Home Blog Page 31

AZIZULHASNI, BONNIE BUNYAU ANTARA CALON UNTUK ANUGERAH ATLET TERBAIK SAM

0

PETALING JAYA, 24 Ogos – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang serta penerjun tersohor, Datuk Pandelela Rinong adalah antara atlet yang tersenarai untuk merebut gelaran Atlet Terbaik SAM bagi musim 2021 pada majlis Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM yang dijadualkan berlangsung pada 6 September depan.

Demikian jelas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap pada sidang media majlis berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Norismadi, Azizulhasni dan Pandelela adalah antara lima calon yang telah disenarai pendek untuk anugerah tersebut berdasarkan pencapaian yang mereka peroleh sepanjang tahun 2021.

“Saingan nampak sangat sengit untuk semua calon yang telah disenarikan kerana mereka memiliki pencapaian yang cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang mereka serti sepanjang tahun 2021 lalu.

“Pemenang akan ditentukan oleh ahli-ahli SAM yang akan membuat undian terhadap atlet pilihan mereka untuk bergelar Atlet Terbaik SAM bagi musim 2021,” jelas Norismadi.

Azizulhasni merupakan pemenang pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu manakala Pandelela pula mencipta nama sebagai juara pada kejohanan Piala Dunia FINA di Tokyo pada 2021.

Tiga lagi calon lain yang berada dalam senarai lima terbaik adalah Lee Zii Jia (badminton); Rifdean Mansor (Muay Thai) dan pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton).

Pencapaian terbaik tiga atlet ini sepanjang musim 2021 menyaksikan Zii Jia menjuarai kejohanan badminton All England, pingat perak kejohanan badminton berpasukan Asia serta pingat gangsa pada Piala Sundirman.

Gandingan Aaron Chia-Wooi Yik pula menang pingat gangsa acara beregu lelaki pada Sukan OlimpikTokyo manakala Rifdean menghadiahkan pingat emas buat negara pada  kejohanan IFMA Senior World Championship di Bangkok bagi kategori bawah 23 tahun elit.

Bagi kategori Atlet Para Terbaik pula, empat calaon disenarai pendek iaitu Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting); Latif  Romly (lompat jauh); Cheah Like Hou (badminton); Chew Wei Lun (boccia).

Kesemua calon ini memiliki pencapaian yang luar biasa dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang mereka sertai sepanjang musim 2021 termasuk Sukan Olimpik Tokyo.

Kategori lain dalam agenda majlis itu nanti adalah anugerah kewartawanan sukan. Turut diperkenalkan tahun ini adalah Anugerah Perpaduan SAM dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara yang bertujuan untuk memupuk perpaduan melalui sukan.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengarah Perhubungan Kerajaan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N Holding Berhad, Datuk Raffiq MD Ariff.

UiTM, UPSI BUAT PERHITUNGAN DI FINAL ACARA BOLA SEPAK

0

Oleh IQMAL HAKIM HISHAM

TANJONG Malim, 18 Ogos – Juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal membuat perhitungan dengan tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam perlawanan akhir acara bola sepak pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Sabtu ini.

Dua pasukan tersebut menempah tiket ke final selepas melepasi halangan di peringkat separuh akhir hari ini.

Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium UPSI, Sabtu ini dan ia pasti menjadi pertembungan yang menarik terutamanya buat pasukan tuan rumah, UPSI yang memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Hari ini, UiTM sekali lagi membuktikan status mereka selaku pasukan berstatus ‘bintang’ apabila mudah menjinakkan lawan, Universiti Putra Malaysia (UPM) 5-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di padang UKM, Bangi.

Jaringan hatrik daripada Fariz Hafiz (m-23, m-51, m-74)  pada perlawanan tersebut telah mematikan momentum pasukan UPM meskipun pada suatu ketika cuba bangkit untuk memberi tentangan.

Namun, UiTM terlalu kental dan terus menghukum UPM menerusi dua jaringan Zharif Nazhan pada minit ke-10 dan 85.

Gol saguhati UPM dihasilkan oleh Aiman Norhakim pada minit ke-19, namun ia tidak cukup untuk mereka menyekat kemaraan UiTM.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium UKM, Bangi, tuan rumah UPSI mencipta kejutan ke atas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) 2-0.

UPSI menghasilkan jaringan mereka menerusi Alief Najmi pada minit ke-44 sebelum Aiman Hakim menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-53.

Turut berlangsung pada sebelah pagi ini adalah acara memanah yang menyaksikan panahan sempurna daripada dua atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) membolehkan mereka menyapu bersih dua pingat emas yang ditawarkan dalam acara recurve lelaki dan wanita.

Seperti dijangka, UPM yang diperkuatkan dua pemanah kebangsaan terlalu sukar untuk digugat meskipun acara tersebut berlangsung dalam keadaan angin yang agak kuat.

Syaqiera Mashayikh antara tonggak kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan juga pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi 2021, mengungguli kategori recurve wanita selepas mengumpul 651 mata menerusi 72 panahan.

Pencabarnya yang juga rakan sepasukannya, Nur Afisah Abdul Halil sekadar berpuas hati dengan penyudah pingat perak manakala atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ayu Izzwany Jesny menamatkan saingan tersebut dengan pingat gangsa.

“Saya akan terus berusaha untuk memperbaiki pencapaian kerana bagi saya, saya mampu untuk memberikan yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Syaqiera

Dalam kategori lelaki, UPM sekali lagi menunjukkan penguasaan mereka menerusi Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli yang menjelmakan kilauan emas buat pasukannya.

Zarif mengumpul 644 mata selepas 72 panahan, menewaskan atlet Politeknik Malaysia, Naveer Filkri Zainuddin dan juga atlet Universiti Sultan Zainal Abidin, Muhammad Ikram Zaidi.

“Ketika temasya AUG 2022 di Ubon Ratchathani baru-baru ini, saya terlepas untuk mendapatkan sebarang pingat, jadi di SUKIPT kali ini saya berjaya menebus kekecewaan tersebut,” katanya.

(Penulis merupakan pelajar kewartawanan UiTM Shah Alam)

HOE YEAN ‘RAJA KOLAM’ DALAM PEMBIKINAN

0

OLEH NAJIHAH AZLAN, AMIESHA ABADI & KHAIRUNNISA KHAIRI

TANJONG MALIM – Meskipun acara renang baharu membuka gelanggang hari ini, namun gelaran ‘raja kolam’ layak diberikan kepada perenang UCSI University (UCSI) Khiew Hoe Yean.

Perenang yang sedang meningkat naik itu menggengam empat daripada sembilan pingat emas yang ditawarkan dalam acara renang hari ini.

Rentak cemerlang Hoe Yean itu bermula dalam acara 400 meter (m) rampaian lelaki individu yang menyaksikan dia menang emas dengan catatan masa 4:39.53 saat (s) menewaskan perenang pilihan dari Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Sebastian Soon.

“Ini adalah permulaan yang baik dan sejujurnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam saingan ini.

“Saya menyertai SUKIPT tidak lebih sebagai sesi ‘memanaskan badan’ sebelum bermulanya temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan bermula di Kuala Lumpur bulan depan”, jelas Hoe Yean.

Emas kedua Hoe Yean diperoleh menerusi acara 200m gaya bebas individu lelaki apabila merekodkan masa 1:54.73s, meninggalkan pencabar terkuatnya, Terence Ng Shin Jian (Taylor Univerisity).

Hoe Yean turut unggul dalam acara 200m kuak lentang individu lelaki dengan catatan masa 2:09.42s sebelum meraih emas keempatnya dalam kategori 4x200m gaya bebas berpasukan. Catatan masa 8:13.17s sudah cukup buat kuartet UCSI itu untuk menjulang emas.

Sementara itu dalam acara 100m kuak kupu-kupu individu lelaki, perenang harapan APU, Sebastian Soon meraih emas dengan catatan masa 58.41s manakala Ng Kai Wen dari Taylor’s University melakukannya dalam acara 50m kuak dada lelaki individu dengan mencatatkan masa 30.09s.

Dalam acara lain, pemenang pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG), Ong Yong Qi tidak berdepan masalah untuk menjulang pasukannya Sunway University (SUN-U) apabila menghadiahkan dua pingat emas dalam acara 20 m gaya bebas dan 200  kuak lentang individu wanita.

(Para penulis merupakan pelajar kewartawanan UiTM Shah Alam)

OLAHRAGA JADI LOMBONG EMAS UPM, UM TANGKAS DI MEDAN TAEKWONDO

0

Oleh FAWWAZ THAQIF

TANJONG MALIM, 17 Ogos – Kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan kecemerlangan mereka apabila memenangi enam lagi pingat emas daripada 10 yang dipertandingkan dalam acara olahraga Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, Kamal Farhan A. Rahim membantu UPM menambah koleksi pingat emas dari acara olahraga apabila memenangi acara lontar peluru pada sebelah pagi dan kemudian beraksi cemerlang untuk muncul juara lempar cakera pada sesi petang.

Dia memenangi acara lontar peluru dengan lontaran 15.32 meter, meninggalkan Muhammad Aidil Taufek (13.81 meter) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di tempat kedua dan Mirach Han (12.95 meter) yang mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mengulas mengenai prestasinya hari ini Kamal Farhan berkata, dia tidak berpuas hati dengan lontarannya namun tetap bersyukur kerana masih mampu menyumbangkan emas buat kontinjen UPM.

“Selepas ini saya akan mengalihkan tumpuan terhadap persiapan untuk membantu Perlis memenangi pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur September depan,” katanya.

Kamal Farhan kemudian menambahkan koleksi pingat emas peribadinya selepas cemerlang dalam acara melempar cakera dengan merekodkan catatan 44.79m.

Pesaing terdekatnya yang juga dari UPM, Abdul Rahman Lee sekadar mencatatkan 42.96m untuk merangkul pingat perak manakala Mirach (41.70m) sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menjadi lombong emas buat jaguh-jaguh olahraga UPM apabila mereka turut memenangi acara 10,000 meter jalan kaki menerusi Muhammad Aliff Mubarak Ahmad dengan masa 57 minit 20.86 saat.

Dia menewaskan Muhammad Akmal Azlan dari UPSI yang mencatat masa 58:35.11s, manakala pingat gangsa dikongsi oleh Chong Xuan Wei (Sunway University), Yap Ewin (Asia Pacific University of Technology and Innovation) dan Goh Yu Chin (Sunway University) setelah masing-masing menamatkan langkah dengan masa satu jam, satu minit 39.47 saat.

Sementara itu, harapan untuk melihat rekod kebangsaan diperbaharui tidak kesampaian apabila Andre Anura Anuar sekadar mencatat 7.04 meter namun cukup untuk membantu UPM meraih pingat emas acara lompat jauh.

Atlet dari Sabah itu, yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 8.02 meter menewaskan Muhammad Aniq Aqil Md. Ramli (6.88 meter) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mendapat perak serta pemenang pingat gangsa Muhammad Sunik Muslimin (6.82 meter) dari kontinjen tuan rumah.

UPM terus gagah di Stadium UPSI apabila Mohd. Rizzua Haizad Muhamad dan Benedict Ian Gawok masing-masing mencatatkan 14.30 saat dan 14.83 saat untuk memenangi pingat emas dan perak acara 110m berpagar, meninggalkan wakil tuan rumah, Muhamad Adha Ajwad Ahmad Rizal di tempat ketiga dengan catatan 15.50 saat.

Pingat emas keenam UPM diperoleh menerusi 800m lelaki selepas Anas Ariffin merekodkan masa satu minit, 54.60 saat, menewaskan pencabar terdekat dari Universiti Malaya (UM), Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (1:55.24s) dan Mohamad Amirul Arif Mohd. Azri (1:56.36 saat) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tuan rumah UPSI juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila mengutip dua emas. Emas pertama UPSI diperoleh menerusi acara 3,000m lari berhalangan lelaki menerusi Ahmad Izzat Irfan Shahrul Aznan dengan catatan masa 10 minit 9.82 saat menewaskan Ahmad Muhammad Hamizan (UPM) yang sekadar merangkul perak dengan catatan 11:10.77s.

Pingat gangsa pula dikongsi oleh Pang Keat Tung dan Asher Mak Wei Han dari Sunway University (SUN-U) dan Arun Nadarajah dari Management and Science University (MSU) dengan masa 11:21.43s.

Sementara itu, dalam acara 100m lari berpagar wanita, Juriani Mat Rodzi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengungguli saingan untuk merangkul pingat emas dengan catatan 14.52 saat.

Juriani menewaskan wakil (UPM), Eng May Xin Winnie (14.95s) yang mendapat pingat perak dan wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Aisyah Irdina Zainudin (15.74 saat) meraih gangsa.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula mengutip satu emas menerusi Teoh Kim Chyi yang mencatat masa dua minit, 30.62 saat dalam acara 800m wanita. Dia mengalahkan pemenang pingat perak iaitu atlet SUN-U, Lee Xin Wei (2:37.94s) dan atlet Universiti Sains Malaysia (USM) Janice Loh Yin Jin (2:44.67s).

Sementara itu, NOR SYAZRINA MUHAMAD TAHIR melaporkan skuad Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula garang dalam acara taekwondo kategori poomsae selepas masing-masing memenangi dua emas dalam acara yang berlangsung di Dewan SITC UPSI, semalam.

Nur Humaira Abdul Karim menghadiahkan emas pertama UM selepas mengungguli kategori individu wanita dengan kutipan mata, 8.582 sebelum dia bersama-sama dua lagi rakannya, Nurul Hidayah Abdul Karim dan Monica Lo Mei Yuan memenangi kategori berpasukan wanita setelah mencatat 8.516 mata meninggalkan trio UPSI di tempat kedua.

Cheong Qi Yap pula menceriakan kem UPM selepas mengungguli acara poomsae individu lelaki sebelum dia merangkul emas kedua peribadi dengan memenangi acara berpasukan lelaki bersama-sama Ong Keen Bin dan Steffano Atom.

Turut ceria di hari pertama taekwondo, Asia Pacific University of Techonology & Innovation (APU) selepas gandingan Eyu Ji Yuen dan Kendra Moss Ting mengungguli kategori campuran dengan catatan 8.232 mata.

Bagi pengurus UM, Illiya Dalila, tidak menyangka perubahan taktik pada saat akhir disebabkan kecederaan pemain menghadiahkan kemenangan berganda sekaligus melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh pihaknya.

“Saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka dan akan mempersiapkan para atlet untuk Sukan SEA yang bakal berlangsung di Kemboja tahun hadapan,” tambahnya.

 

PM CABAR ATLET SUKIPT PECAH REKOD KEBANGSAAN

0

TANJONG MALIM, 14 Ogos – Program sukan termasuk Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) berpotensi besar membentuk dan melahirkan lebih ramai atlet IPT yang berprestasi tinggi dan berminda juara dalam kejohanan besar di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam ucapannya mencabar para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan pada tahun ini dan menjanjikan imbuhan sebanyak RM20,000 sekiranya mereka berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

“Hari ini, saya juga ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT 2022, untuk mencatatkan rekod kebangsaan, tidak kiralah dalam apa jenis acara pun.

“Mereka yang berjaya, kita akan bagi secara bersama wang tunai berjumlah RM20,000.00. Kepada semua atlet, selamat berjuang,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan SUKIPT 2022 di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini malam tadi.

Kata Perdana Menteri lagi, banyak perkara yang boleh dikaitkan apabila bercakap sukan.

“Bersukan bukan sahaja untuk sihat, tetapi juga mengajar kita tentang disiplin, semangat berpasukan, strategi, membuat keputusan, dan sebagainya.

“Malah, sukan juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam Keluarga Malaysia.

“Hakikatnya, sukan berupaya memberikan auranya yang tersendiri, bukan sahaja dalam kalangan yang bertanding, tetapi juga kepada yang menonton,” kata Perdana Menteri.

Justeru, dengan semangat yang tinggi, persaingan tidak menjadi isu dan semangat inilah yang perlu ada dan menjadi salah satu teras dalam Keluarga Malaysia iaitu Keterbukaan.

Sukipt edisi 2022 disertai 70 kontinjen daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan hampir 8,000 atlet dan pegawai menyertainya di UPSI bermula dari 12 hingga 21 Ogos.

 

 

KUARTET ‘BIDAN TERJUN’ UPM TAMPIL LUAR BIASA

0
Kuartet 4x100m wanita UPM tampil hebat walaupun anggota mereka bukan terdiri daripada pelari pecut.

Oleh NURUL IZZAH BESERI

TANJONG MALIM, 16 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) terlalu unggul pada hari pertama acara olahraga yang mula membuka gelanggang pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila merangkul enam daripada 11 pingat emas yang ditawarkan hari ini.

Atlet acara 5,000 meter jalan kaki wanita Nurul Alyahaziqah Kamarazaman memulakan pesta menuai emas buat UPM pada sebelah pagi, namun tumpuan dicuri oleh dua kuartet ‘bidan terjun’ mereka yang menguasai acara 4×100 meter.

Kedua-dua kuartet 4×100 meter UPM terpaksa dibentuk dari kalangan atlet acara lain kerana mereka kekurangan atlet pecut.

Meskipun serba kekurangan, ternyata ia bukan halangan buat mereka untuk menampilkan aksi luar biasa ketika berlangsungnya acara 4×100 meter hari ini.

Lebih mencuri tumpuan adalah atlet merejam lembing turut disenaraikan untuk menjadi salah seorang ‘anchor’ dalam kuartet ‘bidan terjun UPM itu.

Dalam acara 4×100 meter wanita itu, kuartet UPM yang dianggotai Darshini K. Murugan, Nor Fatihah Mohd Haniff Winnie Eng May Xin dan Mandy Goh Li menang emas dengan masa 50.00 saat, mengalahkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan yang merekodkan masa 52.05 saat manakala Universiti Sultan Idris (UPSI) yang mencatatkan masa 53.75 saat membawa pulang pingat gangsa.

Anggota skuad UPM, Nor Fatihah tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang istimewa kerana mereka tidak pernah berlatih bersama.

“Sebenarnya saya tidak menjangka untuk menang memandangkan saya adalah seorang atlet merejam lembing dan tidak yakin untuk bertanding dalam acara 4×100 meter, namun sokongan daripada rakan-rakan menaikkan keyakinan saya,” katanya.

Selepas kejayaan pasukan wanita mereka, penyokong UPM kemudian meraih kegembiraan berganda apabila kuartet lelaki mengulangi pencapaian itu.

Dianggotai oleh Benedict Ian Gawok, Mohd. Rizzua Haizad Muhamad, Andre Anura Anuar dan Muhammad Zulfiqar Ismail, mereka mencecah garisan penamat dengan masa 42.02 saat, meninggalkan UPSI (42.17 saat) yang berada di kedudukan kedua manakala kuartet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menamatkan perlumbaan tersebut ditangga ketiga dengan mada 43.26 saa).

Pelari utama UPM, Zulfikar berkata pasukannya tidak membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi SUKIPT, di samping memerlukan atlet daripada acara lain iaitu Andre Anura yang merupakan pemegang rekod lompat jauh kebangsaan untuk membantu memperkuatkan kuartet UPM.

“Cabaran utama kami ialah tidak menjalani latihan yang mencukupi, namun saya berbangga kerana kami berjaya menyumbangkan emas buat universiti kami,” katanya.

Pingat emas UPM semalam turut disumbangkan oleh atlet lontar peluru wanita Nani Sahirah Maryata serta atlet kebangsaan R. Kitana (lompat jauh). Muhammad Firdaus Mohamad Zemi pula melakukannya dalam acara 400 meter lelaki.

(Penulis merupakan pelajar tahun pertama Jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan di UiTM Shah Alam.)

JAGUH KAYAK POLITEKNIK MALAYSIA, UiTM SAMA UNGGUL

0

TANJONG MALIM, 15 Ogos – Politeknik Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) masing-masing membolot dua daripada lima pingat emas yang dipertandingkan pada hari kedua acara kayak Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2020 hari ini.

Emas pertama Politeknik Malaysia di Tasik Marina Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dimenangi dalam kategori TK2 berpasangan lelaki menerusi Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal dan Muhammad Fakrullah Mohd. Rumaize manakala Muhammad Ridzuan Abdul Aziz unggul dalam acara perseorangan TK1 lelaki.

UiTM pula lebih unggul dalam acara wanita apabila pasangan Aimi Ayuni Azwan
dan Aisyah Farhanan Azwan memenangi TK1 manakala acara TK2 dikuasai Marina
Muzaffa.

Skuad kayak tuan rumah UPSI tidak pulang hampa apabila turut meraih satu emas
menerusi Muhammad Shafik Ikhwan Hamzah dan Roqaiyah Nor Amran yang bergandingan dalam acara TK2 campuran.

Pengurus pasukan kayak Politeknik Malaysia, Khairul Nazry Talib yang ditemui
kemudian jelas bangga dengan pencapaian barisan atletnya hari ini walaupun
skuadnya tidak memenuhi sasaran pingat.

“Walaupun sebenarnya kami menyasarkan lebih banyak pingat emas tetapi
saingan yang diberikan oleh universiti lain cukup sengit, dan kita puas hati dengan
pencapaian dua emas ini.

“Pencapaian itu yang cukup baik memandangkan atlet kami sudah lama tidak
melibatkan diri dalam kejohanan-kejohanan lain, jadi ini merupakan permulaan
yang memberangsangkan,” tambahnya.

Khairul juga berharap pencapaian anak buahnya itu akan diteruskan hingga ke
peringkat kebangsaan terutama sekali Sukan Malaysia (SUKMA) pada September
nanti.

Jurulatih sukan kayak UiTM Adam Aris pula berkata, pihaknya amat bersyukur
walaupun tidak mendapat peluang untuk menyapu bersih semua emas.

“Menang atau kalah adalah adat pertandingan tetapi secara keseluruhannya saya
berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan walaupun ada beberapa kesilapan yang menyebabkan atlet kami melepaskan peluang keemasan,” katanya.

Katanya, kini pihaknya akan menyiapkan atlet UiTM untuk menghadapi beberapa kejohanan seterusnya termasuk SUKMA, kejohanan kebangsaan dan Sukan SEA.

Sementara itu, UiTM menambah koleksi pingat emasnya apabila menyapu bersih kedua-dua emas yang dipertandingkan di gelanggang petanque hari ini.

Beraksi pada hari terakhir acara UiTM membuktikan keunggulannya menerusi acara trio lelaki yang dianggotai Mohamad Muqri A’rif Mohamad Sapiny, Ezzeff Ezani dan Hasbullah Ahmad Aminudin.

Trio UiTM jelas terlalu unggul untuk disaingi apabila mereka mudah menewaskan trio dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dibarisi Muzaffar Ikrami Ibrahim, Muhammad Haziq Mohd Hisham dan Akmal Hakim Abdul Hallim dengan keputusan 13-0.

Satu lagi pingat emas disumbangkan melalui acara trio wanita menerusi Nurin Izzati Hakim Salim, Nurul Hazirah ‘Izzati Hussin dan Nur Nadirah Burhan Shahidi selepas mereka berjaya mengalahkan pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dibarisi Nur Izzati Adilah Mohd Noor, Nurul Najihah Mat Seman dan Khairunnisa Izzati Kamaruddin dengan keputusan 13-4.

Pasukan lelaki Politeknik Malaysia dan pasukan wanita Kolej Komuniti Malaysia pula masing-masing membawa pulang pingat gangsa.

Kemenangan hari ini bermakna UiTM memenangi empat daripada enam emas dipertandingkan secara keseluruhan dalam acara petanque selepas mereka merangkul pingat emas acara perseorangan wanita dan beregu lelaki sebelum ini.

Menurut jurulatih pasukan petanque UiTM, Syed Ali Syed Akil prestasi cemerlang pasukannya tidak akan wujud jika pemainnya tidak bekerja keras terutama ketika latihan pusat yang diadakan selama dua minggu sebelum SUKIPT 2022 berlangsung.

JAGUH AUG KUASAI KARATE, UTM KEKAL GERGASI PETANQUE

0

 

TANJONG MALIM, 13 Ogos – Kehebatan wakil negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) terlalu sukar untuk disaingi oleh peserta lain apabila mereka menguasai hampir kesemua acara karate kumite Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

Paling mencuri tumpuan ialah apabila pemenang pingat emas AUG di Ubon Ratchathani, Thailand, Denishroy Arulveeran hanya memerlukan masa tidak sampai seminit daripada tiga minit yang diperuntukkan untuk memenangi kelas 84 kilogram (kg) ke atas sekali gus menghadiahkan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pingat emas.

Beraksi dalam perlawanan terakhir kumite di Dewan Khar, Denishroy melepaskan satu tendangan tepat ke muka lawannya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Alvin Tam untuk berada lima mata di hadapan.

 

 

Dia kemudian berjaya melepaskan satu tumbukan dan satu tendangan ke badan untuk memperoleh kelebihan lapan mata sekali gus menamatkan persaingan.

Ditemui selepas dia menang 8-0, Denishroy berkata jeritan daripada penyokong UPM benar-benar membakar semangatnya untuk memburu kemenangan, selain menggunakan sepenuhnya kelebihan fizikal yang dimiliki.

“Sorakan daripada penyokong menguat dan membakar semangat saya untuk beraksi sebaik mungkin. Saya juga menggunakan sepenuhnya kelebihan dari segi ketinggian untuk melancarkan serangan tepat,” kata penuntut tahun pertama jurusan komunikasi itu.

Mengenai perancangannya selepas ini, adik kepada bekas jaguh kebangsaan Somanroy itu berkata dia meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur bulan depan.

“Saya akan mewakili Negeri Sembilan dalam Sukma, sasaran saya ialah untuk memenangi pingat emas. Saya harap kemenangan dalam Sukma akan menguatkan peluang saya untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan,” kata jaguh dari Seremban berusia 21 tahun itu.

Aksi Siti Nur Azwani (kiri) ketika menentang Vaisavi Murugan di final semalam.

Sementara itu atlet kebangsaan Amirah Syahirah Azlan pula menang 2-1 ke atas Shalini Rajandran dari Management Sains University (MSU)untuk memenangi pingat emas kelas bawah 68kg wanita buat Universiti Malaya (UM).

“Saya kurang berpuas hati dengan bahagian pertama dan kedua aksi saya tadi, tetapi saya gembira kerana dapat memperbaikinya seterusnya memenangi perlawanan. Perlawanan tadi bukanlah mudah kerana lawan saya juga adalah atlet yang pernah mewakili skuad negeri.

“Esok saya akan ke Konya di Turkiye untuk menyertai Sukan Solidariti Islam dan sasaran saya ialah untuk memenangi pingat, tidak kira apa pun warnanya,” kata pelajar jurusan sains sukan itu, yang merupakan pemenang gangsa di AUG.

Terdahulu UM memperoleh emas pertamanya dalam acara kumite apabila Kathish Gnanasekaran menumpaskan Rajev Naaidu dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) 3-0 untuk memenangi kategori bawah 84kg.

UPNM walau bagaimanapun berjaya mencuri satu emas menerusi jaguh Sukan SEA, Muhammad Arif Ab. Malik yang menumpaskan Daneshkumar Selvakumar 2-1 dalam kategori bawah 75kg.

Pressy Misty Philip (gambar kiri berdiri dua dari kiri) pula meraih satu emas buat Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas menewaskan wakil UPSI, Laniesha Arumugam 4-1.

Pingat emas bawah 67kg lelaki pula diraih oleh Christantine Christer Mattan dari UPSI yang mengalahkan wakil UPNM, Muhammad Ameer Sirajuddin manakala Siti Nur Azwani Nor Azli dari UPM menyingkirkan cabaran Vaisnavi Murugan dari Politeknik dalam perlawanan akhir kelas bawah 61kg wanita.

Sementara itu Nur Anis Shamiera Nazuha Mohd. Nadzry-Nuraini Zulpetry yang mewakili Politeknik mencipta kejutan di gelanggang petanque apabila menewaskan pasangan pilihan dari UiTM, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali-Nur Zahrah Burhan Shahidi dengan 13-5.

Sharifah Aqilah Farhana, yang merupakan anak kepada jurulatih kebangsaan, sebelum ini memenangi satu perak dan satu gangsa dalam AUG.

UiTM walau bagaimanapun kekal selaku kuasa utama petanque dalam SUKIPT apabila merangkul dua daripada empat pingat emas yang dipertandingkan pada hari kedua acara itu.

Athirah Sareh menyumbangkan emas pertama buat UiTM dalam kategori single wanita selepas menewaskan peserta Kolej Poly-Tech MARA (KPM), Nur Afiqah Jasni 13-5 dan kemudian menyaksikan rakannya Syed Afiq Fakhri Syed Ali dan Haris Jonaidey menepati ramalan dalam kategori double lelaki selepas menewaskan Muhamad Darwish Hariri Waheb-Ahmad Arif Hakimi Mohd. Hannizan dari Politeknik Malaysia 13-2.

 

Universiti Malaysia Pahang (UMP) juga berjaya merangkul satu pingat emas apabila Wan Mohamad Farihin Wan Rosli menewaskan wakil Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Asyraf Wajdi Kamarozaman dengan 13-8 dalam kategori single lelaki.

 

PERDANA MENTERI BAKAL MERASMIKAN SUKIPT 2022

0
Dr. Pekan (berdiri tengah) bersama sebahagian daripada para sukarelawan yang bertugas sepanjang Sukipt 2022 di UPSI Tanjong Malim minggu ini.

 

Oleh NOR SYAZRINA MUHAMAD TAHIR

TANJONG Malim, 11 Ogos – Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi tetamu istimewa pada majlis perasmian Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt) 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Ahad ini.

Khabar gembira itu disahkan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Pekan Ramli hari ini.

Sesi taklimat untuk para sukarelawan media Sukipt 2022.

Menurut beliau, kehadiran YAB Perdana Menteri merupakan satu penghormatan besar terhadap penganjuran Sukipt tahun ini khsusnya kepada semua pihak yang terlibat menjayakannya. Sukipt 2022 akan bermula pada 12 hingga 20 Ogos.

“Ini merupakan sejarah baharu dalam penganjuran temasya Sukipt kerana buat pertama kalinya YAB Perdana Menteri sendiri yang datang untuk merasmikannya dan ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat bermakna dalam usaha untuk menjadikan Sukipt sebagai platform untuk melahirkan lebih ramai atlet berwibawa pada masa akan datang,” jelas Dr.Pekan.

Kehadiran Perdana Menteri itu sudah pastinya bakal mencetuskan semangat baharu kepada semua warga Institutsi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agar tampil dengan aksi terbaik ketika bersaing dalam setiap acara sukan yang mereka sertai, sekali gus melonjakkan reputasi Sukipt sebagai acara gemilang.

“Saya yakin, kehadiran Perdana Menteri akan meningkatkan lagi keterujaan terutamanya kepada tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), para pegawai, atlet dan juga sukarelawan yang terlibat menjayakan temasya tahun ini,” ujar Dr. Pekan lagi.

Penganjuran temasya Sukipt terpaksa ditangguhkan selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19 dan tahun ini ia kembali dengan mempertandingkan 21 acara sukan melibatkan penyertaan daripada 66 IPT dan IPTS di seluruh negara.

Bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukipt tahun ini, pihak penganjur turut mendapat khidmat daripada 700 tenaga pelajar daripada pelbagai universiti tempatan yang bertindak sebagai sukarelawan sepanjang temasya ini berlangsung kelak.

(Penulis merupakan pelajar tahun pertama jurusan kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam)

TIADA HARI TANPA PINGAT, MEMANG HEBAT DAN MENAKJUBKAN!

0
Skuad bola sepak yang dikendalikan oleh Ridzuan 'Kerbau' berjaya menghadiahkan pingat perak pada AUG 2022.

UBON Ratchathani, 5 Ogos – Acara wushu dan silat pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 menutup tirai hari ini dan apa yang pasti, perjuangan barisan atlet negara daripada dua acara berkenaan tetap tidak menghampakan.

Wushu menamatkan saingan hari ini dengan pencapaian satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa manakala skuad silat mengakhirinya dengan menghadiahkan satu gangsa.

Skuad bola sepak yang berdepan Thailand pada perlawanan akhir juga mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kempen mereka dengan menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen negara.

Pencapaian skuad bimbingan ketua jurulatih, Ridzuan Abu Shah serta dua pembantunya Mohd Norhisham Hassan dan Ashzar Yahya itu wajar diberi pujian kerana berjaya mengatasi apa juga bentuk cabaran yang mereka lalui sepanjang mengharungi saingan di AUG 2022 ini.

Ia dianggap pencapaian terbaik selepas kali terakhir melangkah ke final pada edisi AUG 2008.

Meskipun tampil dengan aksi terbaik, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka selepas tewas 1-2 kepada Thailand di final hari ini. Dua gol Thailand pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Chanmunti Kantinan pada separuh masa pertama manakala Mohamad Syahir Abdul Rahman menjaringkan gol tungga skuad negara pada penghujung babak kedua.

Berdasarkan pencapaian semua pasukan sehingga kini, boleh dikatakan bahawa tiada hari tanpa pingat buat kontinjen negara pada temasya AUG kali ini dan ia sesuatu yang harus menjadi kebanggaan semua.

Sasaran awal 35 pingat emas yang ditetapkan oleh pihak pengurusan kontinjen negara sudah berjaya disempurnakan dengan baik dan sasaran baharu iaitu 45 emas juga dicapai dengan mudah.

Selain itu, beberapa kejutan turut dilakar sepanjang temasya ini berlangsung khususnya bagi acara catur yang menyaksikan pasukan bimbingan ketua jurulatih, Mohd Ezmi Mahmood itu menyapu bersih empat emas yang dipertandingkan. Begitu juga dengan acara olahraga dan juga karate.

Sukan-sukan lain juga tidak kurang hebatnya kerana beberapa atlet mereka turut tampil cemerlang untuk melakar nama sebagai pemenang pingat menerusi acara yang mereka sertai.

Lebih menarik, pingat yang diraih oleh kontinjen negara pada temasya kali ini boleh dikatakan seimbang kerana ia hadir daripada semua sukan atau pasukan yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara di Ubon Ratchathani ini.

Baik pingat emas, perak mahpun gangsa, ia hadir daripada setiap acara yang dipertandingkan di AUG 2022 ini. Hebat dan menakjubkan!

Saingan pada sebelah pagi hari ini menyaksikan wushu menghadiahkan emas menerusi kehebatan Tan Cheong Min dalam acara nangquan wanita.

Pada aksi final, Cheong Min meraih 9.55 mata dan ia sudah cukup untuk membolehkannya menggenggam emas, mengatasi dua pencabarnya dari Myanmar dan Singapura.

Rentak cemerlang Cheong Min itu diteruskan oleh Tan Cheong Wan yang menang pingat perak dalam acara daoshu lelaki serta Lee Jia Rong daam acara qiangshu wanita.

Gangsa acara wushu hari ini disumbangkan oleh Tammy Tan Hui Ling dalam kategori qiangshu wanita.

“Saya puas dengan pencapain di AUG ini. Impian saya adalah untuk menang dan teus fokus bagi  memberikan aksi terbaik. Saya berasa bangga kerana berjaya menyumbangkan pingat buat negara,” jelas Cheong Min.

Skuad mendayung turut melakar kejutan di medan mendayung Sisaket apabila pasukan lelaki empat pendayung menamatkan saingan dengan kemenangan pingat perak dalam acara 1000 meter.

Mereka merekodkan masa 3:41.95s di belakang pemenang emas, Thailand yang mencatakan masa 3:22.98s.

Acara silat juga menamatkan kempen mereka dengan satu gangsa iaitu menerusi Muhammad Fitri Naim Azmi dalam acara kelas E putra.

Taekwondo turut menyumbangkan satu pingat perak hari ini menerusi Ahmad Nor Iman Hakim Rakib dalam acara bawah 68 kilogram.

Selepas selesai acara taekwondo hari ini, skuad tersebut menyumbangkan keseluruhan satu emas, enam perak dan satu gangsa buat kontinjen negara.

Esok skuad bola keranjang lelaki dan wanita akan beraksi dalam perlawanan akhir dan lawan mereka adalah pasukan tuan rumah, Thailand.

Setakat ini, kontinjen Malaysia kekal berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan pungutan 47 emas, 78 perak dan 45 pingat gangsa. Thailand kekal memimpin carta dengan pencapaian 99 emas, 57 perak dan 41 gangsa.

Latest Article

PEARLY TARIK DIRI, IMPIAN BANTU SKUAD UBER TERKUBUR

0
KUALA LUMPUR, 16 April – Skuad badminton wanita negara menerima tamparan menjelang saingan Piala Cup apabila tonggak beregu utama, Pearly Tan, disahkan menarik diri...