti DNA yang diterapkan oleh skuad bola sepak kebangsaan menerusi jurulatih Kim Pan-gon dan E Elavarasan sebelum ini.

“Harapan kita ialah skuad senior dan junior mesti bekerja bersama-sama bukan berasingan macam dulu. Senior bersama senior, manakala junior sesama mereka.

“Ketua jurulatih (Sarjit) akan rungkai perkara ini. Ia masih di peringkat awal dan kita akan terus melihat ke hadapan. Seperti coach Pan-gon lantik Elavarasan jaga skuad B-23 (bawah 23 tahun) sebelum ini,” katanya.

Subahan menjelaskan bahawa Sarjit diberi peluang untuk melantik barisan kejurulatihannya dan salah seorang daripada penolongnya akan mengemudi skuad junior.

Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Najmi Razak agar ia dapat berjalan dengan baik.

“Kita mesti bekerjasama (skuad senior dan junior), duduk di bawah satu bumbung. DNA yang sama, game play sama dan atitude sama. Positif energy sebagai satu keluarga.

“Pada masa sama, pemain remaja juga perlu bersedia untuk diserapkan ke dalam pasukan utama,” katanya.

Dalam pada itu, Sarjit memberi bayangan untuk melantik dua penolong jurulatih dan seorang jurulatih penjaga gol selain terbuka menerima pandangan daripada mana-mana pihak bagi membangunkan sukan hoki negara.

“Saya melihat keperluan untuk melantik pembantu tempatan. Salah seorang daripada mereka akan melatih skuad junior,” katanya.

PROGRAM FAST TRACK MEDAN PERSEDIAAN HADAPI LA2028

0
Bertrand antara atlet yang bakal diserapkan dalam program Fast Track selepas Olimpik Paris.

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil langkah proaktif apabila memperkenalkan Program Fast Track bagi melahirkan atlet muda berbakat baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Inisiatif tersebut selaras dengan pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengenai 35 sukan yang akan dipertandingkan pada temasya empat tahun lagi itu termasuk pengenalan lima sukan baharu iaitu besbol/softball, kriket, bola sepak bendera, lacrosse dan skuasy.

Susulan itu, RTG pada satu mesyuarat jawatankuasa Khamis lepas meluluskan program tersebut dan akan bekerjasama dengan MSN untuk memastikan atlet terpilih mendapat sokongan sewajarnya untuk mencapai kecemerlangan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan), Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin (gambar kiri) berkata, misi program berkenaan adalah untuk meningkatkan jumlah pencapaian pingat dan menambah penyertaan kontinjen di Sukan Olimpik.

“Program ini juga mempunyai misi untuk mencari atlet yang mampu memenangi pingat dalam Sukan Olimpik lain selain badminton, terjun dan berbasikal.

“Kami mahu lonjak prestasi atlet muda dalam masa empat tahun, berbanding lapan tahun,” katanya.

Beliau menjelaskan kriteria pemilihan Program Fast-Track termasuk pernah memenangi pingat pada Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Komanwel.

“Turut berpeluang diserap ke dalam program itu ialah pemenang pingat pada Kejohanan Dunia, berada dalam ranking Olimpik 16 terbaik dunia dan dalam kelompok ranking 20 dunia,” katanya.

Jefri menjelaskan, jawatankuasa RTG bersetuju memasukkan penerjun muda, Bertrand Rhodict Lises dalam Program Fast Track bagi memberikan sokongan segera kepadanya ke Sukan Olimpik Paris.

Tambah beliau, Bertrand kekal sebagai prospek kukuh untuk pingat pada Sukan Olimpik LA2028 dan akan disokong melalui latihan di luar negara dan perkhidmatan sokongan menjelang Sukan Olimpik Paris.

“Sebaik sahaja Olimpik Paris berakhir, Bertrand Rhodict akan ditempatkan dalam Program Fast Track. Turut berada dalam program itu ialah Enrique Maccartney Harold,” katanya.

Menurut Jefri, MSN dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia telah memulakan perbincangan untuk Sukan Olimpik LA2028 melalui bengkel anjuran kedua-dua pihak pada 19 Februari lalu.

Skuasy antara sukan yang bakal diberi perhatian bagi menghadapi LA2028.

Beliau berkata, inisiatif untuk skuasy akan bermula selepas Sukan Olimpik Paris dan empat atlet negara telah dikenal pasti berpotensi untuk bersaing pada Sukan Olimpik LA2028.

“Mereka ialah Ng Eain Yow, S.Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman. Keempat-empat atlet ini akan kekal di bawah Program Podium buat masa ini dan diserap ke dalam Progam Fast Track selepas Sukan Olimpik Paris,” katanya.

Latest Article

MISS BORNEO ANTARABANGSA 2026 BAWA INSPIRASI MARTABAT BUDAYA BORNEO

0
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Miss Borneo Antarabangsa 2026 bukan sekadar acara pertandingan kecantikan, sebaliknya hadir dengan aspirasi besar untuk mengangkat warisan budaya dan...